|
SERAMAI 250 orang yang membentuk 66 buah kumpulan berkumpul seawal pukul 8 pagi baru-baru ini untuk menyertai pertandingan Setia Eco Hunt di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.
Menariknya setiap kumpulan yang bertanding diberi nama berdasarkan butik-butik yang terdapat di Setia Mall City yang merupakan lokasi terakhir pertandingan tersebut.
Bukan hanya untuk bersuka-suka, sesuai dengan pemilihan tema Hijau pelbagai aktiviti ke arah gaya hidup mesra alam diselitkan sepanjang pencarian harta karun itu.
Pencarian bermula di Taman bandar Setia Alam apabila peserta menerima petunjuk pertama yang membawa mereka ke pusat kawasan komersial seterusnya ke Setia Eco Park.
Di Setia Eco Park, para peserta perlu menyelesaikan cabaran dengan melakukan tarian eko. Setiap kumpulan yang bertanding wajib menari menggunakan peralatan daripada bahan terbuang seperti tempurung kelapa.
Di taman eko itu juga para peserta boleh menambah pungutan mata dengan menderma surat khabar lama di pusat kitar semula Setia Eco Park.
Di lokasi terakhir Setia Mall City, para peserta perlu membeli makanan dan minuman dalam tin berdasarkan soalan dan cabaran yang diberi.
"Pencarian harta karun ini bukan sahaja menimbulkan kesedaran orang ramai supaya menjalani kehidupan mesra alam, bahkan menggalakkan para peserta supaya terlibat dalam kerja-kerja komuniti," kata Timbalan Presiden SP Setia, Datuk Voon Tin Yow.
Barang-barang makanan yang dibeli akan didermakan kepada Rumah Pelindungan Agathians di Petaling Jaya, Selangor.
Para peserta terbahagi pada dua kategori iaitu pemain baharu dan bukan pemain baharu.
Bagi kategori bukan pemain baharu, kumpulan 2 Sneakies & 2 Innocents memenangi tempat pertama diikuti Hunters R US (kedua) dan 4 Ekor (ketiga).
Kategori pemain baharu pula memperlihatkan kumpulan Earthling muncul juara, DKNY (kedua) dan Reds (ketiga).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: