M. NASIR akhirnya beraksi di Dewan Filharmonik Petronas yang terkenal dengan prestij dan kemasyhuran. |
MERUJUK sejarah tamadun Yunani, orkestra adalah ruang antara auditorium dan pentas prosenium di mana barisan korus dan pemuzik dibariskan. Predikat orkestra itu sendiri secara harfiahnya bermaksud tempat menari.
Lalu pada 13 dan 14 Julai ini 'tempat menari' itu bakal dilenggokkan dengan lagu-lagu seorang genius muzik, Datuk M. Nasir di Dewan Filharmonik Petronas (DMP).
Bergabung tenaga bersama 100 para pemuzik yang menariknya kelak adalah disiplin yang dirungkaikan melalui lagu-lagu M. Nasir yang kebanyakannya sudah tersadur bunyi orkestra. Penuh bunyian instrumen bakal mewarnakan lagu lagu-lagu seperti Sentuhan Listirkmu, Keroncong Untuk Ana, Sahabat Gua, Apokalpis, Di Balik Cermin Mimpi, Mustika, Raikan Cinta dan Suatu Masa.
Jelas Nasir, persembahannya kali ini terletak pada lagu-lagu yang bakal digubah mengikut perjalanan orkestra membabitkan 100 pemuzik dengan pelbagai instrumen. Persandingan antara muzik M. Nasir dan bunyi orkestra itu adalah sebuah momen baharu yang mahu dilihat para peminatnya.
"Itulah cabaran yang mahu diambil. Mahukan bunyi Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) diasimilasikan dengan muzik saya," ujar M. Nasir tentang persembahan dua malam yang bermula pukul 8.30 malam di DFP kelak.
"Saya menantikan saat ini, berpeluang untuk buat konsert kepada para peminat saya tetapi diiringi oleh sebuah kumpulan yang besar, sebuah orkestra filharmonik," ujar M. Nasir yang ditemui pada sidang akhbar di Hotel Traders, Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Ada para penggemar yang belum mengalami atau mendengar bunyi yang begini, jadi inilah masanya," terang M. Nasir yang telah berbincang dengan pihak DFP sejak setahun lalu tentang konsert ini.
Konsert ini kelak bakal dipimpin oleh Konduktor Bersekutu MPO iaitu Kevin Fields, individu yang sama memimpin konsert Datuk Sheila Majid di tempat yang sama.
Ini merupakan kali ketiga pihak MPO meraikan muzik penyanyi legenda tempatan selepas Tan Sri SM Salim (2001) dan Datuk Sheila Majid (2010).
"Saya menyaksikan konsert Tan Sri SM Salim di mana tumpuan saya berikan kepada teknikal dan dapatkan pengalaman menonton konsert sebegitu," ujar M. Nasir.
"Dalam persembahan perlu ada cerita dan biasanya barisan lagu yang dipilih perlu ada kaitan dengan tujuan penganjuran. Misalnya persembahan bersama MPO, ia sebuah pementasan kembara muzik saya selama 35 tahun.
"Lalu, lagu-lagu yang bakal didendangkan merupakan lagu yang memperkenalkan nama saya pada awal kemunculan sehinggalah ke hari ini. Setiap kali membuat persembahan, saya amat teliti dalam menyenaraikan lagu," katanya tentang persembahan yang melibatkan lapan orang penyusun lagu.
Bagi peminat yang ingin menyaksikan konsert M. Nasir with The MPO, tiket dijual dengan harga Premium: RM358, A Reserve: RM258, B Reserve: RM158, C Reserve: RM98.
Tempahan Telefon: 03- 2051 7007 Tempahan faks: 03- 2051 7077.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: