Mudah dimasak dan enak rasanya, isi kebab yang disajikan bersama sayur-sayuran serta bahan berasaskan daging ayam, lembu dan kambing mudah disajikan bersama roti arab, roti nan ataupun roti pita.
Malah hidangan ini juga enak dimakan begitu sahaja ataupun makan bersama makanan laut, juadah vegetarian seperti falafel, chapati dan nasi.
Hidangan ini mudah didapati di seluruh dunia dan antara yang paling popolar ialah dari jenis kebab shish.
Daging kebab jenis ini dipanggang dengan bahan lain seperti bawang, cendawan, capsicum dan lobak yang dicucuk seperti sate.
Pada minggu ini, S3 membawa pembaca ke dapur Restoran Kababish yang terletak di Hotel Starpoint, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Bertemu Ketua Chef, Samson Victor yang merupakan pakar masakan kebab menawarkan kelainan kerana resipi kebab yang dihasilkannya itu berasal dari Pakistan.
Chef Samson yang berasal dari Punjab, Pakistan, berkata, kebab jenis ini boleh didapati dalam pelbagai jenis dan antara yang paling digemari ialah seperti Chicken Badawi dan Canna Massala.
"Masakan Pakistan terkenal dengan rasanya yang pedas dan berempah. Bagi mereka yang mencubanya boleh rasa keenakan daging yang diperam bersama rempah ratus rahsia, cili kering dan bahan-bahan yang telah dikisar," jelasnya.
Menurutnya, walaupun Restoran Kababish menawarkan pelbagai juadah istimewa lain tetapi ia terkenal dengan menu kebab.
Berkongsi tip menghasilkan kebab Masala, Chef Samson berkata, daging kebab hanya perlu diperam dengan bawang, cili hijau, halia, bawang putih, lada hitam, kunyit dan garam.
"Kisar bersama kesemua bahan-bahan tersebut dan peramkannya dengan daging kebab. Ia boleh dimasak secara goreng dan panggang.
"Bagi mendapatkan rasa yang lebih enak, perah jus limau ataupun lemon ke atas daging tersebut untuk mendapatkan aroma yang lebih menyelerakan atau makan bersama sos pudina," ujarnya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: