DUNIA permainan video kini semakin hangat dengan pengenalan pelbagai francais baharu dari pelbagai syarikat permainan terkemuka. Komuniti gamers kini ditawarkan dengan lebih pilihan dan hanya segelintir yang berjaya menarik perhatian.
Antaranya adalah seperti siri permainan Diablo dan Final Fantasy. Namun, gamers pasti mengenali francais Mass Effect yang dihasilkan oleh BioWare.
Dalam siri yang ketiga, Mass Effect 3 telah dilancarkan pada 6 Mac 2012 dan bakal merungkaikan segala persoalan daripada siri sebelum ini. Ia boleh didapati pada platform Microsoft Windows, PlayStation 3, XBOB360 dan juga Wii U.
Plot
Pemain akan diperkenalkan dengan watak utama, Commander Shepard yang kini berada di Bumi apabila Reapers, sejenis kaum makhluk asing yang sangat maju datang menyerang Bumi secara mengejut.
Rakan seperjuangannya, Admiral Anderson mencadangkan supaya Shepard lari meminta bantuan daripada suku makhluk yang lain sementara beliau mempertahankan Bumi.
Namun, Shepard diberitahu tentang sejenis objek yang telah ditemui di planet Marikh. Ia dipercayai berpotensi menyelamatkan umat manusia dalam memerangi Reapers.
Dalam perjalanan keluar dari zon tersebut, Shepard bertemu semula dengan bekas ahli kumpulan daripada siri Mass Effect sebelum ini dan pengembaraan pemain bermula ketika hendak meninggalkan Bumi dalam jagaan Admiral Anderson.
Mekanisme permainan
Sama seperti francais sebelum ini, pemain harus membuat pilihan untuk setiap dialog dalam Mass Effect 3 dan setiap pilihan dialog akan memulangkan hasil yang berbeza. Permainan ini juga mempunyai kombinasi mekanisme permainan yang sangat ideal.
Pada permulaan permainan, pemain diberi pilihan antara tiga kempen pre-set iaitu Action Mode, Story Mode dan RPG Mode. Setiap mod akan memberi impak yang berbeza terhadap pemain.
Dalam Action Mode, pemain tidak perlu membuat pilihan dialog perbualan dan tahap kesusahan permainan akan ditetapkan pada Normal.
Bagi mod RPG, pemain harus membuat pilihan dalam setiap dialog dan pemain juga diberikan kebebasan dalam membentuk watak pemain. Ini bermaksud bermaksud setiap customization adalah terpulang kepada gaya bermain pemain.
Untuk Story Mode pula, ia sama seperti Action Mode cuma pemain diberi kelebihan dalam menentukan pilihan jawapan dalam sesebuah perbualan.
Implikasi
Paling menarik tentang francais Mass Effect ialah jika pemain memiliki dan menamatkan siri sebelumnya iaitu Mass Effect 1 dan 2, beberapa aspek permainan dalam Mass Effect 3 akan berubah kerana tindakan pemain dalam siri sebelum ini memberi impak secara tidak langsung dalam plot permainan yang terkini.
Jadi, setiap pemain mempunyai pengalaman yang berbeza dalam Mass Effect 3 sekiranya mereka pernah bermain dengan siri sebelum ini. Hal itu memberikan rasa ekstra kepada pemain iaitu keputusan yang mereka lakukan sebelum ini adalah penting.
Mod atas talian
Mass Effect 3 juga menawarkan mod atas talian di mana pemain dapat berganding dengan tiga pemain lain dalam misi menumpaskan beberapa markas pihak musuh.
Namun, keputusan pemain dalam mod ini juga akan memberi kesan terhadap corak permainan mod single-player sekali gus meningkatkan kebarangkalian pemain untuk mendapatkan penamat single-player yang sempurna.
Mass Effect merupakan francais yang sangat berjaya yang dibikin oleh BioWare. Sama seperti francais lain seperti Dragon Age, Mass Effect menawarkan pengalaman yang tiada tolok bandingnya iaitu dengan melibatkan pemain dalam setiap keputusan yang perlu dilakukan dalam permainan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: