Saturday, July 14, 2012

Bidikan Adi

Rakaman detik-detik seperti ini tidak harus terlepas kerana ia sukar diulangi.

Setiap gambar perkahwinan pasangan raja sehari yang dirakam berperanan menyimpan kenangan dan memori indah di hari bersejarah mereka.

Gambar yang dirakam tidak hanya sekadar paparan semata-mata, tetapi sebagai kenangan di sebalik keseluruhan majlis yang mampu menyentuh hati dan perasaan pengantin apabila melihatnya. Ternyata, di sebalik gambar yang dirakam dengan setiap saat indah, peranan jurugambar sangat besar dalam memastikan gambar yang diambil boleh disimpan dan menjadi kenangan penting sehingga akhir usia perkahwinan.

Pengarah D’ Sayang Photography Entertainment, Adinorhisham Aziz, 40, berkata, tugas jurugambar majlis perkahwinan memerlukan kreativiti dan imaginasi tinggi untuk memastikan gambar yang diambil cantik dan mempunyai makna di sebaliknya.

“Kami mempunyai konsep tersendiri ketika menangkap gambar pengantin. Gambar yang ditangkap perlu mempunyai nilai dan menarik apabila dilihat kembali oleh pengantin. Gambar pengantin bersanding di atas pelamin menjadi perhatian berbanding bergambar di lokasi luar.

“Kebanyakan gambar yang akan digantung didinding dan ruang tamu rumah selepas mereka berkahwin adalah gambar di atas pelamin dengan gaya statik. Gambar seperti ini penting kerana mempunyai nilai tinggi kepada pasangan pengantin.

“Tidak dinafikan sebahagian mereka terlepas pandang untuk memberi perhatian kepada detik-detik sebegitu. Sebaliknya tumpuan adalah kepada gambar yang diambil di sisi luar seperti pantai, tasik dan sebagainya.

“Gambar yang diambil di luar akan disimpan dalam album selepas habis melihatnya, sementara gambar statik yang akan digantung di dinding-dinding rumah," katanya.

Tambah Adi, sebagai jurugambar yang bagus, mereka perlu mengetahui gambar apa yang perlu diberi keutamaan dan mempunyai nilai tinggi kepada pasangan.

Sebaliknya gambar yang diambil di luar boleh dilakukan biasa-biasa sahaja mengikut keperluan pengantin.

“Bagi D’Sayang Entertainment, setiap gambar yang diambil kami menekankan konsep momen seperti gambar zaman dahulu. Selain itu, detik-detik spontan juga menjadi keutamaan kami apabila mengambil gambar untuk majlis perkahwinan.

“Selalunya pengantin akan perasan dan mengetahui kedudukan jurugambar ketika menangkap gambar mereka.

“Namun, untuk perkahwinan pemenang Peraduan Gerbang Cinta Mega-Utusan Musim Ke-3 kami mencipta kelainan dengan menangkap gambar secara spontan.

“Selalunya banyak gambar yang diambil secara skema. Berlainan dengan gambar yang diambil secara spontan dapat merakam setiap gerak-geri pengantin dalam pelbagai situasi yang tidak diduga.

“Hasilnya gambar akan nampak semulajadi dan mereka pasti terkejut kerana gambar yang diambil berlainan daripada biasa," katanya.

AdiNorhisham berkata, untuk mendapatkan kesan menarik dan sudut yang kreatif mereka menggunakan Digital Single-Lens Reflex (DSLR) berjenama Canon dan Nikon.

“Saya sendiri mempunyai tiga jenis kamera untuk mengambil gambar majlis perkahwinan kesemua pemenang Peraduan Gerbang Cinta musim ini. Setiap kamera mempunyai lensa yang berbeza-beza seperti sudut white angle, mid range dan tale.

Selepas penat merakam gambar, kumpulan jurugambar ini juga tidak mahu ketinggalan bergambar kenangan dengan pasangan pengantin.

“Tujuan saya menggunakan tiga jenis lensa berbeza supaya tidak berlaku pembaziran masa ketika proses menukar. Masa yang diambil untuk menukar lensa akan menyebabkan jurugambar tertinggal detik-detik penting yang berlaku kepada pengantin," katanya.

Tambahnya lagi, tugasan mereka untuk kali ini berbeza dan agak mencabar kerana persandingan pemenang kedua, ketiga dan keempat telah berlangsung dalam masa dua hari berturut-turut.

“Namun, kami tidak menghadapi masalah dari segi tenaga kerja kerana mempunyai krew-krew yang berkemahiran.

“Untuk memastikan proses mengambil gambar berjalan lancar, persediaan telah dilakukan seminggu lebih awal dari tarikh persandingan ketiga-tiga pasangan pengantin berlangsung," katanya.

Tambah Adinorhisham lagi, D’Sayang Entertainment mempunyai identiti tersendiri untuk diketengahkan dalam koleksi gambar perkahwinan.

“Lebih 99 peratus adalah gambar yang diambil dari sisi hadapan pengantin.

“Untuk nampak kelainan pada gambar pengantin, kami juga banyak mengambil gambar mempelai dari sisi belakang dan mempunyai unsur kekeluargaan," katanya.

Ujar beliau lagi, selain persediaan dari segi mental dan fizikal, pengantin yang bakal bersanding juga perlukan tidur yang secukupnya sehari sebelum majlis berlangsung.

“Ini supaya wajah nampak berseri dan tidak wujud lingkaran hitam bawah mata yang akan mencacatkan ketika gambar diambil.

“Selain itu, mempelai juga dinasihatkan sentiasa berinteraksi dengan jurugambar mengenai tema dan kehendak mereka ketika majlis berlangsung.

“Sebagai contoh jika majlis mereka memerlukan semua tetamu memakai baju Melayu kami akan mengikutnya sebagai menghormati majlis mereka," katanya.

Selain itu, beliau juga menasihatkan bakal pengantin supaya berhati-hati menempah pakej fotografi supaya tidak timbul perasaan tidak puas hati di kemudian hari.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: