ROZITA...Anglia menyediakan gaya trendy, ringkas tetapi eksklusif.
MENGGUNAKAN pilihan warna terang tetapi penuh kelembutan seperti merah jambu, biru, oren, ungu, kuning dan merah, koleksi pakaian Anglia pasti menarik perhatian sesiapa saja yang memandang walaupun rekaannya cukup ringkas.
Mengutamakan konsep kontemporari dalam setiap rekaan, Anglia menawarkan pelbagai pilihan pakaian yang nyata boleh dipakai dan sesuai dibawa ke semua acara.
Bermula daripada pakaian ke pejabat, kasual hingga makan malam, semuanya boleh didapati dengan mudah di butik Anglia sama ada untuk pakaian lelaki mahupun wanita. Jika pandai menyuai padan, anda mampu menambah kelainan.
Bagi penggemar blaus, Anglia menawarkan pelbagai pilihan yang terdiri daripada potongan menarik seperti panjang di bahagian kanan serta kiri baju.
Tambahan jahitan manik pada corak geometri seakan-akan daun pada blaus menaikkan lagi seri baju dan pemakainya. Ia juga datang sedondon dengan kemeja lelaki yang boleh digayakan bersama sekiranya mahu ke majlis minum petang atau majlis seumpamanya.
Pilihan blaus di Anglia semuanya panjang melepasi paras punggung, lantas ia amat padan dengan wanita Muslim yang mahu menjaga batasan penampilan.
Berbicara mengenai batasan penampilan, Anglia juga mengeluarkan koleksi jubah yang dijahit manik pada bahagian leher, polos di tengah dan potongan serong di bahagian bawah, dilengkapi kain bercorak bagi memberikan kontras.
Mainan corak pada keseluruhan koleksi pakaian Anglia boleh dikatakan lebih kepada alam sekitar yang kelihatan cukup tenang dan damai ketika dipandang. Ia dilukis dengan penuh kesederhanaan dan tidak membuatkannya serabut hingga boleh mencacatkan penampilan si pemakai.
Gaun maxi yang agak kembang dan beralun di bahagian bawah juga mencuri perhatian berikutan ia tampak cantik dan ‘jatuh’ apabila disarungkan pada tubuh. Walaupun direka tanpa lengan, bagi mereka yang segan mendedahkan bahagian tangan, kardigan atau jaket bersesuaian boleh dipadankan.
Percikan teknik celupan warna yang digunakan pada blaus juga menambah kelainan pada koleksi ini seperti memberi gambaran ketenangan air di laut. Anglia juga menyediakan gaun labuh polos dan seluar panjang yang selesa untuk dipadankan dengan blaus miliknya.
Rakan kongsi dan pemegang saham rangkaian butik Anglia, Rozita Mustapha berkata, Anglia mereka bentuk, mengeluar serta mengeksport gaya kreatif dan inovatif bagi pakaian kasual yang berkualiti terutama untuk wanita masa kini.
“Kumpulan pereka bentuk kami sentiasa berusaha menghasilkan rekaan yang memaparkan idea segar ke pasaran. Ia sejajar dengan visi Anglia yang mahu melakukan sendiri proses reka bentuk dan pengeluaran, sekali gus menjamin hasil pengeluaran pakaian yang berkualiti.
“Misi Anglia mudah saja iaitu kami berhasrat menyediakan khidmat perundingan profesional yang unggul kepada pelanggan di samping pilihan rangkaian pakaian dalam pelbagai jenis gaya, fabrik dan warna yang selesa.
“Kami akan melakukannya menurut cara beretika yang mengutamakan tahap label kami kepada pelanggan yang inginkan gaya trendy, ringkas tetapi eksklusif,” katanya mengenai butik itu yang membuka cawangan pertamanya di Malaysia
di pusat beli-belah Paradigm Mall, Kelana Jaya, Selangor.
Semua pakaian Anglia boleh didapati bermula daripada saiz S hingga XXXL pada harga serendah RM90 hingga RM300.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: