
SELEPAS popular dengan lagu Kasihnya Laila dan Farhana, band Jinbara yang membawa genre rock klasik kini tampil dengan album ketujuh berjudul Kolaborasi Mental.
Uniknya kelima-lima lagu yang terkandung dalam album terbaharu mereka merupakan lagu-lagu lama yang diberi sentuhan rock seperti Milik Siapakah Gadis Ini yang dinyanyikan bersama Fiq, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin bersama Awi Rafael dan Biru Mata Hitamku bersama Ramli Sarip.
Band Jinbara yang dianggotai oleh Tia (vokal), Anjang (gitar utama), Akin (bass), Chepot (gitar) dan Ah Tan (drum) mempunyai jawapan yang tersendiri mengapa mereka memilih lagu lama untuk album terbaharu mereka yang dijual pada harga RM21.90.
“Sebenarnya idea untuk tampil dengan lagu lama yang diberi sentuhan rock merupakan perbincangan antara Jinbara dan juga pihak syarikat rakaman Warner Music.
“Bukan tidak ada idea, tetapi ini merupakan album tribute kepada pencipta serta penyanyi asal lagu tersebut. Mungkin ketika lagu itu popular, peminat muzik sekarang tidak berpeluang untuk memperolehi album itu, jadi kami tampilkan semula lagu-lagu lama yang disukai ramai,” jawab Tia.
Bukan sekadar tribute, terang Anjang pula, beberapa buah band lain memberi nafas segar kepada lagu lama dan trend itu disukai oleh pendengar muzik.
“Kami bukan rosakkan muzik asal tetapi memberi nafas baharu agar tampak kelainan tanpa membuang keaslian lagu itu.
“Saya tidak nafikan, muzik hari ini harus mengikut peredaran semasa untuk kami terus kekal di dalam industri tetapi dalam masa yang sama kami juga terus kekalkan identiti muzik Jinbara,” jawab Anjang.
Mungkin album Kolaborasi Mental merupakan album terakhir Jinbara bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia memandangkan kontrak mereka selama tiga tahun untuk dua buah album telah tamat.
“Mengenai masa depan Jinbara, kami belum tahu lagi untuk sambung bersama Warner Music atau tidak kerana masih belum ada perbincangan mengenai perkara itu.
“Jika mereka dapat berikan apa yang kami mahu mungkin kami akan sambung kontrak, jika tidak mungkin kami akan bergerak sendiri. Setakat ini belum ada kepastian mengenai perkara tersebut,” jelas Tia.
Sementara itu, Awi Rafael yang berkolaborasi dengan band tersebut untuk lagu Oh! Mama Saya Mahu Kahwin melahirkan rasa terharu kerana dapat bergabung tenaga dengan Jinbara untuk menjayakan lagu milik grup Blues Gang tersebut.

Ujarnya: “Ini adalah satu penghormatan untuk saya kerana diajak berkolaborasi dengan Jinbara. Lebih menarik kerana saya diberi peluang menyanyi semula lagu malar segar yang cukup terkenal ini. Secara peribadi, saya sendiri menyukai lagu ini kerana ia sebuah lagu rancak yang sesuai dengan jiwa saya.”
Baru sahaja selesai menjalani pembikinan muzik video bersama Fiq untuk lagu Milik Siapakah Gadis Ini, band Jinbara juga akan menghiburkan peminat mereka di Sixty3 Club, Hotel Sheraton Imperial, Jalan Sultan Ismail pada 6 Julai ini pada pukul 8 malam, tiket masuk berharga RM25.
Menurut Tia, persembahan pada malam tersebut akan menyaksikan Jinbara kembali bersatu dengan individu-individu yang pernah berkolaborasi dengan mereka sebelum ini.
“Kami akan menjemput kembali semua penyanyi yang pernah berkolaborasi dengan band Jinbara untuk memeriahkan showcase itu nanti.
“Buat peminat jangan lupa hadir kerana banyak seleksi lagu menarik akan dipersembahkan pada malam itu,” tutur Tia.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: