Fazley bersama isterinya selepas muncul juara MasterChef Selebriti Malaysia.
Fazley bersama isterinya selepas muncul juara MasterChef Selebriti Malaysia.
Saat Fazley diumumkan sebagai pemenang MasterChef Selebriti Malaysia.
Saat Fazley diumumkan sebagai pemenang MasterChef Selebriti Malaysia.
Datuk Dr. Fazley Yaakob
Datuk Dr. Fazley Yaakob (kiri) ketika di dalam rancangan Masterchef Selebriti
Malaysia.

MENEPATI ramalan ramai, penyanyi dan perunding motivasi terkenal, Datuk Fazley Yaakob muncul sebagai juara program masakan, MasterChef Selebriti Malaysia yang pertama menewaskan 15 lagi selebriti lain.

Bersyukur atas kemenangan tersebut, Fazley menganggap pencapaiannya itu adalah kemenangan buat badan kebajikan yang diwakilinya, Yayasan Jantung Malaysia.

Menurut pelantun lagu Asmara Ini, dia bagaimanapun tidak menyangka bakal memenangi program tersebut memandangkan skop pengetahuannya dalam bidang masakan masih belum cukup mendalam.

“Alhamdulillah, saya anggap kemenangan ini adalah satu kejayaan untuk badan amal yang saya wakili. Malah, jujur saya katakan tujuan utama saya menyertai program ini semata-mata untuk memberi sumbangan kepada mereka.

“Tambahan pula, Yayasan Jantung Malaysia cukup dekat dengan diri saya memandangkan datuk dan nenek saya meninggal disebabkan penyakit jantung. Jadi, saya anggap ia sebagai satu sumbangan buat semua pesakit jantung di negara ini,” katanya yang hampir menarik diri daripada program tersebut ketika diberitahu bakal menjadi peserta.

Fazley berjaya menewaskan Angah Raja Lawak semasa episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia yang disiarkan malam Isnin lalu.

Mengakui jarang ke dapur, selebriti berusia 33 tahun ini merasakan kemenangannya itu juga adalah sebagai dedikasi buat golongan suami yang banyak membantu isteri di dapur.

“Sejujurnya, ilmu masakan yang saya ada cukup terhad tetapi dalam program masakan ini saya perlu mengingati apa yang dimasak oleh isteri dan ibu saya di rumah.

“Selalunya, saya akan memerhati bahan apa yang digunakan dan cara mereka memasak. Perkara itulah yang saya cuba praktikkan dalam MasterChef Selebriti ini dan Alhamdulillah, ia menjadi,” katanya yang menerima wang tunai RM57,500 untuk disumbangkan kepada Yayasan Jantung Malaysia.

Sentiasa memberikan persembahan yang konsisten sepanjang 13 minggu program itu berlangsung, anak kelahiran Negeri Sembilan ini mendapat inspirasi untuk menghasilkan masakan bagi episod terakhir itu daripada isterinya.

Menurutnya, sehari sebelum bertanding, mereka telah diberitahu tugasan yang perlu diselesaikan dan dia memilih meja sajian Barat untuk dipersembahkan.

“Malam sebelum bertanding saya mendapat inspirasi daripada kenangan saya bersama isteri ketika di London. Jadi saya gunakan kesempatan itu meluahkan kenangan tersebut dalam sajian terakhir saya di MasterChef Selebriti Malaysia,” katanya yang turut berterima kasih kepada barisan juri profesional; Chef Joe, Chef Adu dan Chef Zubir yang banyak memberi tunjuk ajar kepadanya sepanjang program tersebut.


Bersaing secara sihat

Mengulas mengenai pesaingnya dalam episod terakhir, Fazley tidak menafikan kebolehan Angah yang dilihat antara pesaing terdekatnya dalam program itu.

Menurutnya, biarpun mereka berdua bersaing bagi menunjukkan kepakaran memasak dalam episod tersebut, namun masing-masing memberikan kata semangat antara satu sama lain.

“Tiada istilah cemburu antara kami. Sememangnya Angah antara rakan rapat saya dalam program ini memandangkan dia gemar melawak dan mesra dengan semua selebriti di sini.

“Malah, saya akui segan dengan kebolehannya dalam memasak masakan tradisional. Apabila diumumkan saya dan Angah menjadi Top 2, kami masing-masing sedar akan kelebihan kami.

“Dan pilihan Angah untuk mempersembahkan sajian Asia memang bertepatan kerana dia mahir dalam sajian tersebut,” ujarnya lagi.

Selain Fazley dan Angah, MasterChef Selebriti turut disertai oleh Farouk Hussein, Soo Wincci, Juliza Adzlizan, Jehan Miskin, Salamiah Hassan, Thanuja, Serina Redzuawan, Siti Sarah, Azwan Ali, Tomok, Raja Azmi, Karl Shafeq, Dr Faiz, dan Louisa Chong.

Program ini memulakan penggambaran pada 27 Mac lalu dan diinspirasikan daripada program MasterChef Malaysia.

Sementara itu, Astro bakal menampilkan program MasterChef Malaysia musim kedua pada September ini dan mempunyai perancangan lain untuk program MasterChef Selebriti Malaysia.


Gabung masakan, motivasi

Dalam perkembangan lain, Fazley bakal muncul dengan dua program masakan yang turut menyaksikannya menjadi pakar motivasi dalam program tersebut.

“Selepas MasterChef Selebriti Malaysia, saya akan muncul dengan program Chef Surprise yang akan disiarkan di Astro. Dalam program ini, saya akan menjadi pengacara dan juga chef.

“Selain itu, saya juga akan muncul dalam program Hello Bro, Tolong Masak juga disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini di mana saya akan memberikan ceramah motivasi dan menyelitkan demo masakan buat tetamu yang hadir,” katanya yang juga dalam proses menyiapkan program bual bicara dan masakan bertajuk Sembang Dapur.

Bercerita mengenai perkembangan terbarunya, penyanyi ini bakal melancarkan album kelimanya yang akan dipasarkan selepas raya Aidilfitri.

“Insya-ALLAH, album kelima saya akan keluar selepas hari raya ini berkonsepkan Pop R&B. Selepas tiga tahun tidak keluar dengan album baru, saya harap album ini dapat mengubati rindu peminat,” katanya yang baru muncul dengan single terbaru duet bersama Altimet berjudul Jaga-Jaga.