Tuesday, July 3, 2012

Kongsi pengalaman didik anak

Angkasawan negara, Sheikh Muszaphar telah berjaya memetakan Malaysia dalam peta aeroangkasa dunia.

MERANCANG, melaksanakan dan kemudian menuai hasilnya adalah tiga modul yang dilaksanakan oleh bapa kepada angkasawan negara.

Mempunyai anak-anak yang berjaya, Datuk Sheikh Mustapha Abdul Shukor mengaplikasikan segalanya bermula daripada sebelum beliau mendirikan rumahtangga.

Melanjutkan pelajaran, bekerja di Australia tetapi kembali semula ke tanah air selepas dipujuk oleh ibunya ketika itu.

"Saya mula merancang untuk mendirikan rumah tangga dan saya bersyukur kerana mendapat seorang isteri yang dapat menerima diri saya seadanya," katanya.

Segalanya bagaikan mimpi apabila apa yang dirancang menjadi kenyataan. Beliau mendapat lima orang putera seperti yang diinginkan.

"Mendidik lima orang anak lelaki bukanlah sesuatu yang sukar jika kita tahu teknik dan caranya," katanya semasa ditemui di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Usia satu hingga tujuh tahun kanak-kanak amat penting dalam kehidupan kerana pada masa itu mereka 'menyerap' segala apa yang diberikan.

Pada usia tujuh hingga 14 tahun mereka sudah mula berfikir manakala fasa 14 hingga 21 mereka menyedari persekitaran.

"Jadi usia awal satu hingga tujuh tahun amat penting dalam mendidik anak-anak.

"Biasanya pada usia itu, perkataan yang biasa didengar adalah 'jangan' yang memberikan pendekatan negatif," katanya.

Selain itu beliau menekankan, seseorang perlu mempunyai disiplin diri yang kuat sebelum boleh mendisiplinkan anak-anak mereka.

Sheikh Mustapha berkata, beliau sentiasa menekankan kepada anak-anaknya mengenai kata-kata Andrew Carnegie iaitu, what the mind believe the body will achieve.

Beliau juga menekankan konsep perpaduan dan perkongsian di kalangan anak-anaknya.

"Saya biasakan mereka makan sepinggan, minum pada gelas yang sama serta berkongsi pakaian supaya mereka lebih rapat di kalangan adik beradik," katanya.

Beliau juga menekankan pelajaran agama di mana semua kelima-lima anaknya khatam al-Quran pada usia tujuh tahun.

"Saya tekankan di sini, kita perlu ada perancangan dan berdoa serta berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dirancang.

"Apabila rancangan diikuti dengan doa dan usaha, kita akan mendapat menuai hasilnya," katanya lagi.

Beliau juga memberikan kebebasan kepada anak-anaknya untuk bermain apa saja permainan asalkan tidak mempunyai unsur-unsur pembaziran.

Beliau yang sentiasa berfikiran positif sentiasa tegas dalam mendidik anak-anaknya kerana beliau hanya ingin melihat kejayaan mereka

Tidak mahu mensia-siakan pengalaman yang ada, Sheikh Mustapha akan berkongsi kejayaan mendidik anak-anaknya dalam Seminar, Born To Excel yang bakal berlangsung 14 Julai ini di Hotel Impiana, Kuala Lumpur.

Mensasarkan golongan belia dan ibu bapa, seminar berkenaan akan diadakan di lima lagi lokasi di Johor Bahru pada September, diikuti Sabah, Sarawak serta Brunei dan Indonesia.

Semasa seminar berkenaan, angkasawan negara Sheikh Muszaphar juga akan menceritakan pengalamannya sehingga berjaya.

Pembaca yang ingin mengikuti seminar, Born to Exce' boleh layari laman web www.greenchilievent.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: