Sunday, July 8, 2012

'Ombak biru' Grand BlueWave

WARNA biru mendominasi bangunan hotel setinggi 19 tingkat ini.


MATA terpukau sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke lobi Hotel Grand BlueWave Shah Alam. Gaya moden ruang itu yang menggunakan lantai granit berkilat dan berkualiti tinggi terbukti membangkitkan suasana mewah dan eksklusif.

Tangga utama yang tersergam di tengah lobi pula menambahkan lagi keunggulan hiasan dalaman hotel bertaraf lima bintang ini. Apatah lagi unsur air daripada kolam mini di bawah tangga sisi memberikan rasa nyaman dan tenteram.

Rekaan dalaman hasil paduan moden kontemporari yang bertemakan gelombang atau ombak berjaya mencipta persekitaran yang mengagumkan di hotel yang terletak di Persiaran Perbandaran, Seksyen 14, Shah Alam ini.

Berwajah baharu, sebanyak 341 kamarnya mempunyai sentuhan ilham berlainan dengan warna kontra. Hotel ini memiliki 280 bilik Deluxe, 59 bilik Suite, sebuah suite Eksekutif dan sebuah suite Presidential di setiap aras bermula dari tingkat lima hingga 19.

Menurut pengurusnya, Mohd. Ghazali Sayed Ibrahim, kesemua bilik dibahagikan mengikut empat kelompok aras iaitu Aras Kumpulan bagi tingkat lima hingga sembilan, Aras Korporat (tingkat 10 hingga 16), Aras Pilihan (tingkat 17) dan Aras BlueWave Club (tingkat 18 dan 19).

“Rekaan kertas dinding, perabot dan bantal beradu mini yang diolah dengan gaya tersendiri menjadi titik tumpu yang mewakili setiap kelompok aras.

Warna

“Aras Kumpulan mengetengahkan kesegaran warna hijau daun, Aras Korporat pula bermotifkan coklat perang tanah manakala warna merah hati didedikasikan untuk Aras Pilihan. Sesuai dengan namanya, Aras BlueWave Club menggunakan warna biru.

“Langkah pengubahsuaian hotel ini dilakukan sebagai tanda komitmen pihak hotel untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada tetamu,” ujarnya. Hotel Grand BlueWave turut mempunyai sebuah cawangan di Johor Bahru.


PERABOT yang ditempah khas bagi menimbulkan mood mewah di suite Presidential.


Tambah Ghazali, pemilihan konsep kamar tersebut adalah hasil perbincangan bersama pakar dengan idea asalnya datang daripada pihak hotel sendiri. Ia kemudian diolah mengikut kesesuaian cita rasa yang diingini bagi menarik perhatian pelanggan.

“Kesemua kamar dilengkapi dengan kemudahan terkini seperti talian dail terus IDD, akses internet berkelajuan tinggi, port data, televisyen satelit, rangkaian sistem telefon, bar mini, kemudahan membuat kopi dan teh serta kotak keselamatan peribadi di dalam bilik,” beritahu beliau.

Harga yang ditawarkan pula bermula daripada RM450 bagi bilik Deluxe, RM650 untuk suite Deluxe, RM550 bagi bilik eksekutif Deluxe dan RM750 untuk bilik suite eksekutif Deluxe.

Mewah

Bagi aras eksklusif iaitu Aras BlueWave Club, harga bermula daripada RM700 untuk bilik Deluxe dan RM850 untuk bilik suite manakala RM2,500 bagi suite Eksekutif dan RM5,000 untuk suite Presidential.

Kru Jurnal berpeluang memasuki suite Presidential yang terletak di tingkat 19 dengan keluasan 190 meter persegi. Suite yang menjadi pilihan orang kenamaan ini menempatkan bilik tidur, stesen kerja, ruang tamu, ruang makan, tempat persalinan dan jakuzi.

Suite yang berkonsepkan klasik ini diserikan lagi dengan kehadiran panorama salah satu ikon Shah Alam iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Masjid itu yang lebih dikenali sebagai Masjid Biru dapat dilihat dengan jelas dari sisi barat hotel.

Dekorasi yang diketengahkan di dalam suite ini mencerminkan kemewahan dan menyerlahkan lagi konsep klasik yang dibawa dengan padanan kertas dinding, langsir dan cadar yang menggunakan rona senada berwarna coklat keperangan.

Selain itu, barang hiasan dan lukisan yang mencerminkan identiti Malaysia seperti telefon antik, keris dan cerek kecil turut digunakan.


MOTIF ombak diterjemahkan melalui lukisan di setiap bilik hotel.


Selain suite Presidential, ruang lounge eksklusif di Aras BlueWave Club menjadi satu lagi kelainan dari segi fasiliti hotel ini. Rekaan dalamannya masih mengekalkan ciri mewah serta moden dan amat sesuai untuk tetamu VIP yang mahukan suasana privasi.

Sesuatu yang cukup menyenangkan buat semua tetamu ialah sistem kemudahan berpusat di tingkat empat seperti gimnasium, jakuzi, kolam renang dan spa.

Tetamu juga mempunyai pelbagai pilihan makanan yang sedia terhidang sama ada di Semarak Café untuk hidangan Barat dan tradisional, sajian Cina di Restoran Tung Yuen atau makanan asli Jepun di Restoran Agehan.

Kalau itu belum memadai, bersantai sahaja sambil menikmati keenakan kek serta pastri di Borak-Borak.

Sememangnya tiada alasan buat tetamu memikirkan tempat paling tepat bagi menjamu selera dengan variasi menu serba menarik ditambah lagi dengan pengesahan sijil halal di tiga restoran hotel yang lain kecuali Restoran Agehan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: