Saturday, July 14, 2012

Kumpul dana untuk terapi

TIGA kanak-kanak ini begitu gembira mendapat bantuan dana bagi membolehkan mereka menjalani terapi bulanan hasil sumbangan P&G dan Guardian Pharmacy Malaysia melalui kempen The Gift of Learning.


BAGI si kecil Chong Yu Xin, 10, dia tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak normal lain seusia dengannya. Dia menghidap sejenis penyakit palsi serebrum yang dinamakan spastic diplegia iaitu satu keadaan tidak normal yang menyebabkan kaki dan tangannya menjadi keras.

Bapa Yu Xin, Chong Hoi Khow, 42, hanya menginginkan satu perkara iaitu untuk melihat anak kesayangannya itu berjalan tanpa bantuan peralatan atau individu suatu hari nanti.

"Kadangkala, apabila saya berfikir mengenai masa depannya, saya berasa sangat bimbang. Saya bimbang Yu Xin tidak mampu menjaga dirinya sendiri apabila saya tiada nanti," katanya.

Setiap pagi, Hoi Khow akan menghantar Yu Xin ke Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang, Selangor (PKKIA) untuk menjalani rawatan fisioterapi dan hidroterapi serta latihan kemahiran motor halus.

Walau bagaimanapun, kos latihan dan terapi fizikal Yu Xin mencecah RM300 sebulan dan itu merupakan satu beban kewangan yang besar buat Hoi Khow.

"Walaupun rawatan itu amat penting bagi kanak-kanak ini, namun malangnya, tidak semua orang mampu berbuat demikian," kata Christine Wong, Presiden Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Ampang, Selangor (PKKIA).

Cerita mengenai kanak-kanak kelainan upaya telah memberi inspirasi kepada dua syarikat, Procter & Gamble Malaysia (P&G) dan Guardian Pharmacy Malaysia untuk membantu melalui pembiayaan kos bulanan rawatan terapi mereka.

Selain Yu Xin, tujuh orang kanak-kanak kurang bernasib baik yang semuanya dari pusat jagaan berbeza di seluruh negara, turut mendapat faedah daripada inisiatif tersebut.

Tujuh lagi pusat jagaan yang terlibat ialah Tasputra Perkim, Persatuan Kanak-Kanak Istimewa Kajang, Pertubuhan Kanak-kanak Spastik Pulau Pinang, Pertubuhan Orang Kurang Upaya Perak, Persatuan bagi Kanak-Kanak Kerencatan Akal Johor, Seri Mengasih Centre Sabah dan Pertubuhan Autistik Sarawak.

Sebanyak RM19,200 telah diagihkan secara sama rata kepada kanak-kanak itu. Kes mereka dirujuk oleh pusat jagaan masing-masing sebagai individu yang paling berhak mendapat bantuan.

Walaupun bantuan tersebut tidak dapat menanggung sepenuhnya kos rawatan, namun ia dapat meringankan beban kewangan bulanan ibu bapa mereka selama setahun.

Pada 22 Mac lalu, P&G telah melancarkan kempen The Gift of Learning di seluruh negara untuk mengutip dana selama dua bulan dan menyasarkan kutipan sebanyak RM150,000 untuk lapan pusat jagaan kanak-kanak istimewa di seluruh negara bagi menyediakan terapi dan latihan percuma.

"Kami meminta pelanggan-pelanggan kami untuk mengambil bahagian di dalam program The Gift of Learning untuk membantu kanak-kanak istimewa, jadi kami juga harus melakukan perkara yang sama," kata Ketua Pegawai Eksekutif P&G Malaysia dan Singapura, Ellie Xie.

Pengurus Besar Bahagian Barangan untuk Guardian Pharmacy Malaysia, Soon Ai Lan berbangga menjadi sebahagian daripada kempen yang penuh bermakna tersebut.

"Kami harap dengan usaha ini dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk turut membantu kanak-kanak kurang bernasib baik ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: