Elaun tak bayar, pengawal keselamatan lapor polis
Lebih 40 pengawal keselamatan sekolah di daerah Kerian membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Piandang berhubung isu tunggakan elaun dan KWSP sejak dua bulan lalu.

KERIAN - Lebih 40 pengawal keselamatan sekolah menengah di daerah ini membuat laporan polis setelah kecewa dengan sikap majikan yang masih gagal melunaskan tunggakan elaun mereka sehingga kini.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Noor Ismail berkata, seramai 62 pengawal keselamatan yang sebelum ini mengalami tunggakan elaun selama dua bulan dijamin akan diselesaikan oleh wakil syarikat dalam tempoh seminggu lalu.

Bagaimanapun, setelah tempoh seminggu berakhir, kesemua pengawal keselamatan terlibat hanya dibayar gaji pendahuluan sebanyak RM500 sahaja, manakala lebihan tunggakan elaun dan gaji yang dianggarkan berjumlah RM1,400 setiap orang masih gagal diberikan.

“Saya dimaklumkan wakil syarikat bahawa Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kerian sudah menyelesaikan pembayaran tuntutan invois syarikat Rabu lalu dan majikan berjanji akan menyelesaikan tunggakan elaun serta gajiselewat-lewatnya Jumaat lalu.

“Apabila semakan baki akaun bank dibuat pada Jumaat lalu, kami dapati majikan gagal menunaikan janji memasukkan keseluruhan jumlah tunggakan elaun dan gaji selain memberi alasan tidak sempat,” katanya sewaktu ditemui media di hadapan Balai Polis Tanjung Piandang, di sini semalam.

Mohd Noor berkata, pihaknya membuat semakan kali kedua pada 16 Julai lalu dan terkejut mendapati majikan hanya memasukkan gaji pendahuluan berjumlah RM500 dalam akaun bank mereka.

Menurutnya, pihaknya sekali lagi mendapatkan penjelasan majikan dan mereka memberi alasan memerlukan masa sehingga Rabu.

“Laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Piandang, kirakira 10 pagi ini (semalam) terhadap syarikat susulan kami berasa tertipu dengan alasan demi alasan dikemukakan mereka, sedangkan ramai dalam kalangan kami kini terpaksa menanggung hutang.

“Pihak kami menerima panggilan daripada Biro Pengaduan Awam, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang memberi jaminan akan menamatkan kontrak majikan kami serta-merta sekiranya perkara ini tidak diselesaikan dalam tempoh tiga minggu,” katanya.

Katanya, pada masa sama, pihaknya juga dipanggil Jabatan Tenaga Kerja untuk memberikan keterangan mengenai kes tunggakan elaun dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini dan berharap mendapat keadilan sewajarnya.