|
TEPAT pukul 11.30 pagi, Hermanto sudah bersedia dengan sebaldi makanan untuk burung-burung kesayangannya.
Pagi itu dia membawa potongan kecil buah betik, pisang dan beberapa ekor anak ayam yang sudah mati. Sebaik berada di lokasi yang ditetapkan, puluhan ekor burung sudah bersedia menunggu kelibat lelaki itu.
Tanpa berlengah, tangannya pantas mencampakkan menu yang dibawa kepada burung-burung yang kelaparan itu sambil matanya melilau memandang ke atas seolah-olah mencari sesuatu.
Tiba-tiba mulutnya mengukir senyuman sebaik melihat seekor burung enggang yang baru sahaja hinggap di ranting sebatang pohon besar yang terdapat di dalam kawasan taman tersebut.
“Nah Samad! Ambil ni,” katanya ketika melontarkan seekor anak ayam yang telah mati ke atas.
Balingan tepat Hermanto terus disambut Samad melalui paruhnya yang panjang. Kemudian, Samad bertindak melambung-lambung anak ayam berbulu kuning itu beberapa kali sehingga lembik sebelum menelannya.
Tindakan burung daripada spesies enggang badak atau nama saintifiknya Bucheros rhinoceros itu ternyata menarik perhatian pengunjung.
Tabiat ketika makan
“Melambung-lambungkan makanan merupakan salah satu tabiat burung enggang pada waktu makan. Walaupun makanan tersebut hanya sepotong buah betik, namun ia tetap akan melakukan perkara yang serupa,” jelas Hermanto, seorang kakitangan Taman Burung Kuala Lumpur (TBKL) yang bergelar pemberi makan (feeder).
Berpengalaman selama 11 tahun bekerja di TBKL, Hermanto menjelaskan burung enggang memang pandai menangkap makanan yang diberikan kepadanya.
“Jarang sekali ia terlepas ketika menyambut makanan yang dilontar. Haiwan ini paling suka makan pisang dan betik selain haiwan kecil seperti anak ayam dan tikus.
“Jika sudah kenyang, ia akan berhenti dan tidak akan menyambut makanan yang dibaling lagi,” ujar Hermanto sambil memberitahu biasanya kesemua burung enggang diberi makan sekali sehari.
Secara keseluruhan, terdapat 14 ekor burung enggang atau dikenali juga sebagai burung kenyalang di TBKL yang dipelihara sejak tahun 1991. Ia terdiri daripada tujuh spesies.
|
|
Selain enggang badak, terdapat juga burung enggang kelingking atau nama saintifiknya Anthracoceros albirostris convexus, gatal birah (Anthracoceros malayanus), gunung (Aceros undulatus), papan (Buceros bicomis) dan jambul putih (Tropicranus albocristatus). Kesemuanya merupakan spesies enggang tempatan manakala enggang tanah (Bucorvus leadbeateri) pula ialah satu-satunya spesies dari luar negara.
Menurut pakar veterinar TBKL, Dr. Kartini Ahmad, 30, enggang tanah mempunyai satu sifat unik iaitu sering menghabiskan masa di atas tanah untuk mencari makanan berbanding terbang.
“Ia mempunyai tembolok berwarna merah di bahagian bawah leher. Biasanya burung ini sering dijumpai berpasangan atau dalam kumpulan kecil yang terdiri daripada tiga hingga enam ekor.
“Spesies ini banyak didapati di rantau Afrika seperti di Namibia, Angola, Burundi, Kenya, Mozambique dan Zimbabwe. Habitatnya di kawasan hutan jarang, savannah dan padang rumput terbuka,” beritahunya.
Tambah Kartini, burung enggang mempunyai tabiat yang ganjil pada musim membiak sekali gus menjadikan ia spesies istimewa berbanding burung-burung lain.
Burung betina yang bakal bertelur akan membina sarangnya di dalam batang pokok besar. Kemudian, pasangan burung enggang itu akan membuat dinding pada pintu lubang tersebut menggunakan bahan seakan-akan tanah liat. Ia biasanya terdiri daripada campuran najis, lumpur dan bahan-bahan gentian serat seperti bulu pelepah.
Dinding itu akan dibentuk dengan menggunakan paruh dan kaskanya sehingga menutup lubang pintu sarangnya. Hanya sedikit ruang lubang ditinggalkan untuk enggang jantan memberi makanan kepada enggang betina yang berada di dalam sarang tersebut selama lebih kurang tiga bulan.
Musim mengawan
“Burung enggang selalunya mengawan pada musim panas iaitu sebelum bulan September. Ia akan membuat sarangnya dari bulan Januari hingga Jun. Secara umum, burung enggang akan bertelur sebanyak dua biji dan biasanya hanya seekor anak yang berjaya meneruskan kehidupan,” ungkap Kartini lagi.
Di samping itu, pasti ramai yang tidak mengetahui keistimewaan lain yang terdapat pada burung enggang iaitu haiwan ini hidup berpasangan secara monogami. Ia bermakna setiap seekor enggang hanya memiliki satu pasangan sepanjang hayatnya.
“Jadi, boleh dikatakan enggang merupakan sejenis burung yang setia pada pasangannya. Jika pasangannya mati, maka ia tidak akan mencari enggang yang lain untuk menjadi teman hidup dan kekal sendirian hingga ke akhir hayat,” tutur Kartini sambil memeriksa seekor burung enggang gunung yang jinak.
Sementara itu, menurut renjer TBKL, Abdul Qaiyum Abdul Rahim, 23, kesemua burung enggang di taman itu diletakkan di dalam sangkar dan segala rutin berdasarkan jadual yang ditetapkan.
“Burung enggang jantan misalnya, akan berbunyi pada setiap pagi sekitar pukul 6 untuk menunjukkan wilayahnya. Burung ini tidak mempunyai waktu makan dan tidur yang spesifik.
“Cuma sekali sehari memang ada feeder yang akan mengagihkan makanan kepada burung-burung yang terdapat di taman ini,” kata Abdul Qaiyum sambil menambah bahawa jangka hayat burung enggang sama ada jantan atau betina ialah antara 35 hingga 40 tahun.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: