Saturday, July 7, 2012

Bukan sekadar hutan biasa



PEMANDUAN selama setengah jam meredah kesibukan Kuala Lumpur menuju ke Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor tentunya bukan masalah bagi mereka yang mahu berkunjung ke sini.

Biarpun waktu pagi di kawasan bandar lazimnya sesak dan memenatkan, atmosfera FRIM yang sejuk dan persekitarannya yang menghijau pasti menghilangkan tekanan.

Ia juga menerbitkan perasaan teruja untuk mengikuti aktiviti riadah yang ditawarkan di sini.

Bagi mereka yang belum pernah sampai ke lokasi tersebut, FRIM bukanlah semata-mata institusi yang menjalankan penyelidikan perhutanan tropika dan kajian-kajian yang berkaitan.

Lebih daripada itu, FRIM yang terletak sejauh 16 kilometer di barat laut Kuala Lumpur dan berkeluasan 515 hektar itu turut menawarkan pakej melawat Hutan Simpan Bukit Lagong yang mengelilinginya. Di sekitar hutan itu, banyak aktiviti luar seperti rekreasi dan pendidikan umum.

FRIM juga merupakan lokasi yang begitu popular bagi mereka yang gemar berkelah, berlari dan berbasikal, di samping menjadi lokasi kunjungan pelancong serta mereka yang gemar mengkaji tentang alam semula jadi.

Menurut pegawai Unit Pengurusan Korporat FRIM, Mohammad Faizal Jaaffar, FRIM menjadi lokasi menarik untuk pelbagai acara seperti hari keluarga, perkhemahan, meninjau burung, menjelajah hutan dan sesi fotografi.

“Dahulu tidak banyak tarikan aktiviti rekreasi di sini, tetapi kini kira-kira 300 pelancong dan pengunjung tempatan menjadikan FRIM sebagai lokasi menarik untuk beriadah bersama rakan dan keluarga setiap hari,” katanya semasa menjadi jurupandu aktiviti menjelajah hutan dan mendaki baru-baru ini.

Ikan Arapaima

Kunjungan ke FRIM dimulakan dengan lawatan ke kolam ikan FRIM. Di situ, pengunjung berpeluang melihat dan memberi makan kepada tiga ekor ikan arapaima gigas yang bersaiz kira-kira dua meter panjang setiap satu.

“Ikan-ikan ini dilatih untuk muncul dengan isyarat tepukan tangan setiap kali waktu makan. Namun, sekiranya sudah kenyang, sukar untuk melihat ia muncul sepenuhnya.

“Ikan-ikan ini mampu membesar sehingga bersaiz lima meter panjang dan mencecah berat sehingga 200 kilogram,” katanya sambil menunjuk arah ke Muzium FRIM.

Muzium FRIM dibuka secara percuma kepada orang awam bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang, setiap hari kecuali Isnin dan Jumaat.

Menurut Mohammad Faizal, muzium tersebut dibina oleh pihak British semasa pemerintahan British di Tanah Melayu.


AIR terjun Sungai Kroh sesuai untuk aktiviti menyejukkan badan selepas penat mendaki.


“Rekod awal menunjukkan muzium ini telah berada di bangunan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sejak tahun 1917 dan dipindahkan ke FRIM pada tahun 1926.

“Antara tarikan di sini adalah pengunjung dapat melihat rotan manau sepanjang 65 meter yang melingkari ruang muzium ini dan dikatakan antara rotan terpanjang pernah direkodkan di Malaysia.

“Ia diperoleh daripada hutan simpan Pahang pada tahun 1990,” katanya yang turut menerangkan tentang pelbagai khazanah berharga di situ seperti set hutan ladang, perahu Petala Indera Kayangan dan perahu jalur yang dibina menggunakan pelbagai spesies kayu.

Jelasnya, galeri penyelidikan yang terletak di tingkat atas muzium itu pula menjadi pusat pengumpulan setempat pelbagai hasil aktiviti para penyelidik FRIM dalam bentuk poster, majalah, risalah, bahan, produk, sampel, spesimen, model dan prototaip penyelidikan.

“Pelbagai produk kesihatan yang dihasilkan menggunakan hasil herba hutan seperti produk penjagaan wajah dan makanan tambahan untuk kesihatan dalaman turut dipamerkan di sini,” katanya.

Pelbagai spesies

Seterusnya, aktiviti menjelajah hutan dimulakan dengan pengenalan kepada beberapa spesies pokok yang hidup liar dan ditanam di situ seperti pokok keruing, perah mata udang, kulim, simpoh gajah, merbau, karas dan getah.

Mohammad Faizal menerangkan, beberapa kawasan dalam hutan berkenaan terutamanya kawasan pokok getah merupakan hasil tanaman Orang Asli yang mendiami hutan berkenaan sejak hampir seabad lalu. Raata-rata daripada mereka sudahpun berpindah.

“Walaupun begitu, mereka yang pernah bertani di sini masih dibenarkan datang dan mengutip hasil hutan di sini.

“Malah, selain pokok getah, pokok durian juga menjadi tarikan kerana Orang Asli turut menjualnya kepada pengunjung yang sedang dalam pendakian untuk ke stesen kanopi,” terangnya.

Para pendaki yang hendak ke stesen kanopi lazimnya berhenti sebentar untuk berehat dan menikmati durian yang dijual oleh Orang Asli pada harga RM10 bagi tiga biji.

Saat meneruskan pendakian, ada dalam kalangan pengunjung yang bimbang sekiranya buah durian jatuh di atas kepala mereka!

Pengalaman mendaki titian kanopi yang setinggi 300 meter membolehkan seseorang berhenti sebentar untuk melihat panorama belantara belantara seumpama dari pandangan seekor burung.

Dalam cuaca yang cerah dari satu kedudukan khas di atas titian itu, pengunjung dapat melihat Menara Kuala Lumpur dan Menara Berkembar Petronas.

Titian kanopi

Menurut Pembantu Penyelidik FRIM, Normarzuina F. K. Naysir: “Titian kanopi ini mempunyai kepanjangan 150 meter. Pengunjung dapat melihat pelbagai spesies pokok di bawahnya.

“Titian kanopi ini dibuka seawal pukul 9 pagi kerana ramai pengunjung datang ke sini untuk menikmati aktiviti riadah pada waktu pagi,” katanya sambil memberitahu 70 peratus pengunjung adalah pelancong asing, manakala selebihnya adalah rakyat tempatan.


INILAH laluan pendakian setinggi kira-kira 300 meter ke titian kanopi.


Seterusnya, dalam perjalanan pulang, Mohammad Faizal mengajak panulis dan jurugambar berhenti rehat di sebuah kawasan dan di situ, kami diminta mendongak ke langit.

Rupa-rupanya, lokasi perhentian kami itu merupakan perhentian paling popular di FRIM kerana daun-daun pokok di situ mencipta hamparan ibarat bumbung yang digelar sebagai crown shyness.

“Ia diberi nama sedemikian kerana walaupun ia membentuk satu hamparan, rimbun daun setiap pokok dengan pokok yang lain tidak bersentuhan malah mempunyai ruang mereka sendiri,” katanya yang merujuk kepada ‘peluang’ yang sama bagi daun-daun itu mendapatkan cahaya.

Bagi yang mahu mengakhiri lawatan dengan aktiviti yang menyegarkan, air terjun Sungai Kroh amat sesuai bagi mereka yang ingin membasahkan tubuh selepas penat menjelajah hutan dan mendaki.

Sekiranya berkunjung ke FRIM sehingga petang pula, aktiviti menarik selepas mandi-manda sudah tentunya Taman Botani Kepong yang dibangunkan sebagai pusat koleksi tumbuhan hidup terutamanya untuk tumbuhan Malaysia.

“Taman ini juga adalah mesra orang kelainan upaya (OKU) iaitu trek untuk pengguna kerusi roda disediakan, sementara tumbuhan yang ditanam disekeliling trek berkenaan juga mudah dilihat dari posisi duduk,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: