Tuesday, July 17, 2012

Reen tidak henti mencuba

BERSEDIA...Reen sudah siap untuk  menempuh dunia glamor.
BERSEDIA...Reen sudah siap untuk menempuh dunia glamor.

GADIS ini bertuah dikurniakan rupa paras jelita rupa seiring bakat seninya sebagai perisai untuk cuba bertapak dalam industri layar perak. Baru saja dinobatkan juara program realiti Pilih Kasih musim ketiga, dia pastinya mengharapkan lembaran indah mengisi kerjaya lakonannya selepas ini.

Bukan menidakkan kehadiran Noreen Ashikin Abdul Rahim atau Reen Rahim, 24, sebagai pelakon baru yang menonjol, namun popularitinya ternyata masih samar-samar. Padahal, yang cantik sepertinya biasa mendapat tumpuan daripada pembikin drama, telefilem ataupun filem apatah lagi, dia nama baru.

  • Foto

  • Foto

Bertemu dengan anak jati Klang, Selangor ini di satu acara minggu lalu, membuka satu pandangan berbeza mengenai prinsip yang dipegang gadis ini sejak mengambil keputusan berpijak di industri ini. Akuinya, biar lumayan habuan yang menanti di pengakhiran, jangan sekali-kali mengambil jalan mudah sebaliknya, biarlah sesuatu itu datang kerana ia rezeki.

“Enam tahun lalu, kerana terlalu minat dan ingin serius dalam bidang ini, saya mengorak langkah awal dengan mencuba watak-watak sampingan. Usaha saya memang tidak pernah terhenti dan mula mengimpikan sesuatu yang lebih besar. Bagaimanapun, mungkin rezeki tidak menyebelahi, saya akur dengan keadaan yang memaksa untuk saya bersikap lebih realistik dan kembali meneruskan kehidupan normal.


“Tahun ini mengubah segalanya kerana sebaik terdengar iklan mengenai uji bakat Pilih Kasih di radio, lantas dalam hati berkata, inilah masanya. Saya berikan apa yang termampu pada program itu dan bersyukur dengan kemenangan terbabit. Namun, segalanya baru bermula dan saya jadikan ia bonus untuk melangkah ke dunia sebenar lapangan penuh ranjau ini.


“Biarpun masih belum berhasil ditawarkan watak yang ‘gempak’ tapi saya gembira kerana jadual tidak pernah putus ketika ini. Terbaru, saya bakal terbabit dalam filem Gangster Celop arahan Ahmad Idham, yang mana adalah filem sulung saya. Selainnya, saya banyak terbabit dalam drama termasuklah KL Drift The Series dan sebuah telefilem berjudul Runtun Kalbu,” katanya.

Mengakui sudah bersedia untuk menempuh asam garam bidang ini, Reen juga bersyukur pengalaman lalu banyak menyedarkannya bahawa dunia lakonan tidak seindah seperti di mata orang ramai.

“Saya banyak mengkaji dan memerhati peredaran industri ini. Sebelum sampai ke puncak, terlalu banyak halangan demi halangan yang saya kena lepas dan itu tidak akan pernah berhenti. Dan biarpun masih mentah dalam bidang ini, itulah yang saya lalui sekarang membuatkan saya kena selalu menguatkan fizikal dan mental.

“Gelaran juara yang saya dapat bukan jaminan untuk tembus mudah tetapi syukurlah, abang Rosyam Nor dan pihak Suhan Movies sentiasa membimbing serta membantu walaupun saya bukan di bawah naungan mereka. Platform yang disediakan pun sudah cukup memadai dan segalanya terletak pada usaha saya sendiri juga,” jelasnya.

Suatu ketika dulu, niatnya untuk berlakon ditakuti ibu bapanya kerana bimbang dia akan berubah selepas merasai dunia glamor ini. Bagaimanapun, menyedari itulah yang dia impikan sejak di bangku sekolah lagi, mereka merestui pembabitannya dalam dunia ini.

Disebabkan itulah juga, gadis ini seboleh-bolehnya cuba ingin menepis segala perkara memudaratkan dan berpegang kepada keikhlasannya menjadi artis yang bagus.

Tatkala ditanya pandangannya mengenai sesetengah artis yang mengambil jalan mudah untuk menempa populariti dengan mencipta kontroversi, Reen sebolehnya tidak ingin berbicara hal itu. Baginya, dia tidak pernah terfikir untuk naik dengan cara itu tetapi sempat melontarkan pendapatnya.

“Tidak dinafikan kontroversi itu juga penting tetapi tengok juga kontroversi yang bagaimana. Jikalau ia adalah kontroversi dari sudut yang positif, apa salahnya andai ia memang akan membantu membangunkan seseorang artis itu,” ringkas jawapan bekas pendandan rambut ini.

Memegang Diploma Dandanan Rambut daripada kolej Thomas and Guys, Reen mengakui mula rindu dengan kerjaya lamanya. Namun bukan bermaksud dia ingin menoleh ke belakang dan kembali kepada pekerjaannya itu.

“Sudah berbulan-bulan rasanya saya tidak memegang gunting dan mempraktikkan kebolehan itu. Memang rindu sangat apatah lagi kini saya lebih banyak menghabiskan masa di rumah sebaik saja habis penggambaran atau menghadiri aktiviti-aktiviti seni yang lain. Ada juga beberapa rakan yang cuba menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat dandanan rambut tetapi masa memang tidak mengizinkan.

“Walaupun mulai sekarang saya kena fokuskan kepada kerjaya lakonan, namun saya tidak mahu bakat sampingan itu disia-siakan. Oleh itu, jikalau ada masa terluang nanti, saya terfikir untuk memenuhi permintaan rakan-rakan yang memerlukan khidmat gunting rambut. Takut nanti, tangan jadi ‘keras’ dan makin tumpul pula kebolehan itu,” katanya.

Di sebalik kejelitaan dan keayuan yang dimilikinya, siapa sangka gadis ini juga ada sisi ‘gila-gila’. Apabila dilabelkan sombong, Reen pantas menyangkal hal itu.

“Memanglah kalau berjumpa dengan orang baru, saya kurang bercakap. Tetapi, apabila sudah mengenali saya, tahulah nanti bagaimana sifat sebenar saya. Lagipun saya baru lagi dalam industri, jadi terasa kerdil rasanya untuk menyerlah apatah lagi jika bergandingan dengan nama-nama besar dalam sesuatu majlis,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: