Wednesday, July 25, 2012

Galeri foto perkahwinan


PENGURUS Pemasaran Produk Canon, Chong Lip Wei (tiga dari kiri) bersama-sama jurugambar yang mempamerkan hasil seni mereka di galeri Infinity, Evelyn Lam (dari kiri) dan Peter Tan (dua dari kiri).


KEPADA jurugambar bebas yang sering merakamkan saat-saat bahagia perkahwinan terutamanya dengan menggunakan kamera jenama Canon, luangkan masa anda untuk melawat ke tingkat dua pusat beli-belah pengantin, Infinity di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur.

Siapa tahu, dengan melawat galeri yang ditempatkan di situ, mungkin ia dapat memberi anda idea dan kreativiti merakam foto perkahwinan yang lebih menarik?

Canon Marketing (Malaysia) Sdn. Bhd. (Canon) dengan kerjasama Infinity telah membuka sebuah galeri foto pengantin di situ.

"Kami melihat terdapat peningkatan permintaan untuk perkhidmatan jurugambar bebas yang merancang sesi penggambaran unik.

"Justeru, galeri foto ini diharap dalam membantu dan mendidik lebih banyak ilmu serta mencambah kreativiti jurugambar bebas," kata Pengarah Bahagian Produk Komunikasi Pengimejan Canon, Simon Wong.

Infinity merupakan sebuah pusat sehenti barangan perkahwinan sama ada produk atau perkhidmatan di bawah satu bumbung.

Antara barang perkahwinan yang dijual ialah gaun perkahwinan, kasut, aksesori, alat mekap, hadiah perkahwinan dan perkhidmatan berdandan serta pengurusan acara.

Canon menjalinkan kerjasama dengan 18 orang jurugambar perkahwinan yang terpilih supaya karya mereka dapat dipamerkan di galeri gambar Infinity.

Selain itu, Infinity dan Canon turut menganjurkan aktiviti berkaitan dengan bidang fotografi dan videografi perkahwinan setiap bulan di butik tersebut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: