Wednesday, May 23, 2012

Wanita celaru minda

ENTAH mengapa Ilyani Imran, 29, sukar menumpukan perhatian apabila bersama rakan-rakan sepejabat.

Dia tidak selesa berada dalam kelompok tersebut. Sedangkan sebelum ini sikapnya tidak begitu. Simptom berdebar-debar, berpeluh tapak tangan dan kaki membuatkan Ilyani rasa mahu segera keluar dari tempat kerjanya.

Dia juga runsing dengan perubahan dirinya yang agak mendadak tersebut. Dek kerana ketidakselesaan yang berlaku padanya, Ilyani mengambil keputusan memencilkan diri.

Persoalannya, mengapa ia berlaku secara tiba-tiba? Bukankah perkara itu tidak sepatutnya terjadi dalam keadaan tenang dan selamat?

Perunding psikiatri, Valerie Jaques berkata, perasaan bimbang atau celaru sebenarnya bukan satu penyakit.

Ia merupakan perasaan yang normal di mana seseorang yang mengalaminya merasai perasaan tersebut tanpa menerima apa jua rangsangan.

Tindak balas tersebut berlaku kerana sifat semula jadi untuk melindungi diri dari bahaya yang mungkin berlaku.

Katanya, pakar psikologi terkenal, Frederick Perls, pernah mentafsirkan bahawa kebimbangan adalah satu perasaan antara masa kini dengan masa akan datang.

"Ini berlaku kerana kita hidup di dunia yang sentiasa mengharapkan sesuatu di masa hadapan dan tidak dapat berterima kasih untuk semua yang ada di masa sekarang

"Ia menjadi penyakit apabila seseorang itu tidak dapat menikmati kehidupan harian dan sentiasa rasa celaru dan bimbang dan takut sehingga tugas harian tidak dapat dijalankan," ujarnya.

Menurut Valerie, gejala kebimbangan termasuk kebimbangan dan ketegangan yang berlebihan dan berterusan, pandangan yang tidak realistik, kegelisahan atau rasa edgy dan cepat marah.

Gejala lain termasuk ketegangan otot, sakit kepala, berpeluh, sukar menumpukan perhatian, perasaan nak muntah, keperluan untuk pergi ke tandas dengan kerap untuk kencing atau perut sakit, keletihan, susah mahu tidur (insomnia), menggigil dan mudah terkejut.

"Sebelum mengenalpasti simptom ini, pesakit perlu menjalani diagnosis klinikal untuk memastikan ia bukan satu penyakit berkaitan fizikal.

"Selepas disahkan tidak mempunyai penyakit klinikal, pesakit akan diuji menerusi ujian kesihatan mental iaitu penilaian oleh ahli psikologi hasil daripada temuduga dengan pesakit serta memberi ujian psikologi secara objektif dan projektif," katanya.

Babitkan ramai wanita

Ramai wanita mengalami pelbagai kategori kecelaruan rasa bimbang (anxiety disorder) seperti seperti kebimbangan biasa (generalized anxiety), panik, fobia, dorongan keterlaluan (obsessive compulsive), separation anxiety dan post traumatic stress.

Kebanyakan yang mengalami penyakit itu telah berhadapan dengan masalah sejak kecil dan tabiat tersebut berkembang mengikut usia.

Bagaimanapun menurut Valerie, simptom-simptomnya sukar dilihat kerana ketika usia muda, golongan itu mempunyai banyak tenaga untuk melindungi atau mengatasi masalah tersebut.

"Tetapi semakin meningkat usia, tenaga fizikal dan mental untuk tahan menjadi kurang menyebabkan wanita kurang berupaya untuk hidup dengan masalah ini sehingga ia menjadi penyakit mental," katanya.

Valerie menjelaskan, antara faktor menyebabkan ramai wanita mengalami penyakit kebimbangan dan kecelaruan itu ialah kerana terlalu banyak peranan dan tanggung jawab yang dipikul.

Katanya, sama ada mereka suka atau sebaliknya, wanita khususnya yang telah berumah tangga secara semula jadi akan berperanan sebagai 'penjaga' kepada setiap ahli keluarganya.

"Oleh itu mereka mempunyai banyak perkara yang perlu dibimbangkan. Wanita selalu berfikir dia perlu berada dalam keadaan terkawal bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan keluarga berada pada tahap terbaik.

"Mereka sentiasa cuba untuk melihat bagaimana untuk membuat perkara-perkara yang lebih baik dan memperbaiki keadaan.

"Selain faktor di atas, wanita yang telah didera dari segi fizikal atau mental serta psikologi sering bimbang dan celaru dengan ketidakpastian hidup mereka dan tentang apa yang boleh berlaku walaupun perkara yang dibimbangkan itu tidak berlaku.

"Kadang-kadang kebimbangan dan kecelaruan yang mereka alami tidak ada makna yang tertentu atau tidak ada kena mengena dengan hidup mereka.

"Ini menunjukkan perasaan bimbang telah menguasai dirinya secara keterlaluan sehingga di luar kawalan," jelas Valerie.

Valerie berkata, mungkin ramai yang menganggap penyakit ini tidak begitu bahaya dan tidak perlu dirawat, sedangkan hakikatnya mereka memerlukan perhatian penuh.

Tambahnya, wanita yang tidak mendapat rawatan berkemungkinan menjadi lebih teruk dan hilang kualiti hidup yang baik.

Dalam kes-kes tertentu, selain simptom yang dinyatakan di atas, wanita yang mengalami kecelaruan kebimbangan ini juga boleh mengalami pelbagai penyakit lain.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: