Kisah pemain badminton perseorangan nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri daripada kejohanan Piala Thomas setelah cedera di buku lali kanan ketika perlawanan peringkat kumpulan C pada 22 Mei lalu di Wuhan, China masih lagi diingati.
Kemalangan berlaku ketika Chong Wei yang sedang mendahului dalam set pertama menentang perseorangan Denmark, Peter Hoeg Gade.
Chong Wei yang terseliuh kakinya ketika cuba menyambut pukulan lawan menerima rawatan awal di gelanggang daripada pasukan perubatan sebelum memutuskan untuk menarik diri.
Beliau kemudian dibawa keluar dari Pusat Sukan Gimnasium Wuhan menggunakan kerusi roda sebelum meninggalkan pekarangan perlawanan dengan ambulans.
Ekoran kecederaan, beliau terpaksa direhatkan sebelum persiapan untuk Sukan Olimpik 2012 pada 27 Julai ini.
Adakah Chong Wei akan mengharumkan nama negara dalam Sukan Olimpik 2012 di London, kita tunggu dan lihat.
Semua ahli sukan sama ada yang aktif dalam sukan bola sepak, badminton, ragbi, gimnastik, renang atau sebut saja sukan apa, semuanya terdedah kepada kecederaan ringan atau berat.
Kecederaan semasa bersukan adalah pelbagai mengikut jenis sukan dan mekanisme kecederaan.
Biasanya kecederaan sukan merujuk kepada kecederaan yang berlaku semasa bersukan atau bersenam.
Kecederaan sukan bukan hanya berlaku kepada mereka yang bersukan tetapi semasa bersenam di rumah. Ia dalam kategori yang sama.
Kecederaan sukan berlaku mungkin disebabkan kemalangan ketika bersukan, teknik latihan atau amalan harian yang tidak betul atau kejutan pada otot.
Menurut Pakar Bedah Ortopedik dan Kecederaan Sukan, Hospital Pantai Ampang, Selangor, Dr. Ezlan Merican, kecederaan sukan yang biasa berlaku seperti calar, luka, sakit urat, terseliuh dan patah, memang mudah diubati.
"Kebanyakannya boleh dirawat menggunakan teknik RICE iaitu rehat (rest), ais (ice), tekanan (compression), ampu atau angkat (elevation) selain ubatan (medication).
"Misalnya pesakit yang cedera pada buku lali perlu berehat daripada bermain, anggota yang cedera diletakkan ais, balut dengan pembalut (bandage) dan ampu atau angkat anggota lebih tinggi daripada paras jantung bagi mengelakkan bengkak atau edema," katanya.
Pesakit juga dinasihatkan mengambil panadol untuk mengurangkan bengkak dan sakit atau ubat antiinflamasi.
Biasanya mereka yang aktif bermain bola sepak, futsal, badminton, bola keranjang dan bola jaring memang terdedah kepada kecederaan.
"Bagaimanapun mereka yang cedera dilarang berurut bagi mengelakkan kecederaan semakin parah," katanya.
Dr. Ezlan berkata, kecederaan sukan secara amnya terbahagi kepada
1. kecederaan tisu lembut.
2. kecederaan tulang.
"Kecederaan pada tisu lembut pula boleh dibahagikan kepada akut dan kronik.
"Mereka yang mengalami kecederaan akut seperti terseliuh harus dirawat segera menggunakan kaedah RICE sebelum kecederaan menjadi bertambah kronik," katanya.
Tetapi ada kalanya, mereka terus mengalami kecederaan kronik seperti anterior cruciate ligament (ACL) di lutut akibat bermain sukan berkaitan dengan bola dan tennis elbow di siku akibat bermain sukan yang menggunakan raket.
Kecederaan ACL perlu mendapatkan rawatan suntikan gel acid hyaluronic secara berkala selain fisioterapi.
Jika kecederaan semakin parah, pembedahan adalah langkah terakhir dengan menukar bahagian lapisan lutut.
Rawatan untuk tennis elbow pula adalah lengan perlu direhatkan secukupnya dan ini bermakna atlet terpaksa berhenti bersukan atau melakukan kerja berat untuk beberapa minggu.
Pesakit yang mengalami kecederaan kronik perlukan rawatan antiinflamasi yang lebih kuat, menjalani fisioterapi, latihan regangan dan menggunakan taping and strapping.
Bagaimanapun jika kecederaan semakin teruk, suntikan akan diberikan bagi melegakan radangan.
"Biasanya kecederaan boleh diubati tetapi ia akan mengganggu aktiviti harian individu," katanya.
Menurut Dr. Eizlan, kecederaan tulang jarang berlaku kecuali dalam sukan lasak seperti bola sepak, ragbi, tinju, gusti, silat serta lumba kereta dan motor.
Bagaimanapun terdapat kes atlet yang tiba-tiba mengalami patah tulang atau stress fracture.
"Ini berlaku akibat latihan yang berpanjangan menyebabkan tulang menjadi haus dan terdapat retak-retak halus.
"Biasanya mereka akan mengalami hanya sedikit kesakitan tetapi masih boleh berjalan dan bermain seperti biasa," katanya.
Lama-kelamaan keretakan akan melemahkan struktur tulang dan kecederaan yang sedikit saja boleh menyebabkan tulang patah secara tiba-tiba.
Jadi bagi mengelakkan kecederaan sukan, Dr. Ezlan menyarankan mereka memanaskan badan dan membuat persediaan yang rapi sebelum bersukan.
"Gunakan peralatan yang sesuai mengikut saiz dan berpadanan dengan jenis sukan seperti topi keledar, alat pelindung mata, alat pelindung mulut, alat pelindung untuk pergelangan tangan, siku dan lutut semasa aktiviti sukan meluncur.
"Sentiasa mengikut peraturan semasa bersukan, gunakan teknik yang betul yang telah diajar oleh jurulatih dan amalkan semangat kesukanan dengan tidak berniat untuk mencederakan lawan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: