Thursday, July 5, 2012

Penampilan lebih ekspresi

FANTASI..bulu mata daripada bulu burung mencetuskan gaya fantasi.
FANTASI..bulu mata daripada bulu burung mencetuskan gaya fantasi.

APAKAH yang membezakan solekan mata seseorang? Adakah pada pembayang mata, celak atau maskara? Memang diakui magis solekan mata mampu membuatkan penampilan bertambah anggun dan menyerlah, namun jangan dilupa pada kuasa bulu mata palsu yang diibaratkan seperti susuk.

Tanpanya solekan tidak lengkap dan kurang berseri. Malah, kreativiti jurusolek dalam mengadunkan warna pada wajah akan lebih terserlah tatkala bulu mata dilekatkan pada garis kelopak mata lantas memberikan sisi berbeza dalam penampilan.

  • Foto

    SEMULA JADI...bulu mata daripada rambut manusia selesa digayakan selain menjadikan wajah semula jadi dan segar.

  • Foto

    PANJANG...jika mahu kesan lebih menyerlah, bulu mata palsu berbeza kepanjangan menonjolkan impak berbeza.

  • Foto

    BURUNG...bulu mata palsu daripada bulu burung memberikan imej berbeza kepada si pemakai. Sesuai untuk gaya di pentas peragaan.

  • Foto

    SINTETIK...untuk imej dramatik pementasan teater atau peragaan, bulu mata sintetik sesuai digunakan.

Dulu pemakaian bulu mata palsu bertujuan memperlihatkan bulu mata kelihatan lebih panjang dan tebal. Ada juga yang menjadikan mata lebih bujur iaitu menerusi solekan mata kucing dengan sapuan celak pada bahagian hujung mata.

Menerusi revolusi solekan, kini bulu mata palsu menjadi sebahagian daripada alat solek sama seperti celak, bedak dan gincu. Memakainya membuatkan penampilan lebih ekspresi serta bersifat dramatik pada mata.Menurut jurusolek profesional yang hanya mahu dikenali sebagai Kelrina, terdapat tiga jenis bulu mata palsu iaitu bulu mata sintetik, bulu burung dan rambut.


Bulu mata sintetik bersifat lebih keras, memiliki alunan lentikkan yang kurang cantik dan tidak semula jadi, malah lebih berat sedikit apabila dipakai. Bulu burung pula biasanya digunakan untuk gaya fesyen di pentas peragaan, drama, filem dan teater manakala bulu mata daripada jenis rambut adalah semula jadi terhasil daripada helaian rambut manusia yang dibentuk menjadi bulu mata. Ia bersifat lebih semula jadi, lembut, mudah dibentuk dan menjadikan bulu mata kelihatan asli.

“Kebiasaannya bulu burung hanya digunakan sebagai perhiasan supaya menampakkan unsur dramatik, fantasi dan ilusi. Ia hadir dalam pelbagai warna dan ukuran seperti hijau, biru dan merah.

“Namun, bagi mereka yang kurang selesa memakai bulu mata rambut manusia lazimnya memilih bulu mata sintetik untuk pemakaian harian,” jelasnya.

Walaupun nampak seakan-akan mudah, memakai bulu mata palsu memerlukan teknik yang betul. Ini kerana bahagian mata agak sensitif dan memerlukan ketelitian ketika melekatkan pada mata.

Tambah Kelrina, sebelum memakai bulu mata palsu seseorang harus mengenal pasti bentuk mata terlebih dulu. Ini kerana setiap orang memiliki ukuran mata berbeza. Ada yang kecil, sederhana dan lebar.

“Oleh itu, sebelum membeli bulu mata palsu pastikan saiz mata agar dapat mengetahui panjang bulu mata bersesuaian. Caranya dengan merapatkan bulu mata palsu pada kelopak mata dan gunting bulu mata palsu sekiranya melebihi panjang kelopak mata,” ujarnya yang menasihati wanita supaya bertanya kepada jurujual jenis bulu mata bersesuaian dengan ukuran mata agar dapat membeli jenis yang tepat dan cantik.

Untuk pemakaian harian wanita digalakkan memilih bulu mata nipis dan sederhana panjang supaya tidak terlalu ketara manakala untuk majlis makan malam, anugerah, majlis bertema atau jamuan hari jadi, pilih bulu mata lebih tebal dan panjang untuk kesan anggun dan menawan.

“Sebaiknya pakai bulu mata berbeza kepanjangan dan ketebalan. Ini bagi memastikan serlahan mata tampak lebih menyerlah dengan kesan memikat,” katanya.

Sebelum memakai bulu mata palsu sebaiknya mata disolek terlebih dulu dengan warna pembayang mata bersesuaian diikuti dengan pemakaian celak. Kemudian ambil gam (khusus untuk bulu mata palsu) dan sapukan pada bulu mata berkenaan. Jangan sapu gam terlalu banyak kerana ini akan menyebabkan bulu mata melekat antara satu sama lain.

“Selepas itu lekatkan pada bahagian kelopak mata. Lakukan dengan berhati-hati supaya bulu mata melekat dengan baik. Rapikan agar bulu mata kelihatan semula jadi dan melekat sempurna. Biarkan 30 saat supaya gam benar-benar kering.

Setelah posisi bulu mata palsu sesuai dengan mata, sapukan maskara untuk membuat bulu mata kelihatan lentik dan sapukan celak pada garis atas bulu mata untuk menutupi warna gam. Ini supaya bulu mata asli dan bulu mata palsu kelihatan bersatu dengan sempurna,” nasihatnya.

Agar bulu mata palsu tahan lama ketika menanggalkannya, tarik bulu mata dengan lembut terutama jenis semula jadi kerana ia mudah rosak dan tanggal. Bersihkan gam pada garis bulu mata sebelum disimpan di tempat sepatutnya.

“Jika dijaga dengan baik bulu mata palsu mampu bertahan lima hingga tujuh hari. Namun, kebiasaannya wanita hanya memakainya sekali saja sebelum dibuang,” katanya yang menasihati wanita supaya memilih gam berbentuk cecair dan mudah kering.


Bulu mata mengikut jenis mata

  • Mata sepet atau tidak berkelopak

    Bagi wanita bermata sepet atau tidak berkelopak, pilih bulu mata palsu dengan helaian rapat, panjang dan semula jadi. Bulu mata ini akan memberi kesan mata lebih besar.


  • Mata cembung

    Wanita bermata cembung dinasihatkan memilih bulu mata palsu yang tebal dan panjang agar mata kelihatan lebih dalam.


  • Mata kecil

    Jika anda memiliki mata kecil, gunakan bulu mata palsu dengan helaian panjang supaya bulu mata kelihatan lentik dan tebal.


  • Mata jatuh

    Wanita bermata jatuh sesuai memakai bulu mata palsu dengan helaian panjang di sudut luar.

    Bentuk bulu mata palsu ini akan memberikan kesan mata lebih besar.


  • Mata cengkung

    Mata yang terlalu cengkung, sesuai menggunakan bulu mata palsu dengan ketebalan semula jadi.


  • Mata besar atau bulat

    Wanita bermata besar, dinasihatkan tidak memakai bulu mata palsu dengan helaian tebal sebaliknya memilih bulu mata panjang dari sudut luar untuk kesan lebih memikat.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: