Wednesday, July 18, 2012

Judul filem tarikan KL Burger Bakar

Setiap daging burger yang dibakar mengambil masa antara 15 hingga 20 minit untuk masak.

ORANG sudah tidak kisah dengan harga tetapi orang akan gilakan rasanya. Begitulah kehebatan burger bakar yang mungkin sesetengah orang menganggapnya mahal berbanding burger biasa. Di Kuala Lumpur sahaja terdapat ramai pengusaha burger bakar yang bersaing menampilkan keunikan hidangan burger masing-masing termasuk dari segi hiasan dan juga rasanya.

KL Burger Bakar bagaimanapun menampilkan kelainan menerusi penggunaan tajuk-tajuk filem sebagai daya penarik selain rasa dagingnya yang luar biasa.

Nama-nama seperti KL Gangster, KL Drift dan KL Menjerit antara keistimewaan hidangan KL Burger Bakar ini.

Pemilik francaisnya Sani Halimi, 40, berkata, nama-nama filem itu dipilih kerana ia mencapai kutipan boxoffice dan dia percaya, jualan burger yang menggunakan nama tersebut juga mampu mencapai sasaran serupa.

"Kami percaya keunikan yang ditampilkan dalam sesuatu masakan tidak kiralah dari segi nama ataupun persembahannya akan mendapat perhatian orang ramai. Pada masa sama, kami juga menyokong industri hiburan tempatan.

"Sebab itulah kami menggunakan tajuk-tajuk sedemikian," katanya yang mempunyai hubungan rapat dengan artis-artis tempatan.

Selain tiga jenis burger berkenaan, KL Burger Bakar turut menampilkan KL Bini-Biniku Gangster, KL Janda-Janda Ku Gangster dan KL Cikaro. Setiap jenama burger dijual antara RM7 hingga RM20.

Antara burger yang paling mendapat perhatian, KL Drift yang menampilkan daging burger dihias cantik dengan kepingan keju serta daging salai. Turut mendapat sambutan luar biasa, KL Menjerit yang menampilkan daging burger bersama keju dan digubah menarik dengan udang.

KL Janda-Jandaku Gangster pula diperkenalkan bagi mereka yang gemar menikmati makanan itu dalam kuantiti yang banyak iaitu daging burger yang disusun tiga tingkat dan dijual pada harga RM14.

Mungkin sesetengah orang menganggap harga itu seperti tidak munasabah namun rasai sendiri dan anda pasti terpukau dengan rasa burger dari KL Burger Bakar yang luar biasa. Ini kerana adunannya dibuat sendiri dengan campuran daging kisar, daun sup, bawang serta beberapa ramuan rahsia lain.

Lebih menarik, daging burger ini dihidangkan ketika masih panas kerana ia dibakar sewaktu pesanan diterima untuk mengekalkan kualitinya. Proses membakar daging burger ini mengambil masa antara15 hingga 20 minit.

Cawangan baru Bagi memenuhi permintaan orang ramai, KL Burger Bakar membuka cawangan baru di Restoran Azzahra, Amber Plaza, di kawasan Pangsapuri Seri Johor, berdekatan stesen LRT Cheras, Kuala Lumpur.

Penggemar burger ini boleh menaiki LRT menuju arah Sri Petaling dan turun di stesen Cheras jika selama ini berhajat untuk mencari kelainan burger.

Ia adalah usaha KL Burger Bakar untuk memperluaskan pengaruhnya serta memberi peluang mereka yang tidak mempunyai kenderaan sendiri tetapi berhasrat mencuba resipi istimewa mereka..

Cawangan terbaharu ini dibuka bermula pukul 5.30 petang sehingga 1 pagi yang turut menyediakan kemudahan letak kereta yang luas untuk orang ramai.

1 comment:

  1. best burger die wlaupn hrge nk kt rm20.. dkt ngan umah aku ni..hehe

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: