KEMPEN Seeing is Believing juga dijalankan di Malaysia. |
AWAL Mei lalu, pasukan bola sepak Liverpool bukan sahaja menutup perlawanan terakhir Liga Perdana England di halaman sendiri dengan kemenangan bergaya ke atas Chelsea 4-1, bahkan, mereka melakukannya dengan penuh nilai murni.
Ini kerana demi memenuhi tanggungjawab sosial, pasukan itu bersama penaja rasminya, Standard Chartered, mengambil keputusan untuk menukar logo bahagian depan jersi yang disarung pemain semasa beraksi di Stadium Anfiled, Liverpool, United Kingdom.
Menggantikan logo Standard Chartered dengan tulisan Seeing is Believing, ia merupakan kali pertama dalam sejarah pasukan Liverpool mempamerkan logo amal pada jersi pemain.
Tamat permainan, jersi berkenaan kemudiannya ditandatangani oleh pemain Liverpool sekali gus menjadikannya sebagai jersi edisi terhad.
Lelongan antarabangsa
Dengan nilai eksklusif dan memori indah menumbangkan Chelsea pada malam tersebut, jersi itu kemudian di lelong kepada peminat Liverpool di seluruh dunia.
Menariknya, setiap jersi yang berjaya dilelong itu kemudiannya akan dipadankan sekali ganda oleh Standard Chartered untuk menambahkan lagi dana Seeing is Believing.
"Perlawanan antara Liverpool dan Chelsea itu ditonton oleh jutaan peminat bola sepak di seluruh dunia. Ia merupakan detik terbaik untuk kami meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai inisiatif Seeing is Believing," ujar Pengarah Kumpulan Kewangan Standard Chartered, Richard Meddings.
"Apabila kami mula menaja pasukan Liverpool, kami tahu yang Standard Chartered dan Liverpool akan menjadi penyatuan terbaik. Tetapi, kini dengan Seeing is Believing kami melihat yang gabungan ini hakikatnya jauh lebih bermakna.
"Semua duit hasil kutipan nanti akan disalurkan kepada projek membantu golongan cacat penglihatan yang miskin. Melalui rawatan atau pembedahan yang betul, kita boleh membantu kanak-kanak dan orang dewasa untuk kembali melihat dunia atau meningkatkan kualiti hidup mereka," ujarnya lagi.
Inisiatif sejak dua tahun
Kempen Seeing is Believing hakikatnya, bukanlah inisiatif baharu oleh Standard Chartered dan Liverpool kerana ia dimulakan sebaik sahaja termeterai perjanjian penajaan sejak hampir dua tahun lalu.
Sesuai dengan namanya, kempen tersebut menyasarkan golongan cacat penglihatan di seluruh dunia. Bahkan, tahun lalu rombongan pasukan bola sepak Liverpool turun ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam program Seeing is Believing di negara ini.
Antara aktiviti menarik ialah beberapa bekas pemain Liverpool menutup mata masing-masing dengan kain sewaktu bermain goal ball dengan pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) di Setapak, Kuala Lumpur. Dalam permainan goal ball, penonton perlu sentiasa senyap kerana pemain bergerak berpandukan bunyi loceng yang diletakkan di dalam bola.
Di peringkat global, terdapat 39 juta orang yang cacat penglihatan tetapi lapan daripada 10 kes kecacatan tersebut sebenarnya boleh dielakkan.
"Seeing is Believing merupakan inisiatif yang sangat hebat. Kami sudah tentunya sangat teruja apabila jersi Liverpool digunakan sebagai sebahagian daripada platform untuk meningkatan kesedaran dalam kalangan orang ramai.
"Ia bukan sekadar hanya untuk mengutip dana kepada golongan yang memerlukan, tetapi turut membuka mata mereka tentang keperluan golongan terpinggir," ujar Pengarah Urusan Liverpool FC, Ian Ayre.
Selesai sesi lelongan peringkat antarabangsa itu, nilai kutipan untuk jualan jersi tersebut ialah AS$26,000 (RM82,927) dan apabila digandakan oleh Standard Chartered total keseluruhan dana yang dikumpulkan ialah sebanyak AS$52,000 (RM165,854).
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: