Thursday, July 19, 2012

Dominasi naskhah kerohanian Ramadan



KEBERKATAN, kesyukuran, keinsafan dan kesederhanaan bulan Ramadan memberi peluang untuk stesen-stesen penyiaran televisyen mahupun radio mengolah corak penyampaian mesej kepada penonton dan pendengar.

Bukan semata-mata melihat aspek keuntungan jika sesebuah rancangan ditonton khalayak dan mendapat lonjakan tertinggi semata-mata, tapi juga memperkukuhkan amalan amar makruf nahi mungkar.

Mesej positif bernilai pendidikan disampaikan menerusi rancangan-rancangan seperti tazkirah, bual bicara, realiti, drama, telefilem, animasi malah juga melalui sitkom.

Contoh jelas dapat dilihat menerusi paparan beberapa slot rancangan menarik sempena Ramadan stesen televisyen tertentu antaranya TV3, TV9 dan Astro.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 & TV9, Sherina Nordin, pihaknya memilih tema Raikan Ramadan bersesuaian dengan bulan yang mulia untuk menyucikan hati, bermuhasabah dan meningkatkan keperibadian.

"Raikan Ramadan diterapkan dalam pelbagai rancangan berbentuk ilmiah, padat teladan dan keinsafan untuk dikongsi bersama menerusi program majalah, dokumentari, drama serta hiburan.

"Lebih menarik, program-program istimewa bersempena bulan Ramadan disusun mengikut subtema iaitu Dengan Kesederhanaan, Dengan Kesyukuran, Dengan Keinsafan dan Dengan Pujian.

"TV3 menyajikan program-program penuh keinsafan dan pengajaran seperti Jejak Rasul, Kias Ramadan, Insaf, Solusi, Iktibar dan Bayar Tunai. Selain itu bulan yang perlu diisi dengan puji-pujian kepada Allah ini turut diselitkan dengan program Kalamullah, Madrasah dan Qari Junior," katanya pada sidang akhbar program Ramadan TV3 di Restoran The Terrace, Damansara baru-baru ini.

Selain itu, TV3 juga menyajikan program penuh kesederhanaan antaranya dramedy Mentua VS Menantu, Akustika Ramadan dan drama bersiri 7 Ramadan melalui Slot Samarinda.

Memperingati golongan yang kurang bernasib baik, pihaknya menyiarkan program Singgah Sahur, Bazaar Ramadan dan 5 Rencah 5 Rasa Ramadan untuk tontonan.


PROGRAM Madrasah menampilkan rutin anak-anak tahfiz di madrasah sepanjang bulan Ramadan.


Astro juga tidak ketinggalan menghidangkan juadah berbentuk Islamik sempena kedatangan bulan Ramadan. Menurut Pengurus Saluran Astro Oasis, Izelan Basar, pihaknya tidak ketinggalan menyiarkan program pengisian nilai kerohanian menerusi beberapa rancangan menarik.

"Astro Oasis membawakan solat sunat tarawih secara langsung dari Masjidil Haram Mekah, bacaan Tadarus Al-Quran dan tazkirah Ramadan menjelang waktu berbuka puasa.

"Bagi menyemarakkan kehadiran bulan mulia ini, program menarik lain turut disajikan seperti Geng Surau musim ke-2, Tanah Kubur musim ke-4, Rasa Halal Antarabangsa.

"Kami juga mempunyai slot sinetron eksklusif gandingan istimewa Maher Zain dan Fadly Padu menerusi Insya-Allah Ada Jalan yang disiarkan khusus buat santapan rohani," katanya.

Siaran 24 jam

Sementara itu, seperti tahun-tahun sebelum, beberapa buah stesen televisyen akan turut memanjangkan tempoh siaran sebagai rutin setiap kali tiba bulan Ramadan.

Contohnya, TV9 yang menggunakan konsep siaran selama 24 jam sepanjang tempoh sebulan berpuasa yang pada kebiasaannya bersiaran hingga pukul 1.30 pagi sahaja.

"TV9 akan kembali memberikan siaran selama 24 jam sehari sepanjang bulan Ramadan dan kami antara dua buah stesen televisyen yang melaksanakan konsep ini.

"Sepanjang tempoh siaran lanjutan itu, TV9 akan menayangkan program Siaran Langsung Solat Tarawih dari Masjidil Haram bermula pukul 2 pagi," ujar Sherina yang ditemui selepas sidang akhbar program Ramadan TV9 di Restoran Bora Asmara, Sungai Penchala, Damansara baru-baru ini.

Tambahnya, beberapa rancangan signatur Ramadan TV9 akan dikekalkan seperti Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah, Jom Berbuka dan Mencari Resipi Temurun.


TELEFILEM khas Ramadan berjudul Maafkan Aku bakal disiarkan di saluran TV3 menampilkan barisan pelakon hebat.


Tahun ini kata Sherina, TV9 menerbitkan tiga program baharu yang khusus buat penonton setia saluran itu iaitu Umrah Kita, Al-Quran Menjawab bersama Dr. Danial Zainal Abidin dan Penawar Sanubari bersama Ashraf Muslim.

TV9 pula menggunakan tema Ramadan Kita sebagai usaha mendekatkan diri dengan penonton muda. Kata Sherina, tema itu merupakan peringatan secara lembut untuk penonton untuk melakukan kebaikan terhadap diri sendiri.

"Bukan tidak boleh berkarya pada bulan Ramadan tapi perlu dimanfaatkan sebaik mungkin. Pada tahun ini kami menyasarkan penonton golongan remaja yang perlukan pengisian lebih sesuai untuk mengingatkan mereka Ramadan bulan yang perlu dimanfaatkan sebaik mungkin," ujarnya.

Peraduan


INSYA-ALLAH ADA JALAN sinetron yang menggandingkan penyanyi terkenal Maher Zain dan Fadly (Padi).


Dalam pada itu, untuk menarik lebih ramai penonton terlibat dengan lebih interaktif dengan rancangan yang disediakan, program Umrah Kita melaksanakan pembaharuan konsep yang lebih mesra penonton iaitu peraduan.

Menerusi peraduan Umrah Kita, hadiah pakej umrah disediakan kepada pemenang yang menghantar penyertaan berkenaan rancangan yang melibatkan tiga selebriti muda mengerjakan umrah iaitu Aizat Amdan, Noh Hujan dan Altimet.

"Peraduan memberikan minat berbeza kepada penonton kerana lebih bersifat dekat dan mesra. Peraduan itu terbuka kepada semua penonton yang berusia 18 tahun ke atas dan cara untuk menyertainya akan dimaklumkan menerusi Umrah Kita pada setiap hari Isnin pukul 11 malam," katanya.

Tambah Sherina, program bersifat kerohanian antara yang mendapat sambutan hangat penonton sama ada dari dalam Malaysia atau negara-negara jiran seperti Brunei dan Singapura.

"Tidak dinafikan rancangan bual bicara paling mendapat respons penonton yang maksimum dan tidak putus-putus mendapat panggilan untuk bertanyakan permasalahan.

"Terbukti, program kerohanian adalah satu langkah untuk keluar daripada tekanan kehidupan golongan urban masa kini," ulasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: