Saturday, July 7, 2012

Jambori basikal gunung di Kuntau


BIARPUN kepenatan selepas berkayuh basikal, keceriaan jelas terpancar pada wajah setiap peserta jambori yang berpeluang mengenali antara satu sama lain.


MISI Kelab Rekreasi Utusan Malaysia (KRUM) yang saya sertai kali ini adalah menawan puncak tertinggi di pergunungan Latimojong, Sulawesi Selatan. Terdapat tujuh puncak di situ dengan Puncak Gunung Rante Mario, 3,474 meter adalah yang tertinggi. Ia juga merupakan puncak keempat tertinggi dalam siri Seven Summit Indonesia.

Dalam bahasa Duri, rante bermaksud daratan luas atau lapangan, manakala mario bermaksud senang atau bahagia. Jadi maksud Rante Mario adalah puncak kebahagiaan.

Bukan mudah untuk menawan puncak itu kerana ia terletak jauh di kawasan pedalaman. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Ujung Pandang, Makassar kami telah melalui satu perjalanan yang sangat meletihkan.

Baraka adalah sebuah pekan yang terletak jauh di kawasan pergunungan. Dengan sistem jalan raya yang berliku-liku dan sempit menjadikan perjalanan sangat mencabar.

Ekspedisi anjuran KRUM itu disertai 10 pendaki yang diketuai oleh presidennya, Rohana Man dengan dibantu pendaki tempatan yang diketuai oleh Muhd. Idris Evendy (Lilo).

Kami tiba di Restoran Aroma Coto Gagak untuk makan malam pukul 9.40 malam. Restoran itu sangat popular dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan. Kami menyambung semula perjalanan ke Baraka kira-kira jam 11:30 malam.

Setelah memandu sejauh 308 kilometer akhirnya kami tiba di rumah kenalan Lilo, Johan pada pukul 5.40 pagi. Selepas solat Subuh kami pun membuat persiapan pendakian.

Selepas itu, kami menuju ke balai polis berhampiran untuk melakukan pendaftaran pendakian. Proses yang dilakukan di Polsek Baraka ini agak perlahan dan setiap seorang daripada kami diambil gambar.

Menariknya kami adalah kumpulan pendaki pertama dari Malaysia yang berdaftar di situ. Selepas itu, kira-kira pukul 11.30 pagi kami seramai 14 orang sekali lagi bersesak bersama beg galas meneruskan perjalanan dengan menaiki lori sayur yang disewa.

Keindahan pemandangan perkampungan tanah tinggi dengan panorama sekeliling yang menghijau saujana mata memandang memang mengasyikkan.

Kami tiba di Buntu Dea pada pukul 1.16 petang dan mengambil keputusan untuk makan tengahari di sini dengan bekalan nasi bungkus sambil menunggu sebuah lagi lori dari Rante Lemo untuk menjemput kami.

Malangnya setelah menunggu hampir sejam kami mendapat berita lori tersebut gagal melepasi lopak-lopak besar ekoran hujan lebat beberapa hari lalu.

Perkampungan terakhir

Dari sini kami menyambung perjalanan ke Rante Lemo dengan berjalan kaki. Bagi meringankan bebanan kami, Lilo telah berunding dengan beberapa penduduk di sini untuk mengangkut beg-beg galas terus ke Desa Karangan.

Membonceng motosikal di atas jalan yang tidak rata dan berbukit tinggi ini bukanlah pilihan yang tepat kerana adakalanya kami pula yang terpaksa menolak motor tersebut.

Setelah menempuhi pelbagai halangan dan cabaran selama lebih empat jam, kami selamat tiba di Desa Karangan pukul 4.30 petang. Malam itu kami bermalam di rumah terbesar di sini iaitu rumah ibu.

Dengan ketinggian 1,456 meter dari aras laut ia merupakan perkampungan terakhir dan tertinggi di pergunungan itu.


SERAMAI 1,400 peserta memeriahkan Jambori MTB Kuntau 2012 yang julung-julung kali diadakan baru-baru ini.


Esoknya, dari Desa Karangan kami menuju Pos Satu atau Buntu Kaciling sejauh 2.7 kilometer. Pos Satu adalah sempadan antara kawasan tanaman kopi dan hutan tebal.

Trek kebun kopi di kawasan lereng-lereng bukit menyajikan permandangan menarik apatah lagi puncak bukit dibarisi pokok pine yang kelihatan tersusun sebaris.

Pukul 10.30 pagi, dari Pos Satu kami meneruskan perdakian menuju ke Pos Dua sejauh 2.1 kilometer lagi. Trek itu adalah hutan tebal yang melalui lereng curam dan tebing tinggi.

Bermula dari situ hingga ke puncak laluan treknya adalah menegak dan adakalanya sangat curam. Ini melambatkan langkah kami yang semakin lama semakin perlahan.

Kami menyeberangi sungai menggunakan titi batang pokok untuk tiba ke Pos Dua (Goa Sarung Pakpak). Kami tiba di Pos Dua pada pukul 1.40 petang.

Kami mengambil masa hampir satu jam setengah untuk ke Pos Tiga (Lantang Nase). Walaupun jaraknya hanya 900 meter, tetapi treknya sangat tegak dengan tebing yang merbahaya menjadikan perjalanan kami amat perlahan. Adakalanya ia menegak sehingga 80 ke 90 darjah.

Tapak 1

Di Buntu Lebu atau Pos Empat, laluan trek masih menegak kira kira 60 ke 70 darjah. Saya bersama empat pendaki lain yang merupakan peserta terbelakang berhenti rehat di sini untuk makan tengah hari.

Selepas itu, kami menyambung perjalanan untuk ke Pos Lima (Soloh Tama). Pos Lima merupakan tapak perkhemahan kerana terdapat punca air yang terletak kira kira 100 meter di sebelah kiri tapak perkhemahan tersebut.

Dari sini kami mengambil masa kira kira sejam untuk ke Pos Enam. Pemandangan indah pergunungan Latimojong dan perkampungan Buntu Dea dapat dilihat di beberapa kawasan trek yang terbuka di kawasan tebing sehinggalah ke Pos Tujuh.

Pokok-pokok di situ banyak dilitupi lumut tebal kerana dari situ hingga ke puncak, cuaca pergunungan sangat sejuk dan basah.

Kumpulan terakhir tiba Kolong Buntu atau Pos Tujuh pada pukul 7.20 malam. Kawasan perkhemahan itu adalah paling hampir dengan punca air, hanya 15 meter di sebelah kiri dan airnya sangat sejuk!

Esoknya, dari Pos Tujuh kami menyambung perjalanan ke puncak dengan melalui Pos Lapan yang terletak hanya setengah jam mendaki dari sini. Pos Lapan atau Perapatan merupakan kawasan perkhemahan yang rata dan luas.


DARI Rante Lemo pendaki bergilir-gilir membonceng motorsikal menuju ke Desa Karangan.


Dengan jarak 30 minit dari Pos Tujuh, lokasi itu menjadi pilihan kepada kumpulan yang lebih besar dan ramai, cuma di situ tiada punca air.

Di situ juga terdapat persimpangan untuk ke Gunung Nenemori dan ke Trek Palopo.

Dengan jarak 1.4 kilometer dari Pos Lapan ke puncak, kami mengambil masa kira-kira sejam. Trek di sini terbuka luas dan agak mendatar.

Tepat pukul 9.30 pagi pada 7 April lalu kumpulan kami berjaya menawan puncak tertinggi di sana dengan sorakan gembira. Masing-masing tidak melepaskan peluang merakam kenangan bergambar sepuas-puasnya.

Selepas sejam berehat dan bergambar kami memulakan langkah meninggalkan puncak tertinggi itu dengan hati yang berat. Sebaik tiba di Pos Tujuh kami bersiap dan berkemas bagi meninggalkan tapak perkhemahan tersebut.

Dengan berbekalkan nasi bungkus, kami memulakan langkah untuk pulang semula ke Desa Karangan.

Jika semalam, kami melalui trek itu dalam suasana gelap tapi kali ini kami dapat menikmati keindahan sepuas-puasnya sambil menuruni gunung.

Di Pos Satu, kami tersalah jalan beberapa kali kerana trek kebun kopi di sana memang mengelirukan, apatah lagi berjalan pada waktu malam di kawasan tersebut.

Saya bersama Azah, Sopiah, Azahar dan Lilo berjaya turun dengan selamat dan tiba semula di rumah ibu pada pukul 10.10 malam.

Melalui perjalanan selama hampir 15 jam, hari itu penat kami ‘dipulihkan’ dengan sup panas enak masakan ibu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: