Saturday, May 19, 2012

Tiga kem terima lawatan VIP

Sebahagian pegawai dan anggota tentera darat mendengar ucapan Menteri Pertahanan di Kuantan, baru-baru ini.

BAGI memastikan pertahanan negara sentiasa berada dalam keadaan siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob melakukan lawatan ke tiga kem tentera di Kuantan baru-baru ini.

Lawatan itu juga bertujuan mendapatkan maklum balas tentang permasalahan yang mungkin dihadapi mereka.

"Ini bukan lawatan politik sebaliknya majlis muhibah antara pemimpin kerajaan dengan rakyat daripada golongan angkatan tentera," kata Menteri Besar Pahang itu.

Adnan berkata, orang ramai sentiasa tidur nyenyak setiap malam kerana adanya anggota tentera yang sentiasa menjaga pantai, hutan dan udara.

Ahmad Zahid pula mengingatkan anggota tentera agar memahami prosedur pembelian aset tetapi semua maklumat berkenaan tidak boleh didedahkan kepada umum seperti yang dikehendaki oleh pemimpin parti pembangkang.

Sementara itu Panglima Markas Empat Briged, Kem Batu 10, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Rahim Abdul Mutalib berkata, anggota tentera amat berbesar hati dan merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kerana kesudian Menteri Pertahanan dan Menteri Besar Pahang meluangkan masa berjumpa dengan mereka.

Menurutnya, tahap keselesaan dan kebajikan warga ATM telah diberi keutamaan seperti yang dapat dilihat pada hari ini.

"Perbezaan dan perubahan yang membanggakan itu menunjukkan kerajaan begitu prihatin dalam memberi keutamaan kepada ATM,'' ujarnya.

Beliau yakin hasil usaha Menteri Pertahanan yang banyak membawa pemodenan dari segi sistem persenjataan dan kemudahan kepada tentera akan dapat mempertingkatkan keupayaan tempur dan keharmonian anggota tentera.

"Sesungguhnya usaha murni itu memberi inspirasi dan perangsang kepada kami di sini untuk terus berusaha dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan sekali gus bersedia menghadapi segala bentuk rintangan yang mendatang," katanya.

Panglima Wilayah Laut 1 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tanjung Gelang, Kuantan, Laksamana Pertama Datuk Mohamad Roslan Mohamad Ramli pula berkata, anak buahnya sentiasa bersiap sedia menjaga keamanan di sekitar lautan negara.

Menurutnya, tentera laut turut mempunyai aset tentera yang serba moden dan mampu mempertahankan negara seperti pasukan lain.

Komander Panglima Udara Kuantan, Brigedier Jeneral Mohammad Salleh berkata, pertemuan itu akan dapat mengeratkan hubungan kerajaan dan anggota tentera.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: