PARIS, sebut sahaja nama bandar kosmopolitan terkemuka dunia ini, pasti semua mengenalinya dan memang ramai yang teringin hendak ke kota ini.
Selain diingati sebagai kota cinta dan kota fesyen, pemergian ke Paris tidak akan lengkap tanpa melawati dan bergambar di Menara Eifel yang menjadi mercu tandanya.
Mungkin ramai yang tidak menyedari, bukan sahaja Paris, sebenarnya Perancis juga terkenal dengan beberapa bandar lain yang amat menarik untuk dijadikan destinasi pelancongan.
Sekiranya anda berada di negara ini untuk melakukan lawatan atau bercuti, kunjungan anda boleh 'dipanjangkan' ke En Provence (sebutannya Provons) sebuah bandar terletak di bahagian selatan Perancis iaitu berhampiran laut Mediterranean dan bersempadan dengan negara Itali.
Berkesempatan melawati bandar ala-country ini atas undangan jenama produk terkenal L'Occitane, mata terpaku dengan keindahan pemandangan semula jadi landskapnya seolah-olah lukisan menarik tanpa bingkai.
Itu belum ditambah dengan keindahan senibinanya yang terdiri daripada struktur bangunan dan rumah yang tetap mengekalkan keaslian binaan menggunakan batu kuari dan marmar terra cotta dan batuan, semakin terserlah keindahan bandar tipikal ini.
Namun untuk menyaksikan semua keindahan alam dan suasana yang amat menakjubkan ini, perjalanannya memang agak jauh.
Pesawat yang membawa kami dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mendarat dengan selamat di lapangan terbang Charles de Goulle, Paris pada 6.30 pagi waktu tempatan setelah 13 jam penerbangan tanpa henti.
Setibanya di lapangan terbang, kami menaiki tren di terminal berkenaan untuk tiga jam lagi sebelum bertukar tren di salah satu perhentian dan menyusur sejam lagi ke destinasi iaitu stesen kereta api Aix En Provence.
SelesaTren dua tingkat yang dinaiki amat selesa, lengkap dengan coffee bar, meja makan dan penumpangnya bebas bergerak turun dari atas ke bawah gerabak.
Keletihan ketika di dalam kapal terbang dan tren terubat apabila melihat pemandangan indah di sepanjang perjalanan.
Memandangkan kunjungan dilakukan pada musim bunga, En Provence umpama syurga dunia.
Limpahan bunga-bungaan dan pemandangan yang menakjubkan alam semulajadinya memang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
Padang yang menghijau terhampar luas diselang-seli dengan bayu lembut menggoyangkan bunga-bunga beraneka warna di tengah-tengahnya.
Jika anda membuka tingkap tren, deria bau anda pasti dapat menangkap haruman bunga-bungaan.
Mungkin anda pernah menonton filem Mr. Bean's Holiday, lakonan Rowan Atkinson, begitulah keadaannya sepanjang perjalanan ke En Provence dan begitulah juga suasananya - sangat mendamaikan.
Setelah empat jam, penulis sampai di stesen kereta api dan sebuah van menanti untuk membawa ke destinasi seterusnya selama satu setengah jam perjalanan ke Hotel Spa Couvent des Minimes di En Provence.
Hotel ini memang cantik. Hiasan dalamannya menarik, didirikan dengan bongkah batu-batan besar dan setiap satu cirinya mendekati senibina Perancis lama.
En Provence memang sebuah bandar yang mengekalkan ciri keaslian seni binaan dan keunikan landskapnya.
Ia sebuah bandar yang kaya dengan tradisi dan kemewahan alam semula jadi selain unik, antik dan mewah dengan pelbagai hasil tani.
Kebanyakan penduduknya mengusahakan ladang pertanian, penternakan, bunga-bungaan, sayur-sayuran dan penyelidikan botani.
Suasana amat tenang dan tenteram dengan bangunan dan rumah atau bangsal lama diubah suai menjadi rumah dan motel untuk menyambut pelancong mahupun tetamu.
En Provence biarpun dalam musim bunga, suhunya tetap di bawah 11 darjah celcius pada waktu tengah hari manakala pada pagi dan malam pula lebih dingin lagi.
Siang di sini panjang dengan keadaan semakin gelap hanya menjelang 10 malam dan cerah pada pukul 6 pagi.
MasyarakatMasyarakat di sini gemar duduk bersantai dengan menikmati secawan teh atau kopi di restoran-restoran di bandar kecilnya yang kaya dengan jualan kraf tangan dan produk badan berbentuk sabun hasil bunga-bungaan.
Bagi mereka yang mahukan sesuatu yang mencabar, En Provence bukanlah tempatnya kecuali bagi yang ingin berekreasi menaiki belon panas, aktiviti ini ada disediakan di sini.
Sekiranya anda ingin berbulan madu, tempat ini sepatutnya menjadi pilihan.
Antara yang boleh dikunjungi, The Salagon Garden iaitu sebuah muzium merangkap universiti yang ditugaskan membuat kajian mengenai tumbuh-tumbuhan, The Grand Cruz - sebuah rumah membuat wain paling popular, The Ochers of Russillon, fenomena geologikal batuan menarik dan the Apt Peasant Market tempat penduduknya membeli barangan di pasar terbuka.
Pasar ini biarpun agak kecil namun menjual hampir kesemua barangan yang diperlukan penduduk iaitu sayur-sayuran, buah-buahan, madu, benih biji-bijian dan sebagainya.
Bagi mereka yang mahu melihat pokok zaitun, di sini terdapat ladang zaitun yang besar dengan satu-satunya pokok zaitun yang berusia lebih 100 tahun.
Begitu juga dengan ladang bunga lavendar dan immortelle yang ditanam khusus untuk membuat produk, festival musim bunga, perched villages iaitu kampung warisan mengekalkan keunikan seni bina lama.
Selama empat hari di situ penulis menikmati pelbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan segar serta minuman daripada jus buah-buahan.
Apa yang menarik mengenai rakyat Perancis adalah kecintaan mereka terhadap bahasa ibunda.
Jarang sekali menggunakan bahasa Inggeris kecuali untuk membentangkan sesuatu tugasan kepada tetamu luar ataupun meminta seorang penterjemah bahasa berbuat demikian.
Semangat kecintaan ini dikukuhkan lagi apabila seorang pramugari ketika dalam penerbangan memberitahu, rakyat Perancis tidak akan berbahasa Inggeris kecuali terpaksa berbuat demikian demi tugas kerana merasakan ia satu 'dosa'.
Malangnya, ada penduduk yang dilahir dan dibesarkan di negara ini enggan berbahasa Malaysia malah tidak fasih berbahasa kebangsaan.
Justeru di mana pun kita berada, cintai dan hargailah bahasa kebangsaan kita dengan bertutur menerusinya kerana bahasa mencerminkan bangsanya.
Setelah tugasan selesai, kami balik semula ke Paris, melawat bandar itu sebelum bertolak pulang ke Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: