Kemalangan: Rasa mati hidup semula
Orang ramai melihat kerja menaikkan kereta Kunnan dijalankan selepas terhumban ke dalam tali air di Kampung Permatang Manggis, semalam.

KEPALA BATAS - Tindakan pantas orang ramai sekitar di Pasar Awam Kepala Batas dengan segera terjun ke dalam tali air berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada mati lemas selepas kereta dipandunya hilang kawalan sebelum terhumban ke tali air di Kampung Permatang Manggis, di sini pagi kelmarin.

Sebaik berjaya diselamatkan, lelaki terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Kunnan, 30-an berkata, kejadian cemas terperangkap dalam kereta yang ditenggelami air selama beberapa minit sekitar jam 9.30 pagi itu diibaratkannya seperti mati hidup semula. “Saya hanya mampu berterima kasih kerana ketika kejadian ramai orang di situ sanggup terjun ke dalam tali air sedalam satu meter untuk menyelamatkan saya,” katanya.

Kejadian itu berlaku ketika Kunnan dalam perjalanan dari Butterworth ke Kepala Batas. Sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terkejut apabila sebuah kereta yang diekorinya tiba-tiba membelok ke kiri tanpa memberikan sebarang isyarat.

“Disebabkan mengekori kereta itu bukan pada jarak selamat, saya terpaksa memaut stereng sehingga hilang kawala, " katanya.