Thursday, July 12, 2012

Pupuk amal gaya hidup organik


SETIAP pengunjung diwajibkan membawa bekas makanan sendiri untuk tujuan pembungkusan apabila membeli produk makanan.


SEKITAR 4,000 penduduk di sekitar Petaling Jaya, Selangor membanjiri padang di Jalan SS2 seawal pukul 8.30 pagi baru-baru ini, sama ada untuk membeli-belah barangan dapur atau mengikuti aktiviti yang telah disusun sejak dari awal.

Menariknya, mereka terdiri daripada individu yang mengamalkan gaya hidup organik lantaran terdapat puluhan gerai menjual produk berasaskan organik sempena program Hari Organik itu.

Barangan organik yang dijual tidak terhad kepada sayur-sayuran dan bijirin yang ditanam tanpa menggunakan racun serangga atau bahan kimia, malah ada juga makanan organik siap diproses.

Dalam kebanyakan gerai yang ada, terdapat sebuah gerai kecil menjual makanan berasaskan ubi rebus. Penjualnya ialah seorang Orang Asli dari Kampung Sungai Cincin, Chenderang, Tapah, Perak.

Ubi kayu tersebut diadun bersama-sama herba tempatan seperti halia. Kesemua bahan tersebut ditanam di persekitaran kediaman wanita itu yang bernama Wak Itam.

Wanita berusia 55 tahun itu akan membungkus produk yang dijual dalam daun pisang atau dimasukkan ke dalam bekas yang disediakan oleh pelanggan.

Bagaimanapun, menurut Wak Itam, makanan tersebut hanya bertahan lama lebih kurang tiga hari kerana tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

Program Hari Organik yang dianjurkan kali kesembilan oleh Pusat Pembangunan Teknologi dan Alam Sekitar (Cetdem) itu mendapat sambutan luar biasa memandangkan kebanyakan gerai menjual sayur di situ sememangnya mendapat pengesahan Skim Organik Malaysia (SOM).

Tujuan Hari Organik diadakan adalah untuk mempromosi gaya hidup organik dan kehidupan mapan selain membantu mereka yang berada dalam industri organik berinteraksi sesama mereka.

Biarpun ia telah diadakan sebanyak sembilan kali, menurut Koordinator Projek Ladang Organik Cetdem, Tan Siew Luang, untuk melihat impak yang besar melalui jumlah kedatangan pengunjung pasti akan mengambil masa.

Tingkatkan kesedaran pelbagai kaum


SAYUR-SAYURAN berasaskan organik dijamin tidak menggunakan sebarang baja kimia dan racun serangga.


Dia berharap sambutan baik terhadap Hari Organik itu dapat meningkatkan lagi amalan kehidupan berasaskan barangan organik dalam kalangan masyarakat.

Rata-rata pengunjung yang hadir pada hari tersebut adalah daripada kalangan masyarakat kaum Cina. Tetapi, pada pandangan Siew Luang, dia dapat melihat kedatangan pelawat lain seperti orang Melayu dan India semakin meningkat.

“Kami berasa gembira apabila melihat penyertaan daripada kaum lain dan berharap lebih ramai lagi yang mahu menyertai Hari Organik.

“Apabila berlaku peningkatan pengunjung yang mula sedar mengenai gaya hidup organik, ini bermakna bertambah ramai bilangan pelanggan. Ini akan menarik banyak syarikat untuk menyertai Hari Organik,” terang Siew Luang yang turut mengadakan demonstrasi membuat kompos pada hari tersebut.

Siew Luang juga berharap usaha Cetdem dalam mengadakan Hari Organik mendapat perhatian daripada Jabatan Pertanian bagi membantu mempromosi acara tersebut.

Pada acara yang diadakan selama sehari sehingga pukul 2 petang itu, ia turut dimeriahkan dengan ceramah berkaitan organik, penggunaan plastik dan demonstrasi yang ditunjukkan oleh pakar-pakar bidang itu.

Paling penting, Hari Organik yang diadakan setiap tahun itu diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai terutamanya yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

Pergerakan organik di seluruh dunia mempunyai misi yang sama iaitu menggalakkan kaedah pertanian secara organik yang tidak melibatkan sebarang penggunaan bahan sintetik moden sepanjang proses penanaman.


HAMPIR 4,000 pengunjung memenuhi padang Jalan SS2 baru-baru ini sempena Hari Organik.


Antara bahan sintetik yang kerap digunakan ketika bertani ialah pestisid dan baja kimia. Selain itu, pertanian organik juga tidak menggunakan organisma yang diubah genetiknya.

Hasil makanan yang diproses pula tidak melalui proses pancaran radioaktif, pelarut industri dan penambah perasa makanan berasaskan bahan kimia.

Pergerakan tersebut mula dicetuskan pada awal tahun 1900-an ketika bidang pertanian mula dikomersialkan dan dianggap sebagai sebuah industri.

Ketika itu, penggunaan secara besar-besaran baja nitrogen dan pestisid dalam industri pertanian menimbulkan kebimbangan orang ramai kerana ia mampu memberi kesan kepada manusia jika terdedah dalam satu tempoh tertentu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: