Wednesday, July 4, 2012

Kemuncak Showdown 2012


DARI kiri: Project Elementz, Dem Lepak Boyz dan Soul Gang akan berentap di pentas final Showdown 2012 malam ini.


PROGRAM realiti tarian popular Showdown 2012 hampir ke penghujungnya apabila tiga kru yang layak ke final, Dem Lepak Boys, Project Elementz dan Soul Gang akan berentap malam ini merebut wang tunai berjumlah RM50,000 dan berpeluang menyertai bengkel di the Urban Dance Camp di Lorrach, Jerman.

Dem Lepak Boys layak ke final secara automatik menerusi Tiket Ekspres yang mula diperkenalkan pada tahun ini pada minggu bertema sarkas.

Dua kru, Soul Gang dan Project Elementz masing-masing layak ke final selepas menewaskan Soul Krazy dan Walawei dalam sesi Battle pada peringkat separuh akhir yang berlangsung pada minggu lalu.

Jika melihat daripada senarai kru yang layak ke final bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana ketiga-tiga kru mempunyai kekuatan yang tersendiri malah, sering menerima pujian daripada dua juri tetap, Joe Flizzow dan Maple Loo.

Kru Project Elementz yang menari mengikut alunan lagu Brahms - Beautiful Day dianggotai oleh tujuh orang ahli meluahkan rasa syukur kerana layak ke final memandangkan persaingan cukup sengit.

“Kami telah tujuh tahun bersama sebagai sebuah kru tarian, walaupun telah selesa menari bersama tidak bermakna kami telah bagus.

“Bagi kami semua yang layak ke final merupakan kru tarian yang terbaik, masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri, kami akan berusaha keras untuk menari sebaik mungkin,” ujar Elaine.

Kru Soul Gang yang dianggotai oleh tujuh orang ahli termasuk seorang ahli wanita, Nana, mendapat tepukan gemuruh dan pujian melambung oleh juri kerana persembahan terbaik mereka menerusi lagu Let's Buy Happiness - Boys Noize dan Kyoto - Skrillex ft. Sirah.

Ketika sesi sidang media berlangsung, Nana tidak dapat mengawal air mata gembiranya daripada mengalir memandangkan usia kru Soul Gang masih hijau tetapi sudah mendapat kepercayaan pihak juri dan penonton.


SOUL GANG berjaya menewaskan Soul Krazy (kanan) dalam sesi Battle untuk layak ke peringkat akhir.


“Kami baru saja bertemu dan telah menari bersama lebih kurang enam bulan sebelum menyertai Showdown 2012. Jika dilihat jurang usia, sangat besar bezanya dengan Project Elementz yang telah tujuh tahun bersama.

“Walaupun masih baru tetapi setiap ahli kami mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Saya akui untuk mencipta keserasian dalam tarian bukan mudah dalam tempoh yang singkat tetapi tidak bagi kami.

“Keakraban cepat terjalin dan kami sudah sangat rapat seperti satu keluarga. Apa yang boleh saya katakan, biar apa yang terjadi selepas ini, kami tetap akan bersama-sama,” jawab Nana sambil ditenangkan oleh ahli yang lain.

Tidak pernah menyangka akan melangkah ke pentas final, kru Soul Gang berjanji akan memberi persembahan terbaik buat juri seperti peminat setia mereka.

“Jika pada awal rancangan, kami meletakkan sasaran untuk masuk ke final sahaja bukan untuk jadi juara, tetapi kini kami mahukan kemenangan. Doakan yang terbaik buat kami,” balas Nana lagi.

Final Showdown 2012 akan berlangsung pada pukul 9.30 malam ini di 8TV.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: