Tuesday, July 10, 2012

Pesta buah-buahan MBG

PESTA Yes! Fruits anjuran MBG mengajak masyarakat tempatan menikmati buah-buahan sewaktu bersantai bersama teman dan keluarga.


BUAT julung-julung kalinya penjual buah-buahan popular di Malaysia, Money Back Guarantee Fruits Sdn. Bhd. (MBG) menganjurkan pesta Yes! Fruits.

Pesta yang bermula dari bulan Julai hingga Ogos ini menawarkan pelbagai aktiviti berkonsepkan pendidikan yang menyeronokkan tentang buah-buahan. Ia juga sejajar dengan Hari Buah-buahan Antarabangsa yang diraikan di seluruh negara setiap 1 Julai.

Menurut Pengarah Urusan MBG, Adnan Lee, idea untuk melancarkan pesta Yes! Fruits tersebut timbul dek melihat situasi rakyat Malaysia kini yang sentiasa sibuk dengan jadual padat. Kesannya, mereka tidak menitikberatkan aspek pemakanan yang seimbang sehingga mengabaikan pengambilan buah-buahan dalam diet seharian.

Selain itu, MBG turut mendapat inspirasi melancarkan pesta buah-buahan melalui satu kaji selidik yang dijalankan oleh pelajar di Berlin, Jerman. Hasil kajian tersebut mendapati langkah yang terbaik mengeratkan hubungan adalah dengan berkongsi makanan khususnya sajian sihat dan berkhasiat seperti buah-buahan.

Berdasarkan Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan ketiga, sebanyak 70 peratus daripada rakyat Malaysia dalam semua kumpulan usia mengamalkan diet tidak sihat dan kurang menikmati buah-buahan serta sayuran secukupnya. Di samping itu, hanya 30 peratus masyarakat tempatan pula bersenam secara tetap.

"Justeru dengan adanya pesta Yes! Fruits ini, MBG berhasrat untuk menghidupkan semula rasa cinta dan mendidik rakyat Malaysia menyukai buah-buahan yang kaya dengan pelbagai khasiat.


PERUNDING pemakanan, Indra Balaratnam menunjukkan pelbagai jenis buah yang menyihatkan badan.


"Ini termasuklah berusaha menggalakkan masyarakat supaya menikmati buah-buahan ketika berada di rumah, pejabat ataupun bersantai bersama teman serta keluarga," jelas Adnan selanjutnya.

Pada pesta Yes! Fruits, selain berpeluang membeli buah-buahan tempatan ataupun luar negara, orang ramai diajak menyertai bermacam-macam aktiviti menarik. Antaranya, permainan putar roda buah-buahan, kuiz pendidikan dan resipi buah-buahan.

Sementara itu, kumpulan kanak-kanak pula diberi peluang menunjukkan kemahiran menari menerusi aktiviti tarian yang diadakan di kedai MBG Tropicana City Mall, Jaya 33 dan Plaza Shah Alam, Selangor. Pertandingan tarian itu akan berlangsung setiap hari Sabtu dan Ahad, pada pukul 3 petang,

Dalam pada itu, Adnan menyatakan sepanjang meraikan pesta Yes! Fruits, MBG akan melakukan kaji selidik di seluruh negeri bagi mengetahui tabiat pemakanan, kecenderungan dan pandangan orang ramai tentang kepentingan buah-buahan dalam hidup mereka.

Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai pesta Yes! Fruits dan menyertai kaji selidik, bolehlah melayari laman web MBG iaitu www.mbg.com.my atau menghubungi talian bebas tol 1-800-2255-62.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: