Tuesday, July 3, 2012

Cucur atap

Dr. Mohd. Zul Helmi Rozaini menunjukkan produk hasil penyelidikan beliau menggunakan pokok cucur atap pada pameran inovasi di ibu negara baru-baru ini.

SIAPA sangka tumbuhan yang membiak secara liar di sekitar Terengganu boleh diproses menjadi pelembap yang sangat berkesan kepada kulit manusia.

Dikenali sebagai pokok cucur atap atau nama saintifiknya Baeckea frutescens, ia mudah ditemui kerana tumbuh meliar di sekitar pesisiran pantai.

Memiliki daun yang agak halus dan struktur pokok yang sederhana besar, keistimewaan pokok tersebut terletak pada kandungan kimia yang terdapat di dalamnya yang dikenali sebagai agen antimikrobial, nerolidol dan nanovesicle.

Bahan tersebut mampu membantu membunuh bakteria yang menyebabkan keradangan kulit seperti E.coli, B.substilis dan S. aureus.

Menurut penyelidik Jabatan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Zul Helmi Rozaini, cucur atap yang berasal daripada keluarga Marytaceae mudah ditemui di sekitar Kuala Terengganu, Terengganu.

"Selama ini tiada siapa yang mengetahui kelebihan tumbuhan ini sehinggalah kajian dijalankan.

"Ia merupakan tumbuhan liar yang tidak dipedulikan selama ini namun kini ia mampu memberi nilai komersial yang tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada persidangan dan pameran inovasi yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Katanya, ekstrak dan kandungan bahan kimia yang terdapat dalam tumbuhan herba tersebut amat sesuai sebagai bahan pelembap kulit semulajadi.

Dikenali sebagai BF Nano-V, pembentukan vesicles amat unik memandangkan ia boleh menembusi kulit dan pecah dengan mudah seterusnya melepaskan bahan ke dalam kulit dengan lebih berkesan berbanding pelembap kulit sedia ada.

Apabila mudah meresap ke dalam, secara automatik kulit juga mudah menerima bahan tersebut dan pembentukan kulit yang lebih halus juga akan lebih pantas.

Selain bertindak pantas di bawah kulit, ia juga bertindak sebagai pelindung di sebelah luar kulit bagi mengelakkan kekeringan.

Kajian yang dilakukan selama hampir dua tahun mendapati kandungan minyak yang terdapat di dalam pokok cucur atap mampu menguatkan struktur lapisan epidermis kulit.

Struktur lapisan epidermis kulit kuat pula mampu menyimpan kandungan lembapan yang tinggi sekali gus mengekalkan kesan lembap pada kulit pada kadar masa yang lama.

Jelasnya lagi, kajian terhadap produk tersebut telah memasuki fasa pengkomersialan dan amat mengalu-alukan pihak yang berminat.

Untuk maklumat lanjut anda boleh menghubungi Dr. Mohd. Zul Helmi di talian 09-6683263 atau emell kepada zulhelmi@umt.edu.my.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: