Tuesday, July 3, 2012

Mengembalikan Semula Senyuman Di Afghanistan

Pasukan dari Malaysia menawarkan program latihan kepada pelajar-pelajar di Afghanistan mengenai teknik asas rawatan pergigian.

MUSIM sejuk menyelubungi wilayah Bamyan yang terletak di tengah Afghanistan ketika Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kontinjen Malaysia (Malcon 3 ISAF) tiba di Pangkalan Kiwi pada Oktober.

Namun, keadaan cuaca dan suhu di bawah paras beku hanyalah rintangan pertama yang perlu diharungi pasukan tersebut di sebuah wilayah yang terjejas teruk akibat peperangan beberapa tahun dahulu.

Dengan bentuk muka bumi bergunung-ganang, kawasan perkampungan terpencil yang terletak kira-kira 2,400m di bawah paras laut dan tanah yang kering-kontang tanpa sebarang rumput atau pokok antara halangan yang perlu ditempuhi mereka.

"Kami berasa amat sedih kerana walaupun kita hidup pada abad ke-21, masih ada masyarakat yang tinggal di dalam gua," kata Ketua Pasukan Malcon 3 ISAF, Leftenan Kolonel Nordin Mohd Yusof yang baru kembali dari misi kemanusian itu, April lalu.

Beliau dan rakan sepasukannya berkongsi pengalaman masing-masing dengan Star2, di Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Tiada bekalan elektrik atau air. Orang ramai perlu mendapatkan bekalan air dari sungai atau telaga, tenaga elektrik pula diperoleh menerusi panel solar (dibekalkan oleh misi antarabangsa seperti Malaysia) dan cahaya dari lampu minyak tanah," katanya.

Nordin mengetuai sebuah pasukan yang terdiri daripada 40 anggota untuk meneruskan misi Malcon-ISAF di beberapa daerah di wilayah Bamyan.

Ia termasuk ibu negeri, Bamiyan dan daerah terpencil seperti Yakawlang, Wasar dan Panjab.

Pasukannya iaitu kontinjen ketiga yang akan berada di sana dalam tempoh enam bulan terdiri daripada beberapa pegawai, anggota Pasukan Perubatan dan Pergigian Diraja Malaysia, kakitangan pentadbiran dan keselamatan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Misi kami adalah untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Bamyan agar mereka dapat membangunkan semula wilayah tersebut," kata Nordin.

Walaupun pasukan Malcon-ISAF terdahulu lebih fokus dalam aspek bantuan perubatan, Nordin berkata, pasukannya memperluaskan sumbangan Malaysia untuk membantu komuniti di wilayah itu mencapai tadbir urus perkhidmatan klinikal.

Pegawai wanita berupaya mempromosikan program perancangan keluarga kepada penduduk di wilayah itu.

Ia merangkumi beberapa program sistematik yang dirangka untuk membantu pakar perubatan di Bamyan menyediakan penjagaan kesihatan lebih baik kepada rakyat.

Dalam misi itu, Nordin bergandingan dengan pakar pembedahan pergigian, Kolonel Dr Kamal Abdullah, pegawai kanan perubatan, Mejar Dr Mohd Zaki Mokhtar dan Kapten Dr Nor Azimah Zakaria yang mengetuai unit pergigian, perubatan dan promosi kesihatan.

Beliau turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Awam Afghanistan (MOPH) melahirkan beberapa program inovatif bagi membantu rakyat Bamyan mendapat bekalan air bersih, tenaga elektrik, penjagaan kebersihan mulut dan akses mendapat maklumat berhubung perancangan keluarga.

"Kami tidak mahu hanya melaksanakan sebarang program yang dibawa dari Malaysia. Kami mahu ia diterajui oleh warga Arghanistan untuk rakyatnya," kata Dr Zaki.

Bekalan air bersih

Bekalan berus dan ubat gigi diedarkan kepada pelajar-pelajar sekolah.

Salah satu program pertama yang dibincangkan pasukan Malcon-ISAF dengan MOPH adalah memperkenalkan sistem penapisan air yang dihasilkan menerusi bahan-bahan tempatan di negara itu.

Walaupun terdapat beberapa badan bukan kerajaan (NGO) membantu mengali telaga dan menyediakan tangki untuk menyimpan bekalan air, Dr Zaki berkata, keperluan untuk memperoleh air bersih dan selamat untuk diminum masih menjadi keutamaan.

"Kami bukan pasukan pertama memperkenalkan sistem penapisan air di sana - organisasi seperti Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), Unicef dan Program Makanan Dunia memainkan peranannya tetapi kami memikirkan sesuatu yang boleh dimiliki rakyat Afghanistan.

"Oleh itu, kami memperkenalkan penapis air polikarbonat yang boleh dihasilkan menggunakan batu kelikir, batu besar dan pasir sedia ada dari dasar sungai," katanya.

Bagaimanapun, ketika tempoh musim sejuk yang panjang, penggunaan penapis ini dihentikan kerana air di dalamnya membeku.

Pasukan Malcon 3 ISAF menangani masalah itu dengan membina sebuah kotak penebat di sekelilig penapis tersebut.

"(Sistem penapis air) itu kini boleh diperolehi di bazar, dan setiap kali mereka pergi ke kedai perkakasan, mereka boleh melihat sendiri penapis tersebut," kata Dr Zaki.

Senyuman menawan

Salah satu program lain pasukan itu adalah bekerjasama dengan MOPH untuk menyediakan sistem bagi penjagaan gigi untuk penduduk di Bamyan.

"Apabila kami berada di sana, kami mendapati tiada sebarang pertubuhan dalam MOPH yang menyediakan penjagaan kesihatan gigi.

Penduduk Afghanistan memperoleh tenaga elektrik menerusi tenaga solar yang dibekalkan misi antarabangsa.

"Mereka hanya memiliki klinik gigi yang ringkas, diuruskan oleh individu yang mempunyai lesen atau ijazah dalam bidang tersebut," kata Dr Kamal yang mengetuai pasukan pergigian.

Beliau berkata, individu yang menyediakan perkhidmatan pergigian di sana ibarat 'tukang gigi profesional' di Malaysia pada 1950.

Penduduk di wilayah itu perlu berjalan kaki selama tiga jam untuk mendapatkan rawatan gigi.

"Secara amnya, masalah gusi dan gigi rosak di kalangan orang dewasa amat tinggi," katanya.

Program itu dimulakan dengan menempatkan tujuh penduduk tempatan menerusi program latihan pergigian klinikal iaitu program selama 10 minggu yang mengajar teknik asas pergigian.

Selepas itu, pasukan tersebut menawarkan perkhidmatan pergigian di kem utama dan mewujudkan klinik bergerak di beberapa hospital di Bamiyan dan daerah Yakawlang.

"Peralatan pergigian amat kurang, oleh itu kami turut mencipta kerusi pergigian serba guna," kata Dr Kamal.

Pada masa sama, pasukan itu turut bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran Afghanistan dalam program penjagaan gigi dan mengagihkan kira-kira 4,000 ubat dan berus gigi di sekolah.

"Kami menyasarkan untuk menubuhkan sebuah pusat penjagaan kesihatan gigi di Yakawlang. Jika ianya berjaya, daerah lain akan mengikut jejak tersebut," katanya.

Kehidupan itu satu anugerah

Dengan dibarisi beberapa pegawai wanita, pasukan Malcon 3 ISAF turut mencapai sesuatu yang sukar sebelum ini iaitu mempromosikan program derma darah dan perancang keluarga.

Kempen menderma darah mula mendapat sambutan di kalangan penduduk terutama, polis dan askar.

Walaupun kemudahan perancangan keluarga boleh didapati di hospital di sekitar wilayah itu, ia masih tidak boleh diterima.

"Daripada apa yang kami fahami, ada segelintir penduduk merasakan mereka tidak boleh melahirkan anak selepas itu dan ia menjejaskan populasi penduduk di negara itu," katanya.

Apa yang dilakukan pasukan Malcon 3 ISAF adalah memperkenalkan konsep 'ruang antara keluarga' - sebagai contoh, sebuah keluarga perlu menunggu sekurang-kurangnya beberapa tahun sebelum melahirkan anak seterusnya.

"Kami mempunyai beberapa doktor beragama Islam yang boleh bercakap mengenai perkara ini," kata Dr Zaki.

Akhirnya, konsep perancangan keluarga mula diterima oleh penduduk tempatan dan golongan wanita sering mendapatkan nasihat daripada Dr Azimah.

"Dengan menderma darah, penduduk merasakan jika mereka menderma darah kepada pesakit lain, darah mereka akan berkurangan sehingga membawa kepada kematian.

"Oleh itu, pada masa lalu, hanya saudara terdekat dan ahli keluarga yang sanggup menderma darah," kata Dr Azimah.

Untuk menangkis tanggapan ini, pasukan Malcon 3 ISAF mengedarkan risalah, menampal poster dalam bahasa Dari dan mendidik masyarakat tempatan mengenai kebaikan menderma darah dan penyakit berjangkit seperti Brucellosis dan demam kepialu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: