SELALU beranggapan tiada siapa yang mampu menyelamatkan bumi selain daripada diri sendiri akhirnya membuatkan wanita ini dengan sukarela ingin berbakti kepada alam semesta.
Walaupun tidak pernah mengimpikan akan ‘terjebak’ dengan kerja-kerja yang bersangkutan dengan alam sekitar, beliau bagaimanapun berusaha mempelajari dan mendalaminya.
Bagi anak sulung daripada tiga beradik ini, apa yang dilakukannya adalah untuk kepentingan bersama dan ternyata usaha gigih yang ditunjukkan tidak sia-sia apabila segala yang dirancang kini semuanya sedang dilaksanakan.
Hari ini memegang jawatan Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (PEKA) dan juga Pengarah Eksekutif Sultan Ahmad Shah Environment Trust (SASET), Tunku Kaiyisah Tunku Kamil-Ikram dilihat begitu komited dengan kerjaya hariannya.
TIDAK menafikan bukan satu kerja mudah untuk menyedarkan masyarakat betapa pentingnya memulihata alam sekitar, Tunku Kaiyisah bagaimanapun tidak pernah berputus asa apatah lagi ‘letih’ dengan gelagat penduduk setempat.
Walaupun tidak mendapat pendidikan dalam bidang yang berkaitan, itu semua tidak dijadikan alasan untuk meneruskan apa yang diinginkan malah beliau dilihat begitu berkobar-kobar apabila berbicara mengenai alam sekitar.
“Sebenarnya jika dilihat di luar negara, masyarakat mereka amat menjaga alam sekitar kerana mengetahui akan kepentingannya pada masa hadapan.
“Kebetulan saya belajar di Australia dan saya banyak belajar dari sana dan seronok sebenarnya melihat mereka begitu komited menjaga alam sekitar daripada tercemar.
“Saya daripada tidak mengetahui apa-apa terus berminat dan dengan sendirinya ingin berbakti kepada alam sekitar di negara sendiri," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tunku Kaiyisah yang amat berharap agar semua orang mensyukuri dengan keindahan alam kurniaan Tuhan ini dan bersama-sama memeliharanya agar tidak hapus begitu sahaja.
Berbicara lanjut mengenai alam sekitar di negara ini, puteri kerabat diraja Pahang itu berpendapat, ia boleh dikategorikan terabai dan tidak terjaga.
Malah, penduduk juga sebenarnya kurang prihatin apabila pembangunan sekeliling dilihat semakin pesat membangun tanpa rasa bersalah kepada alam sekitar.
Untuk itu di bawah PEKA dan juga SASET, Tunku Kaiyisah berusaha menjalankan program-program pemuliharaan alam sekitar bagi mengekalkan keseimbangan dan keindahannya.
Katanya, sekiranya usaha tersebut tidak dimulakan daripada sekarang tidak mustahil semuanya akan tercemar tanpa meninggalkan sebarang keindahan untuk dinikmati generasi akan datang.
Sambil mengingatkan bahawa dunia hanyalah pinjaman, Tunku Kaiyisah berkata sebagai manusia yang diamanahkan oleh Penciptanya mereka haruslah bertanggungjawab memelihara keindahan alam daripada terus dieksploitasi berleluasa sehingga boleh mencemarkan ekosistemnya.
Anjur aktiviti
Mengulas lanjut mengenai dua organisasi yang diterajuinya itu, jelas Tunku Kaiyisah, PEKA merupakan organisasi yang lebih menumpukan kepada aktiviti penanaman semula, manakala SASET menganjurkan pelbagai aktiviti pemuliharaan.
Hari ini sibuk dengan pelbagai aktiviti yang telah pun dirancang sejak awal tahun, jujurnya beliau mengakui penglibatannya dalam aktiviti tersebut bukanlah untuk mencari glamor tetapi sememangnya ingin berbakti kepada masyarakat dan negara.
Katanya, buat masa sekarang kebanyakan aktiviti banyak dibuat di darat tetapi pihaknya kini dalam perancangan untuk membuat program pemuliharaan melibatkan laut.
“Buat masa sekarang kebanyakan program yang dilaksanakan lebih tertumpu kepada kawasan-kawasan yang kritikal di darat. Insya-Allah satu hari nanti akan dilaksanakan juga aktiviti pemuliharaan di laut," katanya lagi.
Untuk menjadikan program yang dirancang di bawah PEKA dan SASET dapat dilaksanakan dengan lebih jayanya, pada 17 Julai (hari ini) satu majlis makan malam untuk mengutip dana akan diadakan.
Bertempat di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, majlis dijangka turut akan dihadiri Nendanya, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: