PERTAMA kali menatap wajah wanita ini, terasa kemesraannya. Mungkin sebab Alise Ismail atau nama sebenarnya Norlida Ismail , 33, sudah biasa bertemu orang ramai kerana kerjayanya.
Kerjaya seninya bercambah daripada seorang model kepada pelakon selepas mendapat perhatian kerana menyertai pertandingan Gadis Jelita pada 2001.
Kini, Alise melangkah setapak lagi dalam bidang seni apabila mula menjinakkan diri dalam seni muzik dengan bermain biola.
Kunjungan penulis ke kediamannya baru-baru ini, disambut mesra seolah-olah sudah lama kami berkenalan.
Walaupun ruang kediamannya kelihatan ringkas, penulis percaya dia seorang yang teliti, fokus dan yakin.
Ini kerana setiap sudut kemas dan tidak banyak bermain dengan warna terang.
Kebanyakan warna yang dipilih berunsurkan alam semulajadi seperti coklat dan putih.
Menurut Alise, jika ada masa lapang, dia gemar berada di rumah dan menghias.
“Saya suka hiasan berkonsepkan desa romantik Inggeris. Kebiasaannya, saya memperoleh ilham daripada kawan-kawan di samping majalah dekorasi.
“Namun, sekarang saya belum ada masa untuk menghias kediaman saya," katanya.
Selesa gesek biola
Impian Alise - menjadi pemain biola solo kerana ia menjanjikan kebebasan untuk menampilkan persembahan.
Hanya berbekalkan sebuah biola di tangan, seluruh mata khalayak tertumpu kepadanya. Itulah yang dirasai Alise ketika menggesek biola.
“Sebenarnya semasa berumur 12 tahun, bapa saudara pernah mengajak saya belajar bermain biola. Namun, masa itu belum timbul minat.
“Tahun lalu, barulah saya tergerak hati untuk menjadi penggesek biola. Saya juga bersyukur kerana mempunyai seorang guru yang sangat memahami. Suatu hari nanti, saya akan mengembangkan kerjaya sebagai guru biola," ujarnya.
Alise percaya, jika seseorang itu memiliki kelulusan seperti diploma dan ijazah dalam bidang muzik akan memberikan lebih kredibiliti.
Tambahnya, walaupun bidang ini baru diceburi, dia akan berusaha memperbaiki kelemahan yang ada.
“Seperti yang diberitahu guru saya, Janet Yim dalam membuat persembahan yang hanya berbekalkan biola semata-mata, kita perlu bijak memainkan ekspresi di hadapan penonton.
Kita perlu bermain dengan bahasa tubuh, pergerakan tangan dan kaki, menggesek biola dengan aksi tertentu bagi membolehkan para penonton dapat menyelami persembahan kita," katanya yang mengakui kos belajar bermain biola sangat tinggi.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: