SAMPAH TERBAKAR...pengguna Jalan Syahbandar terpaksa hidu udara tidak sihat sejak sebulan lalu.
KLANG: “Pada mulanya ingat ada kilang terbakar berikutan asap tebal hitam berkepul-kepul di udara, tetapi rupa-rupanya ia asap yang dilepas sebuah kilang,” kata Hairul Izzat Rohan, 31, penduduk Jalan Syahbandar, Batu Empat, Kampung Jawa, di sini.
Hairul Izzat berkata, sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemilik kilang berhampiran kawasan kediaman mereka yang melepaskan asap ke udara menyebabkan penduduk hidup dalam keadaan udara tidak sihat sejak sebulan lalu.
Bagaimanapun, katanya, penduduk tidak tahu kilang mana yang membebaskan asap berkenaan berikutan banyak kilang yang beroperasi di situ selain aktiviti pelepasan asap hanya berlaku pada waktu malam.
“Berdasarkan kepada keadaan asap yang dilepaskan, saya percaya ia boleh memberi kesan negatif kepada masyarakat dan persekitaran.
“Selalunya, asap berkenaan dilepaskan antara jam 8 hingga 11 malam. Ada sesekali pernah ternampak asap hitam dilepaskan pada jam 6.30 petang. Saya harap Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memantau perkara ini dan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang ditemui, Nik Haryati Ghazali, 28, berkata, asap hitam yang dikeluarkan kilang berhampiran boleh mengundang pelbagai penyakit terutama kanak-kanak dan warga emas kerana dikhuatiri mengandungi bahan berbahaya untuk kesihatan.
Katanya, tambahan pula baru-baru ini, seluruh negara terutama Selangor berdepan masalah jerebu yang boleh mendatangkan penyakit seperti asma, batuk dan penyakit lain.
“Saya harap tindakan sewajarnya dari pihak bertanggungjawab dapat dipercepatkan bagi mengesan kilang yang tidak bertanggungjawab yang mengeluarkan asap hitam ke udara sewenang-wenangnya.
“Sekiranya dibiarkan masalah ini berterusan, saya bimbang ia akan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatan penduduk sekitar,” katanya.
Katanya, siasatan lanjut perlu dilakukan untuk memastikan asap yang dilepaskan ke udara tidak berbahaya kepada kesihatan.
Tinjauan Metroplus turut mendapati hampir keseluruhan bahu jalan di kawasan industri itu menjadi tempat pembakaran sampah secara haram dengan beberapa timbunan sampah dilihat dibakar tanpa pengawasan selain beberapa timbunan lagi mempunyai kesan terbakar.
Sementara itu, Pengarah JAS Selangor, Siti Zaleha Ibrahim, ketika dihubungi berkata, JAS akan menyiasat perkara itu secepat mungkin.
Katanya, pemilik kilang yang melepaskan asap itu akan dikenakan tindakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekitar 1974.
“JAS tidak pernah membenarkan mana-mana kilang untuk melepaskan asap industri mereka melebihi piawaian pelepasan yang sudah ditetapkan.
“Sekiranya individu mengadakan pembakaran sampah secara terbuka, kuasa mengambil tindakan adalah di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: