Ceriter a 3 jelitawa n teruja sambut Ramadan
Julia - Rozita - Yasmin

BARU sehari membuka tirai, sudah terasa kehangatan sambutan bulan penuh keberkatan ini.

Selain ramai yang mengunjungi bazar Ramadan, solat terawih di masjid juga pasti menjadi agenda utama ramai umat Islam di seluruh dunia bagi menambahkan lagi amalan baik di bulan mulia ini.

Seperti orang lain, tiga selebriti jelita, Rozita Che Wan, Julia Ziegler dan Yasmin Hani juga tidak ketinggalan mengejar keberkatan di bulan Ramadan.

Berhasrat menambah amalan di bulan tersebut, mereka bertiga bagaimanapun tidak mahu menjadikan alasan berpuasa untuk berehat daripada bekerja.

Merasakan kerjaya sebagai selebriti juga dapat membantu mereka menambah amalan, ketiga-tiganya kadangkala menerima jemputan untuk melakukan kerja amal sepanjang bulan puasa seperti berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Namun, dalam pada sibuk dengan kerja, masing-masing merancang untuk meluangkan masa dengan pasangan dan keluarga bagi menikmati waktu berbuka dan bersahur bersama-sama.

Ternyata, keindahan bulan puasa ini lebih terasa dengan berkumpul bersama keluarga dan orang tersayang.

Ditemui semasa majlis pelancaran Koleksi Rantaian Kasih Habib 2012 di Ampang, baru-baru ini, tiga selebriti ini berkongsi cerita mengenai persiapan mereka menyambut bulan puasa dan hari raya.

Utamakan anak - Rozita Che Wan

BAGI aktres jelita, Rozita Che Wan, Ramadan dan Aidilfi tri tahun ini masih merupakan tahun yang sibuk buat dirinya kerana jadual hariannya dipenuhi dengan penggambaran drama dan telemovie.

Namun, di sebalik kesibukan tersebut, dia masih mampu menyusun jadual membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga. Selebriti yang mesra disapa Che Ta ini juga mahu menjadikan bulan puasa ini untuk beribadah bersama anak-anaknya.

“Meskipun sibuk dengan jadual penggambaran, tapi saya akan mencari masa untuk bersahur dan berbuka puasa bersama anak.

“Saya jarang membawa anak ke bazar Ramadan. Namun, kadangkala apabila ada masa terluang, kami akan pergi bersama,” kata ibu tunggal yang mempunyai dua anak lelaki bernama Ammar Effendy, 16, dan Aniq Ezzra, 13.

Tahun lalu, Che Ta menyambut Ramadan di tanah suci kota Makkah bagi mengerjakan umrah. Meskipun masih terlalu awal untuk menceritakan mengenai persiapan raya, namun pastinya soalan ini tidak dapat lari daripada diperkatakan.

Seperti ibu yang lain, Che Ta sudah pastinya lebih memberi tumpuan kepada persiapan anak-anaknya berbanding diri sendiri.

“Tahun ini saya balik beraya di Alor Setar, Kedah manakala anak-anak pula beraya dengan bekas suami saya di Kuala Lumpur.

“Namun, sebelum pulang beraya saya akan memastikan persiapan raya untuk mereka siap dengan membeli beberapa helai baju Melayu untuk mereka,” katanya yang akan sibuk sehingga minggu ketiga puasa.

Teruja kumpul bersama keluarga - Julia Ziegler

BARU pulang daripada mengerjakan umrah pada 8 Julai lalu, aktres Julia Ziegler menganggap kehadiran Ramadan kali ini lebih bermakna buat dirinya.

Pertama kali mengerjakan umrah bersama emaknya, Saminah Subari, 67, pemilik nama sebenar Julia Bob Fauzi Ziegler ini masih lagi merasakan kehangatan menjadi tetamu ALLAH.

Justeru itu, sambutan Ramadan pada tahun ini dianggap sebagai bulan terbaik untuknya meneruskan amal ibadah seperti yang dilakukan ketika berada di Makkah.

“Syukur Alhamdulillah saya baru dua minggu pulang daripada mengerjakan umrah bersama mama. Meskipun telah pulang ke sini, namun pengalaman beribadat di sana merupakan kenangan yang tidak mungkin saya lupakan.

“Selepas menunaikan umrah, hati saya menjadi semakin positif dan kedatangan Ramadan kali ini saya rasakan cukup bermakna. Insya-Allah bulan puasa ini saya akan meluangkan masa solat Tarawih bersama keluarga di masjid. Jika tidak sempat ke masjid pun, kami akan bersama solat di rumah,” katanya.

Dalam pada sibuk memenuhi jadualnya sebagai pelakon, Julia memberitahu akan meluangkan masa untuk berkumpul bersama keluarga untuk bersahur dan berbuka bersama. “Biasanya pada hari pertama Ramadan saya akan berbuka bersama keluarga bagi menikmati kehangatan permulaan Ramadan,” katanya yang akan berhari raya di Kuala Lumpur.

Menariknya, kata Julia, tahun ini juga dia berasa lebih teruja untuk menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal kerana seluruh adik-beradiknya akan berkumpul di rumah mereka.

Mengimbas kembali kenangannya ketika belajar di Amerika Syarikat, wanita berusia 28 tahun ini mengakui dugaan berpuasa ketika itu begitu kuat memandangkan mereka dikelilingi oleh ramai rakan bukan Islam.

Namun, menurutnya, pengalaman berpuasa dan berhari raya di sana bersama pelajar Islam lain semestinya memberikan kelainan.

“Ketika berada di sana suasana bulan puasa dan raya masih lagi meriah kerana kami berkumpul dengan memakai baju kurung di surau untuk solat bersama,” katanya yang akan menempah beberapa pasang baju raya di butik.

Masak untuk suami - Yasmin Hani

HAMPIR setahun melangsungkan perkahwinan dengan Shahrin Razali, Yasmin Hani mengakui gembira menyambut bulan puasa pertama sebagai isteri.

Seperti isteri lain, selebriti yang mesra disapa Hani ini mahu menyediakan air tangannya sendiri untuk bersahur mahupun berbuka bersama suami.

“Selalunya, saya tidak akan masak seorang kerana suami akan turut datang ke dapur membantu saya menyediakan hidangan.

“Jadi, pada Ramadan ini juga kami pasti akan meluangkan masa berdua untuk berbuka puasa bersama jika masing-masing tidak sibuk.

“Namun, kami juga akan mengajak keluarga datang ke rumah untuk berbuka puasa bersama ataupun kami yang akan pergi ke rumah mereka memandangkan berbuka ramai-ramai lebih meriah,” katanya yang juga akan membeli beberapa lauk di bazar Ramadan.

Dalam pada itu, wanita kacukan Inggeris-Melayu ini juga tidak mahu ketinggalan melakukan solat Terawih bersama suaminya.

Menurutnya, sebelum bulan puasa lagi, dia dan suami sudah merancang untuk solat Terawih bersama keluarga suaminya di Masjid Negara.

Menyentuh mengenai persiapan sebelum raya, Hani sudah menyediakan tiga pasang baju raya untuknya.

“Sebenarnya banyak baju baru yang saya masih belum pakai. Jadi, saya tidak mahu membazir dengan membeli baju baru untuk tahun ini.

“Bagaimanapun, saya akan mencari baju Melayu suami yang sepadan dengan baju saya cuma saya tidak sukakan sedondon. Saya akan mencari warna yang lebih kurang dengan baju saya,” katanya yang melangsungkan perkahwinan pada 21 Oktober tahun lalu.

Mengulas mengenai kehadiran orang baru dalam hidup mereka, Hani mengakui sedang merancang kehamilan selepas mendirikan rumah tangga.

“Kami memang merancang untuk berbulan madu dahulu memandangkan kami masing-masing sibuk dengan jadual kerjaya kami.

“Insya-Allah jika semua sudah selesai, kami akan fokus kepada perkara itu (memiliki anak),” katanya yang akan muncul dengan telemovie raya berjudul Puntianak Pulang Beraya di Kampung Batu Dua Setengah.