SAIDINA Ali Karamallahu Wajhah pernah berpesan, didiklah anak-anak mengikut tahap kecerdikan, peringkat serta zaman yang sedang mereka dilalui.
Walaupun ringkas, namun pesanan tersebut membawa erti yang mendalam kepada seluruh umat Islam terutamanya kepada ibu bapa.
Bahkan, persepsi sesetengah pihak yang menyandarkan tugas pendakwah kepada golongan 'veteran' semata-mata adalah tidak lagi relevan dalam mencapai keberkesanan misi dakwah kepada masyarakat.
Ditambah pula dengan kepesatan teknologi masa kini sentiasa menuntut kepada perubahan yang secara tidak langsung mengubah penerimaan masyarakat terutama golongan muda dalam pendekatan dakwah.
Mudir Imam Muda, Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz berkata, justeru tenaga muda sangat diperlukan dalam menyebarkan dakwah kepada masyarakat masa kini agar lebih berkesan.
Ini kerana katanya, orang muda mempunyai semangat tinggi dalam segala aspek, terutamanya mental dan fizikal serta berfikiran jauh untuk menjayakan misi dakwah kepada golongan sasar.
"Zaman telah banyak berubah disebabkan kewujudan teknologi. Tidak ketinggalan negara ini turut mengaplikasikan pelbagai kemajuan teknologi canggih luar tersebut. Walaupun mempunyai pelbagai kebaikan tersendiri, namun ia juga menjadi sebab manusia hanyut dengan kemajuan teknologi itu.
"Khususnya kepada golongan muda yang mudah leka apabila terpengaruh dengan kemajuan teknologi sehingga menyalahgunakan teknologi kepada perbuatan yang negatif.
"Ini hanya merumitkan dan melambatkan proses tarbiah yang dilihat akan merosakkan seseorang itu jika tidak ditangani atau mendapat bimbingan dengan kaedah penerimaan yang tepat," katanya.
Beliau berkata ketika ditemui pada sesi rakaman Imam Muda musim ketiga di Institut Penilaian Negara, Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Katanya lagi, golongan muda memainkan peranan penting untuk mentarbiah generasi muda dengan lebih berkesan kerana mereka lebih mengetahui keperluan dan kehendak golongan seusia mereka.
"Melalui penampilan pendakwah atau daie muda yang menarik, perwatakan yang berkaliber serta contoh teladan yang baik mampu menjadi dorongan untuk berubah.
"Ternyata ia lebih berkesan setelah dibuktikan dengan kejayaan daie muda yang lalu dan kita perlu melahirkan lebih ramai daie muda yang berkebolehan ini untuk membimbing anak muda generasi masa kini ke arah amal makruf nahi munkar," jelasnya.
Bagaimanapun, pengalaman dan tenaga fikir pendakwah veteran tidak dipinggirkan.
Hassan Mahmud berkata, dengan adanya program seperti Imam Muda ini dapat membuka mata masyarakat terutama golongan muda untuk berubah dengan melahirkan mentor pendakwah yang serba boleh dan bersesuaian dengan keperluan generasi masa kini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: