Tuesday, July 10, 2012

Masih dapat tawaran berlakon

pix_middle

BERDARAH Arab Yemen (sebelah bapa) dan keturunan Jawa dari Istana Keraton (sebelah ibu), Betty Banafe memang penyanyi dan pelakon berdarah kacukan yang sentiasa meraih perhatian ramai lelaki yang ingin mendekati dirinya.

Bukan saja sering dikaitkan dengan artis lelaki yang sama-sama berkecimpung dalam bidang hiburan tanah air, malah kawan baik kepada pelakon Zahida Rafik ini turut dikaitkan dengan golongan kenamaan (VIP).

  • Foto

  • Foto

  • Foto

  • Foto

Malah, ketika Zahida meraih perhatian ramai kerana dakwaan hubungannya dengan orang kenamaan, baru-baru ini, Betty turut terkena tempias gosip liar membabitkan pelakon berdarah Pakistan itu.

“Mungkin kerana wajah saya dan Zahida seiras, ramai yang fikir sayalah Zahida yang digosipkan dengan menteri itu sedangkan kami cuma berkawan baik sesama rakan artis.


“Bayangkan, ramai orang yang menghubungi dan bertanya sama ada saya adalah isteri kedua menteri itu tapi apabila orang sudah tahu Zahidalah artis yang dimaksudkan, barulah mereka tidak kaitkan nama saya lagi,” katanya.


Betty juga berani membuat pengakuan, hatinya kini sudah pun dimiliki seseorang.

“Saya akui sudah berpunya dan si dialah ‘VIP’ di hati saya sekarang. Justeru, kalau ada lelaki yang cuba nak ‘tackle’ saya, lupakanlah hasrat anda itu.

“Buat masa ini, saya belum bersedia untuk mengulas lebih lanjut siapakah si dia yang bertakhta di hati ini. Tunggulah apabila tiba masa yang sesuai nanti. Saya tidak dapat komen lanjut sama ada si dia orang biasa ataupun berstatus VIP,” katanya.

Pada masa sama, Betty mengakui dia masih berkawan baik dengan bekas penyanyi vokalis Lefthanded, Nash yang pernah dikaitkan dengannya sebelum ini.

“Saya dengan Abang Nash masih berhubung tapi bukanlah setiap hari. Bagi saya, abang Nash memang seorang lelaki yang baik, cuma kami tiada jodoh. Tidak mungkin kami akan menjalinkan hubungan cinta semula seperti dulu kerana banyak hati yang perlu dijaga,” katanya.

Bagaimanapun, kata Betty, keutamaannya sekarang adalah menjaga ibunya yang menghidap sakit jantung.

“Saya agak menyepi dari bidang hiburan kerana sering berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru kerana menjaga ibu yang sakit.

“Apabila ada kelapangan barulah saya memenuhi undangan berlakon dan anggota keluarga lain pula yang ambil alih menjaga ibu. Fokus saya memang pada ibu dan saya perlu sentiasa di sisinya,” katanya.

Betty ditemui pada majlis pelancaran telefilem Sugeh arahan Thorpe Ali terbitan Eeman Corporation Sdn Bhd di Seksyen 13, Shah Alam, baru-baru ini.

Menyentuh wataknya dalam telefilem Sugeh pula, kata Betty, dia berlakon sebagai Lijah yang juga bekas kekasih Syaiful (lakonan DJ Pool) yang juga anak kepada Pak Hamid, orang kaya di kampung itu.

“Saya tertarik berlakon dalam cerita ini kerana ia cerita bahasa Jawa yang julung kali dihasilkan di negara ini. Saya juga berpeluang berlakon dengan orang lama seperti penyanyi senior Herman Tino yang memegang watak sebagai abang saya dalam cerita ini.

“Cabaran paling besar ialah saya kurang faham dialog dalam bahasa jawa yang dituturkan pelakon dalam cerita ini kerana saya berbahasa Jawa-Jodja, mereka pula Jawa-Malaysia. Apapun, semuanya berjalan lancar sepanjang penggambaran telefilem ini,” katanya.

Berkongsi pencapaiannya dalam bidang seni setakat ini, kata Betty, dia bersyukur tawaran berlakon tidak pernah putus sampai sekarang.

“Saya mula terbabit dalam bidang seni sejak 1999 dan akan terus berlakon selagi ada tawaran. Kalau orang cakap bila saya nak menang trofi pula, ia bergantung soal rezeki daripada Tuhan.

“Aktor terkenal Hans Isaac pun dapat trofi pertamanya selepas 12 tahun terbabit dalam bidang seni. Begitu juga dari segi watak, saya inginkan karakter yang pelakon lain tak boleh bawa kerana ia akan mencabar kredibiliti seseorang pelakon itu untuk menjadi yang lebih baik,” katanya.

Tidak ketinggalan, Betty akan muncul dengan single terbaru berjudul Kau Yang Ku Mahu yang juga genre pop dan diterbitkan bersama syarikat rakaman Universal.

“Single ini sudah siap dan saya masih menunggu untuk diputarkan di stesen radio tempatan. Menyusul selepas ini, single yang juga lagu tema drama Pelesit lakonan saya yang disiarkan di Astro sebelum ini berjudul Naluri,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: