Thursday, July 12, 2012

Dunia magis terbaik di RWG


DALAM keadaan terikat dan tergantung di udara, Magic Babe Ning berjaya mendebarkan pengunjung dengan aksi melepaskan diri daripada baju pasung.


SELEPAS kejayaan penganjuran Superstars of Magic pada Oktober tahun lalu, dunia magis kembali semula ke Resort World Genting (RWG).

Kali ini ia dikenali sebagai Festival Silap Mata Antarabangsa Genting 2012 yang berlangsung dari 1 Ogos hingga 9 September nanti.

Menariknya, festival itu lebih meriah dengan gabungan beberapa acara iaitu Buskers Antarabangsa (1 hingga 15 Ogos), Magis Antarabangsa (15 Ogos - 2 September) dan Superstars of Magic 2 (18 Ogos - 9 September).

Naib Presiden Kanan, Komunikasi dan Perhubungan Awam Genting Malaysia Berhad, Datuk Anthony Yeo berkata, festival itu merupakan salah satu usaha menjadikan RWG sebagai lokasi persembahan silap mata bertaraf antarabangsa yang terulung di Malaysia dan Asia Tenggara amnya.

Katanya, kejayaan penganjuran persembahan Superstars of Magic dan Freeze and Ice Skating Magic sebelum ini, memberi keyakinan kepada pihaknya bahawa Festival Silap Mata Antarabangsa Genting 2012 mampu menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara ke resort itu.

“Festival kali ini lebih meriah kerana ia menggabungkan tiga acara sekali gus di satu lokasi.

“Selain melihat persembahan ahli-ahli silap mata profesional dan mempelajari pelbagai muslihat yang digunakan, pengunjung juga pasti terpesona dengan aksi pelbagai penghibur jalanan (busker) yang dibawa khas dari seluruh dunia,” katanya semasa melancarkan festival itu di RWG baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pesuruhjaya Tinggi Singapura di Malaysia, Ong Keng Yong.

Sementara itu, Pengarah Persembahan Superstars of Magic 2, David Lai berkata, kehadiran sekumpulan ahli silap mata profesional itu membolehkan penonton menyaksikan keunikan persembahan mereka.

“Setiap mereka mempunyai latar belakang dan kepakaran berbeza dan saya pasti ia berjaya membuat penonton terpukau,” katanya.

Antara ahli silap mata yang akan mempamerkan kehebatan mereka ialah Dean Gunnarson, JC Sum and Magic Babe Ning, Charlie Frye and Company, Christian Lindeman dan Chipper Lowell.

Tidak ketinggalan Nestol Hato, SOS and Victoria Petrosyan dan SOS and Tigran Junior.

Terdahulu, ketika majlis pelancaran, pengunjung dan wakil media dihiburkan dengan gimik khas yang dipersembahkan oleh dua ahli ilusi dari Singapura, JC Sum and Magic Babe Ning dikenali sebagai Extreme Inverted Double Straitjackets Escape.

Dalam keadaan diikat dengan dua helai baju pasung sambil tergantung di atas tali yang terbakar kira-kira 10 meter di udara, Ning melakukan aksi dramatik apabila berjaya melepaskan diri dalam tempoh kurang daripada tiga minit.

Persembahan itu mencipta sejarah tersendiri di Malaysia kerana ia aksi pertama seumpamanya yang dilakukan oleh seorang wanita.

Justeru, bagi pengunjung yang tidak mahu ketinggalan menyertai keghairahan dan keseronokkan dunia magis dan ilusi, bolehlah mendapatkan tiket-tiket lebih awal.

Sebarang pertanyaan atau tempahan boleh hubungi 03-2718 1118 atau layari laman web di www.rwgenting.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: