LINGGI 1 Julai - Para peserta Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi Sekretariat Malaysia Prihatin mendapat bonus pembelajaran secara atas talian melalui pakej latih tubi Akhbar Dalam Pembelajaran (ADaP) di alamat www.adap.com.my/online.
Dalam sesi penerangan yang disampaikan oleh Eksekutif Pendidikan Utusan Malaysia, Khairul Azmi Kamaludin, para peserta program yang dberikan kata laluan dan pengenalan pengunaan boleh menajamkan kemahiran menjawab soalan melalui program latih tubi dalam modul ADaP.
"Tempoh penggunaan yang dibenarkan adalah selama setahun,'' katanya semasa sesi penerangan kepada peserta program di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Linggi di sekitar daerah Port Dickson, Negeri Sembilan hari ini.
Sementara itu, seorang peserta program, Foo Xia Hua, 15, berkata inisiatif pembelajaran atas talian itu merupakan sesuatu yang baru baginya yang tidak pernah mencuba menggunakan inisiatif pembelajaran atas talian.
"Setelah mengikuti program ini, saya dan rakan-rakan mendapat sesuatu yang baru serta mendapat dorongan minat membaca. Ada perkara yang disampaikan tidak pernah disebut oleh guru serta tip baru,'' katanya.
Anak sulung seorang pemandu lori di ladang kelapa sawit itu memberitahu, subjek yang diminatinya ialah kertas Sains dan penceramah telah mendedahkan kelemahan biasa yang dilakukan oleh pelajar ketika menjawab.
"Kadang kala pelajar menjadi panik sehingga susah hendak ingat.
"Di sinilah peranan penceramah motivasi, Dr. Ismail Zain yang selalu mengingatkan pelajar tentang halangan terbesar seseorang ialah dirinya sendiri,''katanya.
Seorang lagi peserta dari sekolah yang sama, R. Sarani, mendapat pengetahuan baru, cara baru nak belajar dan teknik menguruskan masa.
"Saya memang minat subjek Sains, dan guru mengajar bagaimana hendak menjawab seksyen B,'' katanya.
Tambahnya, Dr Ismail Zain, memberi contoh pengalaman beliau sendiri, menekankan supaya berusaha tanpa berputus asa dan bersungguh-sungguh.
"Program dua hari tidak cukup, kalau boleh tambah masa eloklah,'' kata Sarani.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: