Thursday, July 5, 2012

Microsoft perkenal tablet Surface

KETUA Pengarah Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer menerangkan mengenai ciri dan fungsi Surface di Los Angeles baru-baru ini.


PERANG tablet sememangnya tidak pernah berakhir sungguhpun iPad berada di tangga teratas liga itu selain Android.

Namun, masih ada lagi cubaan untuk merebut takhta tersebut terutamanya dalam segmen pengguna perniagaan.

Mungkin ada pihak yang sinis terhadap kenyataan ini tetapi sejarah telah mengajar kita bahawa sesuatu yang dipandang rendah berjaya mengalami transformasi kepada sesuatu yang mendapat perhatian ramai.

Kewujudan Microsoft Surface dikatakan mampu menambat hati pelanggan daripada sektor perniagaan melalui ciri-ciri yang dimilikinya.

Minggu lalu, gergasi perisian komputer berasaskan Windows itu telah memperkenalkan tablet Surface yang bakal menggunakan sistem operasi terkini Microsoft - Windows 8.

Didatangkan dalam dua pilihan, pengguna biasa boleh memilih untuk menggunakan versi yang didatangkan dengan unit pemproses Nvidia Tegra atau menggunakan sistem operasi Windows RT.

Ia merupakan sistem operasi keluaran Microsoft pertama yang direka khusus untuk gajet yang menggunakan set cip ARM (Advanced RISC Machine).

Versi profesional

Pengguna perniagaan pula boleh memilih versi profesional yang menggunakan pemproses Intel Core i5 dan dikuasakan oleh Windows 8 32-bit.

Dari segi paparan, kedua-dua model Surface dilengkapkan dengan skrin berukuran 10.6-inci berbanding iPad terkini yang mempunyai skrin berukuran 9.7-inci.

Tablet Surface versi RT mempunyai paparan berdefinisi tinggi (HD) 1280 x 720 manakala versi Windows 8 Professional didatangkan dengan paparan berdefinisi tinggi (HD) penuh 1920 x 1080.

Surface RT didatangkan dengan port kad memori microSD, USB 2.0 dan video Micro HD manakala Surface Windows 8 Pro menawarkan slot memori microSDXC, sambungan USB 3.0 dan video Mini DisplayPort.

Lambakan aplikasi di pasaran sering membuatkan pengguna tertarik dan memuat turun aplikasi tanpa henti. Sekiranya tablet yang digunakan tidak mempunyai ruang storan yang mencukupi, pengguna mungkin terpaksa membuang data simpanan bagi memberi laluan kepada aplikasi atau data baharu yang hendak disimpan.


SURFACE menawarkan alternatif kepada pengguna khususnya bagi mereka yang bergiat dalam dunia bisnes.


Surface memberi jaminan bahawa ruang simpanan bukanlah suatu masalah dalam rangkaian tablet mereka. Surface dengan Windows RT menawarkan pilihan storan berkapasiti 32 dan 64 gigabait manakala Surface versi Windows 8 menawarkan kapasiti storan 64 dan 128 gigabait yang pastinya dapat menampung keperluan aplikasi tablet hari ini.

Dari sudut bekalan kuasa, Surface Windows RT dijana dengan bateri berkuasa 31.5 watt perjam manakala Surface Windows 8 dikuasakan dengan bateri 42 Watt perjam.

Sebagai perbandingan, bateri iPad generasi ketiga mempunyai 42.5 Watt perjam atau lebih mudah digambarkan dengan 10 jam penggunaan.

Sungguhpun di atas kertas, bateri tablet Surface tampaknya lebih rendah berbanding iPad terkini, tetapi tidak wajar untuk menghukum sehingga ujian penggunaan benar-benar dibuat pada kedua-dua tablet ini bagi memastikan tempoh sebenar baterinya dapat bertahan.

Dijangka menemui pengguna pada penghujung tahun ini bagi versi Windows RT manakala versi Windows 8 Pro pada tahun 2013, kedua-dua tablet ini bakal menawarkan alternatif kepada pengguna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: