SAMA ada anda meminati atau tidak subjek kimia yang dipelajari di sekolah, hakikatnya gabungan bahan kimia sememangnya berada di sekeliling kita hampir setiap hari.
Bahan kimia boleh wujud dalam makanan kita yang diproses, ubat-ubatan, air yang diminum, gajet, petrol dan banyak lagi. Pendek kata, manusia tidak boleh dipisah dengan sains kimia.
“Hari ini, kami di Jabatan Kimia (Kimia Malaysia) menganjurkan pameran khas untuk mendekatkan orang awam, khususnya pelajar dengan persekitaran kerja di sini.
“Dengan ini, para pengunjung akan mengenali lebih dekat tentang jabatan dan siapa di sebaliknya,” kata Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kimia, Chang Hon Fong ketika Hari Terbuka Jabatan Kimia baru-baru ini.
Ia diadakan selama dua hari di Ibu Pejabat, Jabatan Kimia Malaysia, Petaling Jaya, Selangor.
Pameran yang menyasar lebih 2,000 orang pengunjung bertema We Are Part Of You In Many Ways bertujuan untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai fungsi dan perkhidmatan Kimia Malaysia.
Ia termasuk memperkenalkan bidang-bidang kerja baharu dan teknologi terkini seperti peralatan saintifik yang digunakan dalam analisis makmal serta hasil inovasi jabatan itu.
Selain mengeratkan hubungan pihak Kimia Malaysia ia juga menjadi medan untuk orang ramai mendapatkan maklum balas, penjelasan dan maklumat mengenai perkara yang berkait rapat dengan perkhidmatan jabatan tersebut seperti kes-kes jenayah, forensik, pemalsuan dokumen, kes dadah, keracunan bahan kosmetik dan farmaseutikal.
Tidak ketinggalan menganalisis pencemaran alam sekitar, status halal haram produk, barangan tiruan dan barangan import serta eksport.
Kerajaan meletakkan sasaran sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar Malaysia mengambil bidang sains dan menyasarkan nisbah 50 peratus RSEs (penyelidik, saintis dan jurutera) bagi setiap 10,000 tenaga kerja menjelang 2020.
Berikutan dengan itu, Kimia Malaysia selaku pemain utama dalam bidang Sains Kimia menggalakkan masyarakat terutama daripada kalangan para sarjana, golongan belia dan pelajarmelibatkan diri serta bersama-sama memartabatkan bidang Sains Kimia.
“Kami di Kimia Malaysia sentiasa memastikan peralatan dan teknologi yang digunakan seiring dan terkini. Kebanyakan peralatan yang digunakan didatangkan dari Amerika Syarikat dan Eropah. Saya percaya pameran seperti ini akan memberikan pengunjung lebih banyak pendekatan,” tambah Hon Fong.
Malah, Kimia Malaysia turut bersama-sama mempamerkan contoh-contoh kes melibatkan asid deoksiribonukleik (DNA), pemalsuan dokumen, narkotik dna bioteknologi pemakanan untuk memudahkan pemahaman pengunjung.
Jelas Hon Fong lagi, untuk pengunjung cilik pula Kimia Malaysia menyediakan pelbagai permainan menarik. Permainan ini sama ada melibatkan kuiz, penyelesaian kes atau soal jawab.
Dari tingkat bawah hingga tingkat tiga, pameran yang diadakan melibatkan pelbagai kategori topik dan pembahagian.
Misalnya, tingkat bawah mempamerkan sekumpulan pegawai sains dengan sampel kad pengenalan, MyKad.
“Kimia Malaysia menyediakan mesin Video Spectral Comparator 6000 yang berfungsi mengesan sama ada kad pengenalan itu palsu atau asli. Selain itu kami juga menyenarai beberapa perbezaan ketara antara kad pengenalan palsu dan asli,” terang Pembantu Makmal, Wan Mastura Wan Jusoh kepada sekumpulan pelajar dari Sekolah Kebangsaan Taman Selayang.
Tumpuan ramai
Selain itu, di kaunter pemeriksaan dokumen pula, beberapa orang pegawai sains menunjukkan teknik-teknik yang digunakan dalam mengesan dokumen menerusi salinan.
Di tingkat dua pula, Pegawai Sains, Mohd Asri Razali, 33, daripada bahagian Toksikologi Sains sibuk mengendalikan pelajar menyelesaikan permainan kuiz kimia.
Pelajar-pelajar itu turut dibimbing oleh pegawai sains yang lain dengan menawarkan risalah dan menunjukkan poster yang digantung di papan kenyataan sebagai sumber maklumat bidang toksikologi atau ubat-ubatan.
“Sebelum ini saya pernah menghantar surat kepada Jabatan Kimia untuk mengadakan lawatan. Tetapi mereka minta saya datang pada Hari Terbuka.
“Rupa-rupanya hari ini banyak aktiviti diatur dan kepelbagaian sains kimia yang dipamer di sini memberikan gambaran keseluruhan kepada pelajar mengenai bidang ini,” demikian pula ujar seorang tutor Sains Kesihatan daripada sebuah kolej di Shah Alam, Hafizudin Abdul Halim, 24.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: