Saturday, July 14, 2012

Emma terharu jadi Gwen Stacy

pix_middle

MENJADI sebahagian daripada sejarah Marvel Comics tidak kira dalam apa jua platform, tentunya suatu pengalaman mahupun peluang yang bermakna bagi seseorang pelakon di Barat.

Hakikat ini kerana aura setiap adiwira atau ‘superhero’ dalam koleksi Marvel mempunyai jutaan peminat di seluruh dunia dan sangat berpengaruh dalam ruang galaksi komik.

  • Foto

  • Foto

  • Foto

    BERPASANGAN...Emma dan Andrew ketika di lokasi penggambaran.

  • Foto

    EMMA..mula didedahkan dengan lakonan sejak kanak-kanak

Ketika ini, tumpuan peminat filem diberikan kepada Gwen Stacy, 17, pelajar kolej yang meminati dunia sains khususnya biologi. Sebab utama Gwen mendapat perhatian itu tidak lain kerana dia gadis yang dicintai Peter Parker/Spider-Man.

Inilah keseronokan serta kepuasan yang sedang dirasai aktres jelita, Emily Jean Stone atau nama komersialnya, Emma Stone, 23, yang duduk di barisan pelakon utama The Amazing Spider-Man bersama Andrew Garfield dan Rhys Ifans.


Sebelum ini, dalam saga Spider-Man arahan Sam Raimi lakonan Tobey Maguire, penonton sudah melihat Peter Parker begitu asyik bercinta dengan Mary-Jane Watson lakonan Kirsten Dunst.


Namun untuk versi ‘reboot’ Spider-Man arahan Marc Webb tahun ini, watak Gwen Stacy pula muncul dan menjadi sangat dominan di sisi lelaki berkuasa ‘araknida’ itu. Mengikut komik yang dicetuskan penulis legenda, Stan Lee melalui komik Marvel, Gwen adalah kekasih hati Peter pada zaman dia menuntut di kolej.

Kata Emma yang ditemui Harian Metro bersama-sama media antarabangsa lain di Cancun, Mexico, pertengahan April lalu, pengalaman membintangi The Amazing Spider-Man yang mula dibikin sejak penghujung 2010 adalah sesuatu yang cukup bermakna kepada dirinya sebagai seorang pelakon.

“Seperti pelakon lain, saya juga melalui proses uji bakat untuk membintangi filem ini. Ketika sedang terbabit dengan penggambaran filem The Help, saya dihubungi pihak Sony Pictures.

“Kemudian sewaktu tayangan perdana filem Easy A, saya pun pergilah ke sesi uji bakat filem ini bersama Andrew (Garfield). Saya masih ingat lagi, ketika itu saya memang tidak sihat tetapi saya fikir apa salahnya pergi ke uji bakat kalau orang mahu memberi kita peluang. Nyata akhirnya usaha saya itu berbaloi,” kata Emma.

Menceritakan mengenai watak itu, Emma berkata, Gwen adalah seorang gadis yang bijak, sukakan pengajian sains dan sangat yakin dengan apa yang dilakukannya.

“Gwen anak seorang ketua polis dan dia sangat rapat dengan keluarganya terutama ayahnya. Disebabkan Gwen satu-satunya anak perempuan dalam keluarga, ayahnya sentiasa bimbang dan mahu melindunginya sepanjang masa.

“Namun selepas mula mengenali Peter, Gwen mula jatuh hati dengan lelaki itu dan terpaksa mengambil risiko untuk berkawan secara senyap-senyap. Dia juga memahami tidak semudah itu ayahnya akan menerima kehadiran Peter, apatah lagi Peter begitu obses mempertahankan perjuangan Spider-Man untuk membanteras jenayah di New York,’ kata Emma lagi.

Aktres peramah ini mengakui tidak menghadapi masalah untuk mencipta keserasian dengan Andrew walaupun sedar ada pelakon yang memerlukan masa untuk menjadi selesa ketika di set penggambaran. Semua itu katanya, bergantung kepada situasi hubungan sesama pelakon itu sama ada mereka tidak pernah kenal, sudah lama bersahabat atau mungkin juga daripada kalangan pasangan kekasih.

“Bagi situasi kami, saya tiada masalah untuk berlakon dengan Andrew kerana kami memang berkawan. Memang dalam filem ini ada babak romantis antara kami berdua, namun tidak ada pun babak bercium dalam keadaan ‘terbalik’ seperti dalam Spider-Man sebelum ini.

“Kami juga selesa kerana Marc (pengarah) memberikan ruang kepada kami membuat banyak perubahan ketika berlakon,” jelas Emma yang terbabit penggambaran selama enam bulan.

Ditanya adakah dia membuat sendiri lagak ngeri dalam filem itu, Emma berkata, ia tidak banyak dilakukannya, hanya sekadar beberapa babak bergayutan.

Ditanya pula adakah Spider-Man seorang figura yang seksi, Emma berseloroh dan ketawa: “Seksi? Gwen baru 17 tahun dalam filem itu, dia kena tunggu sekurang-kurangnya 18 tahun baru dapat jawab soalan itu!”

Mengenai imej ‘blonde’ pada dirinya, Emma berkata, dia pernah juga mewarnakan rambutnya itu beberapa kali sejak usia belasan tahun tetapi akhirnya kembali dengan imej asal.

“Disebabkan rambut saya ini perang semula jadi, saya rasa inilah diri saya yang sebenar,” ujarnya ringkas.

Apa yang nyata, sejak mempromosikan The Amazing Spider-Man, Emma sibuk menjelajah ke banyak bandar raya di seluruh dunia. Dia mengakui kadangkala berasa lesu terutama kalau berdepan dengan situasi pertukaran waktu atau ‘jet lag’ tatkala tiba di sesebuah negara.

“Kemudian apabila ditanya dengan soalan yang sama saja, saya jadi lebih letih dan bingung. Namun ke mana juga pergi, saya tidak lekang dengan telefon bimbit kerana saya tidak suka terputus hubungan dengan orang penting dalam hidup. Selain itu, saya juga suka membawa sebuah buku untuk dibaca kalau tidak bekerja,” ujarnya.

Menjawab pertanyaan lain, adakah dia jenis suka ke majlis berprestij dan acara karpet merah, Emma akui itu situasi yang menyeronokkan kerana dia berpeluang menggayakan fesyen rekaan pereka ternama sambil bertemu rakan artis.

“Memang seronok dapat bekerja dengan pereka gaya yang berbeza-beza, lebih-lebih lagi mereka yang kreatif. Walaupun kadangkala rasa macam pelik, saya tetap sukakan acara karpet merah. Terus terang, saya perlu minum segelas wain dulu untuk membolehkan saya rasa selesa berjalan di karpet merah,” jelasnya.

Kata Emma lagi, dia gembira melalui kehidupan sekarang tetapi tidak pernah menganggap ia fasa yang terbaik.

“Saya selalu fikir tidak akan adanya fasa terbaik bagi manusia kerana akan selalu ada sesuatu yang lebih baik mahu kita capai dari semasa ke semasa,” katanya yang tidak meminati sukan golf seperti ayahnya.

Emma anak sulung daripada dua beradik, dilahirkan di Scottsdale, Arizona pada 6 November 1988. Sejak kecil lagi, artis berambut cantik ini sudah menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang lakonan.

Pada mulanya, dia menjayakan pementasan bersama Valley Youth Theatre iaitu sebuah kumpulan teater tempatan di Phoenix, Arizona. Pementasan pertamanya, The Wind in the Willows ketika berusia 11 tahun.

Pementasan lain yang pernah dijayakannya termasuklah Winnie-the-Pooh Christmas Tail, The Princess and the Pea, Cinderella, The Wiz, Titanic, Honk!, The Little Mermaid, Schoolhouse Rock Live! dan Alice in Wonderland.

Tidak terhenti di situ, Emma kemudian bertapak sebagai pelakon siri TV Drive. Dari saat itu bakatnya berkembang dan membolehkan dia mengorak langkah ke layar perak pada 2007 dengan membintangi filem komedi Superbad. Seterusnya dia muncul dalam filem The House Bunny, Ghosts of Girlfriends Past dan filem komedi-seram popular, Zombieland.

Kemudian tampil dalam filem Paper Man dan meminjamkan suara untuk watak Mazie dalam Marmaduke. Tidak lama selepas itu, Emma muncul dalam filem Easy A yang membuka peluang kepadanya untuk dicalonkan pada Anugerah Golden Globe bagi kategori Aktres Terbaik Muzikal atau Komedi.

Pada 2011, dia membintangi filem Crazy, Stupid, Love, Friends With Benefits dan The Help. Akhirnya, barulah tawaran untuk The Amazing Spider-Man.

Sebelum ini, Emma juga pernah mencuba bakat dalam bidang nyanyian apabila menyanyikan lagu Know What Boys Like bersama Rumer Willis untuk filem The House Bunny.

Dulu dia menetap di Los Angeles dan kemudian berpindah ke New York sejak 2009. Awal tahun depan, Emma dijadual muncul dalam animasi terbaru, The Croods (3D) terbitan DreamWorks Animation. Dalam filem itu, dia meminjamkan suaranya untuk watak Eep, anak sulung Grug (Nicolas Cage) dan Ugga (Catherine Keener).

Antara anugerah yang pernah dimenanginya, Young Hollywood Awards Exciting New Face 2008, Teen Choice Awards Movie Actress 2011, Persembahan Komedi Terbaik MTV Movie Awards 2011 dan Aktres Kegemaran dalam People’s Choice Award 2012.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: