Tuesday, July 3, 2012

Dua hari dua kenduri di Kampung Pengantin

pemenang ketiga gerbang cinta berjalan di lorong khas karpet merah yang indah dengan hiasan ala taman tergantung.

TIADA yang mustahil untuk dijayakan selagi semua ahli kumpulan berjaya menjalankan segala tanggung jawab yang telah diamanahkan," tegas Syed Nahar Syed Hassan, pemilik Kampung Pengantin dengan penuh yakin dan tenang.

Kenyataan itu merujuk kepada keupayaan Syed Nahar dan ahli kumpulan Kampung Pengantin melaksanakan dua kenduri kahwin dalam masa dua hari berturut-turut.

Syed Nahar ditemui pada majlis perkahwinan pemenang keempat Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Malaysia Musim Ke-3 (GC Ke-3) , Dinie Fitri Ridzwan dan Nor Hafizah Mohd Nor yang berlangsung Ahad lalu.

Sehari sebelum itu di lokasi yang sama menyaksikan berlangsungnya persandingan pemenang ketiga peraduan, pasangan Anwar Abdullah dan Noor Amiera Alias.

Kata Syed Nahar, semuanya jadi mudah berkat kerjasama serta pengalaman yang telah dikumpul sejak beliau mengendalikan majlis perkahwinan pertama kira-kira 10 tahun dahulu.

“Memang sudah biasa mengendalikan dua kenduri pada hujung minggu. Apa yang menjadikan semuanya berjalan dengan lancar ialah bukan apa yang dilaksanakan pada hari tersebut tapi perancangan yang telah dibuat.

“Untuk dua kenduri ini, kami (dia dan para pekerjanya) telah mengadakan mesyuarat dan perbincangan kira-kira dua minggu sebelum majlis berlangsung.

“Dalam perbincangan tersebut, semua ‘jentera’ yang terlibat telah dimaklumkan apa tugasan masing-masing. Sebagai contoh, bahagian katering, hiasan dalam dewan, bahagian pembersihan, runner dan sebagainya, semuanya sudah mengetahui apa peranan mereka.

“Mereka ini juga merupakan pekerja yang pantas dan bijak membahagikan masa secukupnya untuk memastikan kenduri seterusnya berjalan dengan sempurna," jelasnya.

Syed Nahar mengakui jika semuanya mahu dibuat pada saat-saat akhir pasti keadaan menjadi kelam kabut.

Beliau berkata, biasanya apabila mengendali satu-satu majlis kenduri semuanya telah ditetapkan lebih awal dan jika ada perubahan sekalipun selalunya tercetus dari pihak ahli keluarga pengantin.

“Itu semua perkara lumrah bagi kami dan apa jua perubahan walaupun di saat akhir oleh pihak pengantin kami akan sedaya upaya cuba laksanakan dengan sebaiknya.

“Alhamdulillah 25 staf di Kampung Pengantin ini semuanya cekap dengan tugasan masing-masing. Cuma satu yang menjadi cabaran pada majlis kenduri berturut seperti ini ialah kurang tidur.

“Macam saya, lepas kenduri pemenang ketiga berakhir pada pukul 12 malam, kami semua mengemas sampai menjelang waktu subuh. Lepas Subuh pagi tu, saya ambil kesempatan rehat dan melelapkan mata sejenak dan kemudian bangun semula untuk persiapan majlis pemenang keempat pula.

“Itu perkara biasa dan tidak menjadi masalah kerana tidak bermakna kurang tidur tidak berupaya memberikan yang terbaik.

“Semua alas meja digantikan dengan yang baru yang membezakan antara pengantin semalam dan hari ini ialah tema warnanya sahaja. Tugas kami juga tidak sukar kerana pelamin dan sebahagian hiasan dewan telah disiapkan oleh Izzuddin Karso dari Precious Moments.

“Dari segi jamuan pula menu yang ditawarkan juga pelbagai sama ada nasi minyak atau nasi beriani dengan lauk-pauk seperti ayam goreng madu, dalca, kuzi kambing, ikan tiga rasa, acar buah dan sebagainya.

“Kami juga menyediakan sudut teh tarik dengan pilihan sekurang-kurangnya dua kuih-muih tempatan," katanya.

Buat masa ini, menurut Syed Nahar, Kampung Pengantin, yang merupakan penaja jamuan dan lokasi bagi pemenang tempat ketiga hingga ke lima GC Ke-3), memiliki tiga lokasi iaitu dua di Jalan Genting Klang, Setapak dan satu di Dataran Merdeka.

Setakat ini lokasi baru di Jalan Genting Klang yang berkonsepkan sky garden atau taman tergantung, paling mendapat sambutan daripada para pengantin.

“Kedudukannya yang terletak di tingkat paling atas bangunan rumah kedai dan mempunyai teres terbuka dengan pemandangan indah Kuala Lumpur waktu malam menjadi tarikan utama," katanya.

Bagi Syed Nahar, perkhidmatan perunding perkahwinan yang disandangnya sebenarnya lahir dari hatinya yang amat suka melihat pasangan muda berkahwin dan gembira.

Bagi Syed Nahar, kepuasan sebenar dalam kerjaya ini ialah apabila semuanya berpuas hati yang membuatkan penat lelahnya hilang sekelip mata.

Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Kampung Pengantin boleh hubungi 016-2518035 (Syed Nahar) 016-5558035 (Fathin Mazlina).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: