Sunday, July 8, 2012

The Legendary Concert terbaik


EMPAT legenda muzik Malaysia dari kiri Zainal Abidin, Sheila Majid dan Amy Search berjaya menghiburkan peminat dengan gaya mereka tersendiri.


KONSERT membabitkan empat ikon muzik tempatan sangat berbeza. Persembahan Zainal Abidin, Datuk Sheila Majid, Amy Search dan Jamal Abdillah dalam konsert The Legendary Concert memang layak menjadi penanda aras.

Walaupun mereka berbeza ideologi muzik namun cara menyanyi dan asas peminat berjaya memberi impak buat mata dan hati yang menonton.

Tidak keterlaluan jika dinamakan konsert legenda ini sebagai sebuah konsert dengan pasukan produksi yang kemas dan terbaik.

Baik daripada sistem bunyi hinggalah ke penataan cahaya, ini merupakan dua sisi yang mendapat pujian kebanyakan daripada 10,000 penonton yang hadir.

Memang ada yang hadir dengan jangkaan dan harapan menonton empat figura hebat negara berdendang dengan lagu-lagu popular mereka tetapi lebih puas dan klimaks lagi apabila barisan penyanyi ini diberikan sebuah produksi yang hebat.

Penulis dan rakan-rakan wartawan duduk di tengah dan kemudian beredar ke tepi pentas dan hasil bunyi daripada pelbagai sudut masih memuaskan. Juga tembakan pencahayaan yang mengikut mood penyanyi memberikan sebuah visual yang kemas dan menghayun emosi.

AURA rock Amy Search berjaya menghangatkan Stadium Merdeka.


Lagu-lagu nyanyian empat penyanyi ini adalah antara lagu yang sudah berada dalam jangkaan. Jamal dengan lagu Gadis Melayu, Seniman Menangis dan Azura disambut dengan Sheila dengan Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta, Manusia dan Bunyi Gitar. Diikuti dengan Zainal Abidin membawakan lagu seperti Hijau, Orak Arik, Kau Di Hatiku dan mempromosikan lagu terbaharunya Alam dan Kamu yang kemudian disambut dengan Kongkang, kerja Gila, Saat Ku Idamkan, Gadisku dan Kepala Sotong oleh Amy.

Lagu-lagu ini adalah bukti nostalgia dan momen buat penonton yang hadir. Lagu-lagu yang menghadirkan magis yang tersendiri dan membuatkan penonton berada dalam waktu dan situasi masing-masing mengikut zaman lagu tersebut berada.

Sampai di bahagian ini, penulis berasa bangga menjadi salah seorang penonton di salah sebuah konsert yang mempamerkan produksi yang teratur dan memuaskan hati, mata dan telinga. Juga sebuah konsert yang berada di tahap yang tersendiri.

Menyanyi bersama, bangun memberikan tepukan paling gemuruh tanda hormat menjadi tanda konsert ini berjaya. Kalau penonton beredar dengan sebuah kenangan yang terpahat dalam memori dalam minda mereka, apa lagi tenaga produksi dan empat legenda yang sebati dengan konsert ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: