ALAUPUN bercuti ke Pulau Langkawi merupakan perkara biasa, namun dengan bajet yang serendah RM300 membolehkan kamu 'bermastautin' selama tiga hari dua malam.
Hal itu terbukti menerusi pelancongan bajet yang dilakukan penulis bersama dua orang BFF (kawan baik selamanya) baru-baru ini.
Bagi membangkitkan kelainan kepada episod pengembaraan kami, penulis dan BFF sengaja memilih perjalanan dengan menggunakan bas ekspres dari Kuala Lumpur ke Kuala Perlis.
Memulakan perjalanan pada pukul 12 tengah malam, kira-kira pukul 6 pagi penulis dan BFF selamat menjejakkan kaki ke negeri terkecil di Malaysia itu.
Lebih mudah sekiranya turun di Kuala Perlis kerana perhentian basnya berdekatan dengan jeti feri. Hanya lima minit kalau berjalan kaki.
Dengan harga serendah RM30 seorang kami membeli pakej Island Hopping yang ditawarkan di Jeti Kuala Perlis berbanding di pulau.
Akhirnya setelah kira-kira 45 minit berada di dalam perut feri, penulis dan BFF berjaya menjejakkan kaki ke Pulau Langkawi. Hello Langkawi!!!
Selepas berurusan dengan pemilik kereta sewa yang setia menanti kami di Jeti Kuah, penulis dan BFF terus menuju ke lokasi pertama dalam tentatif perjalanan kami iaitu Panorama Langkawi yang merupakan pengendali perkhidmatan kereta kabel.
Oh ya, bagi yang tidak mahir memandu kereta, perkhidmatan teksi, motosikal dan basikal turut disediakan di sini dengan harga yang berpatutan.
Menariknya di Langkawi, setiap lokasi tarikan pelancongan ada menyediakan harga istimewa iaitu potongan 50 peratus untuk pemegang Mykad. Untung bukan?
Hari kedua pula diisi dengan aktiviti wajib iaitu Island Hopping serta kunjungan ke Underwater world Langkawi dan Makam Mahsuri.
Walaupun percutian tiga hari dua malam itu dirasakan singkat, namun penulis dan BFF bersyukur kerana dapat melawat banyak tempat-tempat menarik di Langkawi.
Keseronokan melancong secara bajet membuatkan penulis dan BFF terlupa untuk mengabadikan kenangan di mercu tanda pulau tersebut.
Jadi, remaja di luar sana anda tunggu apa lagi... jom ajak kawan-kawan melancong ke Langkawi! Dengan hanya kurang daripada RM300 kamu sudah boleh menikmati keindahan percutian sebenar!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: