|
|
KEPULANGANNYA ke Malaysia setelah tamat pengajiannya di Universiti Michigan, Amerika Syarikat (AS) lewat September tahun lalu membuka lembaran baharu hidup dan karier Dazrin Kamarudin, 24.
Kelibatnya mula dikesan melalui filem Seru lakonan bersama Sharnaaz Ahmad, Nisha Dirr dan beberapa bintang baharu termasuk dirinya ketika itu.
Kemudian, Dazrin semakin mula mencuri tumpuan menerusi watak Jeneral Shiro dalam telefilem arahan Michael Ang berjudul Geisha Melayu Terakhir.
Jelas Dazrin, itu peranan antagonis sulungnya setelah diberikan peluang beraksi di layar kaca. Namun, pembabitannya dalam bidang hiburan tempatan bermula menerusi filem Apokalips X yang diarahkan oleh Mamat Khalid.
"Ketika pulang untuk cuti semester tahun lalu, saya diajak teman rapat untuk menghadiri sesi uji bakat sebuah filem adaptasi komik manga Jepun. Tak disangka-sangka saya pula yang terpilih untuk berlakon dalam filem arahan pengarah hebat itu," katanya menyusuri kembali sejarah awal keterlibatannya.
Kini, dia lebih fokus setelah berjaya membintangi beberapa buah filem dan drama sejurus bakatnya dicungkil Mamat Khalid.
Filem Rentaz, drama rantaian Bicara Hati, Memberku Hawa dan telefilem Mencintaimu, Setahun Setengah Mencari Cinta bukti kemunculannya dalam industri.
Mengukuhkan portfolio, dia disunting pengarah Mohd. Feroz Kader untuk menggalas peranan Johan, kekasih Ain Hawani dalam drama bersiri Adam & Hawa yang baru usai penggambarannya.
"Watak Johan banyak bermain emosi dalaman, saya diberikan babak yang sering bersendirian, seorang yang ceria tapi sasau akhirnya setelah mendapat tahu insan yang disukainya sebenarnya sudah berkahwin," ujarnya yang ditemui bersama bintang-bintang utama drama Adam & Hawa di Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.
Namun, Dazrin juga menggalas prinsip dalam kariernya sebagai pelakon. Pemegang ijazah berganda Filem, Video dan Media dan Ijazah Perhubungan Antarabangsa itu mahu mencuba genre komedi romantik.
"Saya sukakan karakter acuh tak acuh dan bermain ekspresi muka. Seperti drama Korea, watak komedi romantik paling saya idamkan buat masa sekarang," katanya.
Mengidamkan watak komedi romantik tidak semestinya dia juga mahukan karakter komedi. Hakikatnya, Dazrin pernah menolak beberapa tawaran watak sedemikian kerana dia masih belum bersedia.
"Tidak mudah apabila kita mula menceburkan diri dengan memegang watak komedi, sekali kita sudah dapat kita susah untuk lari daripada pentas komedi.
"Sukar untuk keluar daripada zon itu apabila sekali diberi kepercayaan mendukung karakter komedi. Orang akan pandang sebagai seorang artis komedi," tegas anak kelahiran Kelebang Besar, Melaka itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: