SANTAI...kaedah urutan yang betul dijalankan secara santai bagi melengkapkan peserta dengan pelbagai pengetahuan berkaitan urutan bersalin tradisional.
URUTAN tradisional terutama selepas bersalin dilakukan masyarakat Melayu sejak zaman dulu yang dilengkapi dengan mandian herba dan ubat-ubatan tradisional bagi mengembalikan tenaga dan mempercepatkan penyembuhan luka melahirkan anak.
Selain itu, rawatan urut tradisional sebegini bukan saja penting untuk wanita lepas bersalin, tetapi juga boleh diamalkan wanita muda kerana ia mampu mengesan penyakit yang berpunca daripada urat saraf, selain melegakan badan selepas seharian penat bekerja.
Tetapi perubahan zaman menyebabkan urutan tradisional begini makin dilupakan apatah lagi dengan kemunculan persaingan berasaskan urutan moden yang mula mendapat tempat di hati kaum wanita.
Namun, kini terdapat pelbagai usaha dilakukan untuk mengembalikan kegemilangan urutan tradisional ini antaranya kursus usahawan urut bersalin bagi ibu tunggal anjuran Yayasan Suara Wanita (Yasnita).
Objektif utama program ini bertujuan mengekalkan tradisi bagi urutan wanita bersalin secara tradisional dengan melantik mereka yang benar-benar terlatih untuk menjayakannya.
Selain itu, program yang diadakan secara berterusan ini turut memberi peluang kepada wanita untuk menjana pendapatan sampingan sama ada secara sepenuh masa ataupun sambilan.
Bagi tenaga pengajar kursus usahawan itu, Zaini Amnah Adnan, 52, selain urutan tradisional peserta turut diajar urutan kesihatan yang juga berkonsepkan tradisional.
Menurutnya, dia dan pembantunya akan memberikan penerangan yang betul mengenai asas urutan tradisional untuk orang bersalin.
“Tiada istilah jalan pintas yang boleh dilakukan peserta memandangkan proses urutan tradisional ini memerlukan ketelitian kerana ia membabitkan urat saraf.
“Peserta akan diajar dengan betul bahagian badan mana yang boleh diurut dan kawasan mana perlu dielakkan bagi membolehkan urutan diberikan mencapai matlamatnya iaitu melegakan keadaan tubuh ‘pesakit’,” katanya.
Dia yang berkecimpung dalam bidang urutan tradisional ini sejak 15 tahun lalu berkata, memberikan bantuan kepada mereka memerlukan adalah cara terbaik boleh dilakukan.
Zaini berkata, dia mendapat tunjuk ajar mengurut daripada arwah neneknya dan pada peringkat awal hanyalah melalui pemerhatian sebelum meneruskan minat ini secara menyeluruh.
“Sejak itulah saya mula mendapatkan pengetahuan berkaitan proses urutan dari tempat lain yang memiliki kepakaran tertentu untuk menambahkan lagi pengalaman sedia ada.
“Sama seperti proses pembelajaran dalam bidang lain, urutan tradisional tidak tamat di tahap tertentu saja kerana ini adalah pembelajaran seumur hidup memandangkan tubuh setiap individu adalah berbeza. Oleh itu cara yang digunakan juga berlainan mengikut kesesuaian,” katanya.
Kursus yang disediakan ini tidak hanya menumpukan kepada proses urutan ibu bersalin saja kerana ia turut merangkumi pakej penjagaan ibu sepanjang berpantang dan juga penjagaan kesihatan bayi baru lahir.
Zaini berkata, selain berurut wanita selepas bersalin juga perlu melalui proses berpantang dan ‘aktiviti’ yang biasa dilakukan sepanjang tempoh berkenaan ialah mereka perlu mandi herba, bertangas, bertungku serta memakai bengkung.
“Berbengkung berfungsi untuk mengelakkan kemasukan angin sejuk pada liang perut serta memudahkan pengeluaran angin panas dan kotor menerusi ikatan barut dan ubat yang sempurna.
“Kaedah ini membantu wanita terbabit mengempiskan perut dan bahagian berlemak terutama di paha dan punggung. Melalui pemakaian yang kemas dan ketat, bengkung berupaya mengembalikan bentuk badan dengan cepat serta mengekalkan posisi baik terutama ketika proses penyusuan bayi mereka,” katanya.
Bertungku ialah amalan tradisional penting ketika berpantang dan kebiasaannya menggunakan batu sungai atau anak lesung kerana kesan bertungku bukan terletak kepada beratnya, tetapi tahap kepanasan yang dapat meresap hingga ke dalam tubuh.
Proses bertungku dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar pangkal paha, berhampiran ari-ari (bawah pusat dan di atas perut iaitu bawah payudara). Untuk kesan lebih baik, tapak kaki serta tumit juga perlu ditungku.
Malah, peserta kursus turut diajar menguruskan bayi baru lahir bagi membantu ibu terbabit antaranya melalui amalan memakaikan barut yang memberikan banyak manfaat antaranya mengelak bayi kembung, sekali gus memberi keselesaan kepada bayi.
Namun, pastikan ikatan barut tidak terlalu ketat. Minyak bayi juga boleh digunakan bersama barut untuk memberi keselesaan dan membuang angin dalam badan.
Bayi juga perlu dibedung supaya mampu tidur lena dan dan tidak mudah terkejut kerana ia memberikan keselesaan kepada bayi seakan seperti berada di dalam perut ibu.
Sementara itu, menurut usahawan urutan bersalin tradisional bergerak, Rozita Sulaiman, 40-an, dia mula menumpukan sepenuh perhatian dalam menyediakan pakej lengkap urutan untuk wanita bersalin dan urutan biasa sejak dua tahun lalu iaitu selepas menghadiri kursus anjuran Yasnita.
Katanya, kelebihan menggunakan kaedah urutan tradisional ialah ia membantu meringankan tubuh pada tahap optimum.
“Urutan sebegini banyak menumpukan pada bahagian urat saraf dan ia mengambil masa sehingga dua jam untuk dilakukan.
“Buat masa ini saya hanya menyediakan perkhidmatan urutan tradisional dari rumah ke rumah untuk pelanggan wanita saja untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Dia mengakui berhadapan dengan pelbagai kesukaran pada peringkat awal dan menguatkan semangatnya untuk meneruskan perkhidmatan yang menjadi warisan bangsa itu.
“Alhamdulillah, saya mampu bertahan dan kini sudah ada pelanggan tetap. Saya lakukan semua ini kerana minat dan paling penting ia dapat meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.
Kelebihan urutan tradisional:
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: