Saturday, July 21, 2012

Cabar diri lebih berani


SUDAH cukup berani untuk melayari arus? Mungkin sukan white water rafting antara sukan wajib di cuba bagi mencabar diri untuk lebih berani.

Baru-baru ini, .com berpeluang menyertai cabaran tersebut bersama beberapa rakan di Kampung Ulu Slim, Slim River, Perak dengan tajaan Outdoorgraphy.com.

Bagi mereka yang merasa sukan ini sebuah sukan yang mudah, jangkaan anda meleset kerana ia bukan saja mencabar dari segi fizikal bahkan mental peserta.

Sebelum bermulanya cabaran kami, taklimat ringkas diberi mengenai teknik pengendalian dan keselamatan. Maklumlah baru pertama kali mencuba memang aspek keselamatan diutamakan.

Istilah seperti hold on (rehat sambil pegang tali), bumbum (duduk di tengah-tengah rakit tiub sambil menundukkan kepala) serta cara bergerak ke belakang depan kiri dan kanan diajar bagi memudahkan arahan diberikan ketika melakukan cabaran.

Kami tidak melakukan aktiviti bersendirian kerana lapan juru pandu berpengalaman turut sama menaiki lima buah rakit tiub dan tiga kayak keselamatan.

Cabaran bermula dengan menyusuri sungai yang tenang dan menguasai teknik mendayung dengan betul.

Muka kami yang tenang mula pucat apabila merapati jeram setinggi lima hingga tujuh kaki dan menuju ke Jeram Kotak setinggi hampir 12 kaki.

Semuanya berubah apabila arus di jeram itu membuatkan rakit tiub kami terasa seolah-olah berpusar seperti ditarik graviti menjunam ke bawah dasar sungai.

Jangan risau, rakit tiub kami berjaya dikawal dan kami diberitahu bahawa ia baru pembukaan kepada cabaran yang lebih mengujakan.

Selepas berehat seketika di Jeram Rumah Tanduk, cuaca mulai berubah wajah dan hujan mulai turun dengan lebatnya.

Dengan itu, paras air semakin tinggi dan membuatkan arus semakin deras benar-benar memberikan cabaran kepada kami.

Kemuncaknya, peserta berhadapan dengan Jeram Hydrolic yang berpusar menyukarkan kami untuk mengawal rakit tiub.

Jurumudi yang bersama kami terpaksa berusaha keras untuk mengawal rakit bagi mengelakkan peserta dari jatuh atau terhentak pada batu.

Sememangnya pengalaman berakit tiub selama enam jam memberikan pengalaman yang tidak dapat dibeli dimana-mana.

Kerjasama semua peserta dengan bantuan jurumudi membolehkan kami selamat tiba sampai penghujungnya walaupun ada rakit tiub lain yang terbalik ketika menyusuri arus deras.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: