WALAUPUN pernah melalui detik sukar dalam kehidupannya, wanita berusia awal 40-an ini tetap bersemangat meneruskan hidup demi membantu keluarga tercinta.
Siti Zuriah Mat Zaid, 42, dahulunya pernah memiliki perniagaan sendiri yang berdaftar atas nama Butik Zurish tetapi terpaksa ditutup beberapa tahun lalu atas desakan kesihatannya yang tidak mengizinkan ketika itu.
Mengimbas saat itu, wanita cekal dan juga ibu kepada tiga orang cahaya mata berumur dua hingga enam tahun ini, berkata, segalanya bermula apabila dengan tiba-tiba dia mengalami kelumpuhan pada anggota badan dan kaki menyebabkan sebahagian besar pergerakannya terbatas, kira-kira dua tahun lepas.
"Pengalaman terjatuh dari tangga bas ketika zaman belajar di universiti dahulu memberi kesan pada bahagian pinggang dan tulang belakang saya selepas itu.
"Pada peringkat permulaan saya hanya ingat sakit belakang biasa. Tetapi setelah membuat pemeriksaan, doktor memberitahu bahawa tulang belakang dan tulang pinggul bergesel menyebabkan saya tidak boleh berjalan. Pergerakan yang boleh dilakukan hanya mengengsot sahaja," katanya.
Ketika itu dia sedang mengandung anaknya yang ketiga dan pernah doktor menyarankan agar dia menggugurkan kandungan kerana dikhuatiri akan membahayakan diri.
"Kerana sayang untuk menggugurkan kandungan, saya bertawakal kepada Allah dan selamat melahirkan bayi lelaki," katanya.
Waktu itu, Siti Zuriah hanya mampu bergantung kepada suami, Nik Halimi Awang, 42, yang banyak membantu dari segi sokongan moral dan menjaga makan minumnya.
"Sehinggakan sampai satu tahap, suami mengambil keputusan berhenti kerja sebagai akauntan di sebuah bank kerana ingin menjaga saya dan anak-anak.
"Dalam tempoh lumpuh tersebut, saya tidak mampu melakukan apa-apa. Semua tanggungjawab kerja rumah dan membesarkan anak-anak dilakukan oleh suami," katanya ketika ditemui di Bandar Baru Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Selepas mengamalkan pengambilan ubat yang berterusan dari doktor dan mengamalkan homeopati, sakitnya mula sembuh secara perlahan-lahan dan pergerakannya mula lebih cergas.
Bermula pada tahun lepas, Siti Zuriah mengambil keputusan meneruskan kembali menerima tempahan jahitan di kedai milik rakan kongsinya.
"Pada permulaan kembali menjahit, keluarga tidak memberi restu sebab mereka khuatir saya akan kembali sakit kerana menjahit memerlukan pergerakan bahagian kaki dan badan," katanya.
Walaupun keluarganya tidak mengizinkan, tetapi apabila memikirkan masa depan keluarga dia gagahkan juga menerima tempahan.
Sekali lagi dengan bantuan suami, mereka bersama-sama memikul tanggungjawab membuka kembali perniagaan menjahit baju.
"Apabila memikirkan menjahit sebagai punca rezeki keluarga, saya berazam membuka kembali perniagaan ini. Tambahan ia menjadi semakin ringan apabila dibantu oleh suami.
"Suami saya daripada tidak berkemahiran dalam bidang jahitan sudah pandai menjahit manik dan labuci pada pakaian yang ditempah pelanggan," katanya.
Tambahnya, pada awalnya dia berhadapan dengan masalah modal.
Tetapi kemudian dia bersyukur kerana mendapat bantuan modal yang dipinjam daripada Tekun Nasional.
Katanya, dalam keadaan kesihatannya yang baru pulih, sekarang dia hanya mampu menjahit tiga hingga empat pasang baju sehari.
"Tambahan, sekarang pelanggan mempunyai banyak pilihan untuk memilih baju yang siap dijahit dengan rekaan dan warna yang menarik," katanya.
Dia berkata, selain menerima tempahan baju kurung pelanggan juga boleh menempah baju kebaya, kurung moden, dan baju kurung pesak gantung.
"Harga untuk sepasang baju kurung adalah RM38, baju kurung moden RM55, dan baju kurung pesak gantung RM55,' katanya.
Selain itu, dia juga ada menerima tempahan jahitan manik dan labuci dan juga membuka kelas jahitan asas manik yang dibuka setiap hari sabtu pada jam 9 pagi hingga 5 petang dengan yuran sebanyak RM 150 seorang.
Segala tempahan jahitan dan kelas menjahit diadakan di Butik Kayangan yang beroperasi di Sri Bangi, Seksyen 8, Bangi, Selangor, bersama rakan kongsinya yang dibuka dari 10 pagi hingga 7 malam.
Sebarang tempahan boleh menelefon 010-6451854 atau 019-3870697.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: