Tuesday, July 10, 2012

Aktor veteran Hollywood meninggal dunia

ERNEST BORGNINE


LOS ANGELES, Amerika Syarikat - Pelakon siri televisyen Airwolf yang juga pernah memenangi anugerah Oscar untuk filem Marty, Ernest Borgnine meninggal dunia pada usia 95 tahun kelmarin.

Jurucakapnya sejak sekian lama, Harry Flynn memberitahu agensi berita Associated Press (AP) bahawa Borgnine mati akibat kegagalan ginjal di Pusat Perubatan Cedars-Sinai di sini dengan isteri dan anak-anak berada di sisinya.

Pada awal pembabitannya dalam dunia perfileman pada tahun 1950-an, Borgnine dikenali kerana kerap melakonkan watak jahat terutamanya sebagai Fatso Judson yang membelasah Frank Sinatra sehingga mati dalam filem From Here to Eternity.

Borgnine mula mengecap populariti menerusi filem bajet rendah, Marty dengan melakonkan watak seorang penjual daging berusia 34 tahun yang bimbang tidak akan dapat memiliki cinta kerana berwajah buruk.

Dia kemudian menemui seorang gadis yang memiliki kebimbangan sama di satu majlis tari menari.

Bermodalkan cuma AS$360, 000 (RM1.14 juta), Marty dinobatkan filem terbaik untuk anugerah Oscar apabila mengetepikan beberapa filem bajet besar Hollywood seperti The Rose Tattoo, Love Is a Many-Splendored Thing, Picnic dan Mister Roberts pada 1955.

"Anugerah Oscar menobatkan saya sebagai seorang bintang filem dan saya berterima kasih," kata Borgnine dalam satu wawancara pada 1966.

"Namun, saya berasa kehidupan peribadi saya akan lebih tenang dan tidak kucar-kacir sekiranya saya tidak memenangi anugerah ini," tambahnya.

Kekalutan dalam hidup aktor tersebut termasuk empat perkahwinan yang musnah termasuk rumah tangganya bersama penyanyi Ethel Merman pada 1964.

Perkahwinan mereka bertahan tidak sampai enam minggu.

Namun, perkahwinan kelimanya pada 1973 dengan wanita kelahiran Norway, Tova Traesnaes berterusan hingga ke akhir hayat.

Traesnaes mengilangkan dan menjual rangkaian produk kecantikannya sendiri di bawah jenama Tova.

Dia menggunakan wajah suaminya yang awet muda itu dalam iklan produknya.

Antara filem lain lakonan Borgnine termasuk Ice Station Zebra, The Adventurers, Willard, The Poseidon Adventure, The Greatest" (sebagai pengurus Muhammad Ali), Convoy, Ravagers, Escape from New York, Moving Target dan Mistress.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: